Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Data daripada PADU digunakan dalam mekanisme nasionalisasi subsidi RON95, 30.4 juta profil – MoF

    Data daripada PADU digunakan dalam mekanisme nasionalisasi subsidi RON95, 30.4 juta profil – MoF

    Kementerian Kewangan (MOF) akan menggunakan sepenuhnya data daripada Pangkalan Data Utama (PADU) dalam mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang sedang diperhalusi, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    PADU mengandungi 30.4 juta profil rakyat Malaysia ini merangkumi maklumat berkaitan demografi, lokaliti, sosioekonomi dan pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan, serta jenis bantuan yang sedang diterima.

    “Berkaitan pelaksanaan subsidi bersasar, data PADU akan digunakan oleh Kementerian Kewangan sebagai rujukan bagi penerima subsidi RON95. Ini merupakan kali pertama PADU digunakan secara terperinci,” kata Amir Hamzah, yang juga memangku jawatan Menteri Ekonomi selepas Rafizi meletak jawatan pada bulan Me lalu.

    Data daripada PADU digunakan dalam mekanisme nasionalisasi subsidi RON95, 30.4 juta profil – MoF

    “Buat masa ini, kerajaan akan memberi tumpuan kepada penggunaan data terkini untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Sebagai contoh, pengesahan dan pengesahan semula maklumat pemohon bagi memastikan penerima benar-benar layak, sekali gus mengurangkan ralat,” kata senator itu di Dewan Rakyat hari ini, seperti yang dilaporkan oleh Bernama. Beliau menambah bahawa daripada data yang ada, kerajaan juga boleh mengenal pasti program intervensi untuk kumpulan sasar.

    Amir Hamzah turut memberikan penjelasan mengenai status semasa PADU. Katanya, sehingga kini, sebanyak 204 agensi telah berkongsi dan menyepadukan data mereka secara langsung dengan PADU, dengan penggunaan data terhad kepada agensi kerajaan sahaja. Setakat ini, terdapat sembilan permohonan yang telah diluluskan untuk menggunakan data PADU daripada pelbagai agensi, tambahnya.

    Pada November 2024, Rafizi mendedahkan bahawa sekitar 55% isi rumah telah mendaftar dalam PADU semasa fasa pertama, dengan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah.

    “Sebelum ini, wujud andaian bahawa golongan M40 tidak akan menerima subsidi. Kini, dengan kerajaan menjelaskan bahawa hanya golongan T15 dan ke atas yang tidak layak serta kriteria telah diumumkan, saya fikir lebih ramai akan mendaftar. Jika orang awam faham bahawa pengesahan kelayakan untuk subsidi RON95 bergantung kepada data daripada PADU dan jika tidak mendaftar, mereka berisiko untuk tercicir,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

     
     
  • Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

    Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

    Selepas sekitar tujuh tahun Malaysia tidak mempunyai kejohanan rasmi untuk rali peringkat kebangsaan, akhirnya hujung minggu lalu telah berlangsungnya pusingan pertama Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 bagi meneruskan legasi Kejohanan Rali Malaysia AAM yang telah pun ditamatkan pada penghujung musim 2018. Bagi pusingan pertama ini, ia telah dilangsungkan di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan dengan Special Stage (SS) berlangsung di kebun-kebun Kelapa Sawit Gugusan Felda Raja Alias yang sebelum ini dikenali dengan nama Felda Serting, dari 2 hingga 3 Ogos 2025.

    Perlumbaan kali ini menyaksikan pertarungan tiga lagenda dalam dunia rali tempatan iaitu Karamjit Singh, Saladin Mazlan dan juga Haji Sutan Mustaffa Salihin untuk merebut gelaran juara keseluruhan. Namun setelah berakhir rali yang berlangsung selama dua hari ini, Karamjit Singh yang kembali memandu Proton Gen2 4WD turbo dan dibantu juruarah Davender Singh membuktikan bahawa dia masih lagi juara walaupun dengan usia yang menjangkau 63 tahun.

    Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Produksi 2002 itu menamatkan rali ini dengan masa keseluruhan 1 jam 6 minit 14 saat, meninggalkan Haji Sutan yang memandu Subaru Impreza WRX GDB dibantu juru arah Kamarul Anuar Mohd Razzali di tempat kedua yang ketinggalan 2 minit 40 saat di belakang.

    Saladin Mazlan bersama juruarah Arish Qutb di dalam jentera spaceframe MINI Deus 1.8T 4WD pula berada di tempat keempat secara keseluruhan dan tempat ketiga untuk kategori Open dan 4WD, apabila catatan masa 1 jam 15 minit 41 saat yang dibuat terpaksa di tambah dengan penalti sebanyak 1 minit 10 saat.

    Manakala pasangan Ikhsan Muhammad Husni bersama juruarah Yie Sing Teh dari pasukan Purnama Rally Team melakukakan kejutan berada di tempat ketiga keseluruhan dengan catatan masa 1 jam 15 minit 57 saat dengan hanya menggunakan jentera Proton Satria 1.6 4WD, sekaligus merangkul juara kategori M3.

    Rally of Jempol 2025 sepatutnya berlangsung dengan 11 SS yang terdiri dari tiga SS yang dibentuk di Felda Raja Alias 4, Felda Raja Alias 1 dan juga Felda Serting Hilir. Hari pertama perlumbaan hanya menampilkan persaingan untuk SS1 di Felda Raja Alias 1.

    Walaupun dengan permukaan SS pertama yang agak teruk menggandingkan permukaan tanah liat yang kering dan keras, batu-batu besar tertanam di atas permukaan jalan dan juga kawah-kawah jalan yang agak besar di SS berkenaan, persaingan antara tiga pelumba ini sudah dilihat panas dengan masing-masing tidak takut untuk memandu secara agresif.

    Namun untuk SS ini, Saladin Mazlan membuktikan bahawa dia antara pelumba yang paling berani dengan mencatatkan masa terpantas untuk hari pertama dengan masa 9 minit 26 saat, meninggalkan Karamjit di tempat kedua dengan 9 minit 26 saat dan Haji Sutan di tempat ketiga dengan masa 9 minit 36 saat.

    Masuk hari kedua, pihak penganjur terpaksa membatalkan semua SS yang berlangsung di Felda Raja Alias 4 dan Felda Serting Hilir kerana laluan yang terlalu teruk yang mungkin akan menyebabkan kerosakan semua kereta yang bertanding, dan ke semua pelumba hanya bersaing di SS4, SS7, SS10 dan SS11, di mana kesemuanya berlangsung di Felda Raja Alias 1.

    Bermula dari SS4, Karamjit sudah mula menunjukkan kehebatannya dengan menang hampir kesemua SS. Saladin Mazlan yang bermula garang pada hari sebelumnya menghadapi kesukaran pada hari kedua apabila berhadapan dengan masalah mekanikal pada kereta, dan menerima penalti pada SS4 kerana keluar lambat dari Service Park untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

    Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

    Rali kali ini turut menyaksikan beberapa pelumba tidak bernasib baik, antaranya pasangan Syakirin Razaki dan Hazwan Fauzi dari pasukan East Cost Rallying yang terpaksa menamatkan perlumbaan pada SS7 apabila Subaru Impreza WRX GDB pasukan tersebut mengalami kerosakan serius pada casis yang menyebabkan suspensi hadapan belah kiri tercabut.

    Namun ada juga pelumba-pelumba lain yang menarik perhatian, antaranya bintang dari disiplin Gymkhana yang lazimnya berlumba di atas permukaan tar, iaitu Mitch Chong yang semakin serasi berlumba di dalam trek gravel dengan menggondol juara kategori M2. Pasangan Khairul Nizam dan Shahrol Zainal juga turut mencuri perhatian dengan satu-satunya Proton Iriz 1.6 Turbo lengkap bersama sistem pacuan semua roda berjaya berada di tempat ke-4 dalam kategori Open dan 4WD.

    Perlumbaan ini juga menampilkan seorang pelumba wanita yang memandu Proton Iriz 1.3 iaitu Nazatul Shima Mamat bergandingan dengan juruarah Nur Arsyad Nik Ahazzied, sekaligus memenangi piala Ladies Class dan juga mendapat tempat kedua dalam kelas M1.

    Kejohanan Rali Malaysia AAM 2025 akan diteruskan untuk pusingan kedua di Sepang pada 16 hingga 17 Ogos ini yang dilangsungkan sekali dengan MAM Malaysia Festival of Speed (MFOS).

     
     
  • Perodua Aruz terima kemas kini luar dan dalam

    Perodua Aruz terima kemas kini luar dan dalam

    Model SUV tujuh tempat duduk keluaran Perodua, iaitu Aruz, kini tampil dengan beberapa kemas kini yang memberi nafas baru kepada reka bentuknya. Antara perubahan yang diperkenalkan termasuk gril hadapan dengan kemasan hitam matte, rim aloi hitam, serta trim dalaman hitam matte khusus untuk varian AV. Trim dalaman ini menggantikan kemasan satin krom yang sebelum ini melintangi papan pemuka dan mengelilingi bahagian tengah konsol.

    Selain itu, Aruz kini turut ditawarkan dengan satu warna baru iaitu Vintage Brown, yang diambil daripada pilihan warna model Alza. Warna ini dilihat menggantikan warna Electric Blue, yang tidak lagi ditawarkan di laman rasmi model berkenaan

    Perodua Aruz terima kemas kini luar dan dalam

    Sebenarnya, Perodua turut menambah satu lagi warna baru iaitu Elegant Black pada Oktober lalu. Dengan penambahan ini, Aruz kini hadir dengan enam pilihan warna keseluruhan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Granite Grey, Passion Red, Vintage Brown dan Elegant Black. Warna Electric Blue kini tidak lagi termasuk dalam senarai.

    Setakat ini, Perodua masih belum mengumumkan sebarang promosi rasmi untuk bulan Ogos. Namun begitu, pada bulan Jun dan Julai yang lalu, model Aruz telah ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM4,000. Untuk makluman, harga Perodua Aruz berada dalam lingkungan RM73,000 hingga RM78,000. Selebihnya berkenaan Aruz di sini.

     
     
  • Lepas Malaysia aktifkan akaun media sosial — sub-jenama Chery akan lancarkan model L8 dahulu?

    Lepas Malaysia aktifkan akaun media sosial — sub-jenama Chery akan lancarkan model L8 dahulu?

    Sub-jenama terbaru bagi Chery di Malaysia, Lepas sepertinya akan dilancarkan di sini dalam masa terdekat selepas jenama itu mula muncul dengan akan media sosial tempatan di Facebook dan juga Instagram.

    Chery mengumumkan jenama Lepas ini untuk pasaran global ketika Auto Shanghai 2025 April lalu, dengan Indonesia menjadi negara luar pertama untuk jenama tersebut, yang dilancarkan ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini.

    Walaupun masih belum ada banyak maklumat yang dikongsikan oleh akaun media sosial tempatan itu, boleh dijangkakan L8 akan menjadi model pertama yang diperkenalkan, sama seperti di Indonesia. Bahkan, penghantaran pertama L8 telah dilakukan dari Pelabuhan Wuhu untuk pasaran luar China pada 6 Jun lalu.

    SUV segmen D ini dikatakan mempunyai saiz yang hampir sama dengan Chery Tiggo 8, yang hadir dengan ukuran 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi serta jarak roda 2,800 mm, yang turut ditawarkan dengan sistem janaan Chery Super Hybrid (CSH).

    Model lain yang berada dalam barisan kenderaan Lepas termasuklah L6 dan L4, yang mana kedua-duanya dipamerkan ketika GIIAS 2025. Semua model ini menerapkan “Leopard Aesthetic”, dengan rekaan yang ketara seperti DRL nipis yang menggambarkan mata yang tajam.

    Di bahagian lain juga ada meminjam ilham daripada binatang yang sama dalam rekaannya. Di dalam pula terletak rekaan papan pemuka dengan konsol tengah yang kelihatan berkesinambungan dengan skrin sentuh menegak yang ada, yang disifatkan mengambil ilham daripada air terjun yang mengalir lancar.

    Sebutan jenama ini juga adalah “leap-pass”, dan bukannya “lepas”. Itu diperoleh daripada gabungan kata nama “leopard” dengan “passion”. Dengan Lepas yang akan masuk ke pasaran di sini, Chery Malaysia akan memperluaskan lagi portfolionya di sini — selain model dari jenama Omoda | Jaecoo dan iCaur.

    GALERI: Lepas L8

    GALERI: Lepas L6

    GALERI: Lepas L4

     
     
  • Keeway XDV180 EVO tiba di Malaysia – RM9,388

    Keeway XDV180 EVO tiba di Malaysia – RM9,388

    Saingan skuter dalam pasaran terus bertambah sengit apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan sebuah lagi model iaitu Keeway XDV180 EVO untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM9,388 tidak termasuk insurans. Jaminan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Membawa penampilan lasak seperti yang diminati ramai sekarang ini, XDV180 EVO antaranya dilengkapi lampu LED projector, penghadang angin hadapan boleh laras, tapak beg barangan belakang serta butang kawalan berlampu.

    Menggerakkannya adalah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 174 cc, bersama padanan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 18 hp pada 8,500 rpm dan tork 17.2 Nm. Paparan meter menggunakan unit TFT yang bukan sahaja boleh disambungkan kepada telefon pintar, tetapi juga disambungkan kepada kamera hadapan untuk merakam video.

    Bahagian roda terdiri daripada rim saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, masing-masing dipegang oleh fork USD dan dua penyerap hentak dengan tabung. Brek di kedua-dua roda adalah jenis cakera dan didatangkan sekali dengan sistem ABS dual-channel. Menambah lagi ciri keselamatan adalah sistem kawalan cengkaman.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 10 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk dan dua poket barangan di bawah pemegang, sistem kunci pintar dan soket pengecas USB. Berat keseluruhannya adalah 145 kg.

     
     
  • KPDN siasat kereta Singapura selamba ‘tapau’ petrol RON95 di stesen minyak di Iskandar Puteri, JB

    KPDN siasat kereta Singapura selamba ‘tapau’ petrol RON95 di stesen minyak di Iskandar Puteri, JB

    Susulan foto tular yang disiarkan menerusi Facebook ‘SGRV Front Man’, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah memulakan siasatan terhadap sebuah kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, Johor Baharu.

    Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti lokasi stesen minyak yang terbabit serta sama ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan sedia ada, laporan Berita Harian.

    Jelas Lilis Saslinda, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing masih berkuat kuasa dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    KPDN siasat kereta Singapura selamba ‘tapau’ petrol RON95 di stesen minyak di Iskandar Puteri, JB

    “Sekiranya siasatan mendapati berlaku kesalahan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak terbabit, termasuk pengusaha stesen minyak jika didapati cuai atau bersubahat,” katanya yang turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan ditetapkan kerajaan berhubung penjualan bahan api bersubsidi.

    KPDN Johor turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam yang menyaksikan pelanggaran berkaitan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing, bagi membantu siasatan lanjut

    Menerusi foto yang tular itu, pemilik MINI Cooper itu didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya dahulu sebelum dilihat mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar. Kebanyakan netizen yang memberikan respons terhadap posting berkenaan mengecam tindakan pemandu kenderaan terbabit, berkereta mewah tetapi masih mencari bahan api murah negara jiran, kata mereka. Malah ada juga warga Singapura yang berkata, tindakan pemandu kenderaan itu umpama mencemarkan nama baik republik berkenaan.

     
     
  • Kereta dirakam pandu lawan arus — kesalahan dengan hukuman penjara hingga lima tahun, denda min. RM5k

    Kereta dirakam pandu lawan arus  — kesalahan dengan hukuman penjara hingga lima tahun, denda min. RM5k

    Walaupun sangat jelas bahawa memandu lawan arus adalah satu sesalahan serius yang boleh membawa hukuman berat, masih ada individu yang melakukannya, tambahan pula dengan sengaja. Dalam satu rakaman video terbaru yang dimuat naik oleh @daydayeric di TikTok yang menunjukkan beberapa kenderaan dipandu melawan arah trafik, yang kelihatan seperti di kawasan perumahan sekitar Mahkota Cheras.

    Dalam video tular berkenaan, perakamnya berkali-kali membunyikan hon kepada pemandu-pemandu berkenaan dan tidak mahu beralah, memaksa mereka terpaksa memberi jalan dan berundur untuk membuka ruang. Satu lagi video yang dikongsikan pada Mei juga menunjukkan kejadian yang hampir sama, di laluan yang sama.

    Menurut beberapa komen hantaran itu, banyak kereta sengaja dipandu melawan arus di situ kerana dijadikan jalan pintas untuk menghantar anak mereka ke sekolah berdekatan. Ramai juga yang menyokong si perakam berkenaan yang terus-terusan membunyikan hon sebagai tindak balas kepada situasi yang terlalu kerap berlaku itu.

    Memandu menentang arus trafik adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan terhadap pemandu atau penunggang boleh didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 kerana memandu secara merbahaya. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. Pesalah juga akan digantung atau dibatalkan lesen memandunya selama lima tahun daripada tarikh didakwa.

    @daydayeric Korang suruh hon kan? HARI NI AKU BUAT! 😤🔊 #LawanArusLagi #HonChallenge #MalaysiaRoad #DashcamMY #AkuDahHon #KeretaGila ♬ original sound – daydayeric

     
     
  • JPJ keluarkan 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang tidak memasang dan aktifkan tag VEP

    JPJ keluarkan 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang tidak memasang dan aktifkan tag VEP

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sejak 1 Julai 2025 hingga Sabtu lalu, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, sepanjang tempoh itu, jumlah saman yang berjaya dikutip bernilai RM445,800, manakala 14,379 kenderaan Singapura diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar Johor Bahru.

    “Malam ini sahaja (malam tadi), sebanyak 15 saman kita telah keluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan Tag RFID VEP. Setakat ini, dalam 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, rata-rata memberi alasan hampir sama iaitu tidak tahu bahawa kerajaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan, sebaliknya ingat kita masih di dalam tindakan advokasi.

    JPJ keluarkan 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang tidak memasang dan aktifkan tag VEP

    “Kita tidak berkompromi dan tidak akan beri amaran lagi, sebaliknya terus mengeluarkan saman serta-merta, malah mereka yang disaman juga perlu menjelaskan saman mereka serta-merta,” katanya pada sidang media dalam Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI, Bukit Chagar malam tadi.

    Muhammad Kifli berkata hampir 90% kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkannya. Malah sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 277,930 tag RFID VEP sudah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura, melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat.

    “Kita ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.

    Penguatkuasaan permit VEP menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300. Ia selaras Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia.

     
     
  • QJMotor SRV600V dilancarkan di Malaysia – cruiser enjin V4 561 cc, enam kelajuan, fork Marzocchi, RM34k

    QJMotor SRV600V dilancarkan di Malaysia – cruiser enjin V4 561 cc, enam kelajuan, fork Marzocchi, RM34k

    Bersempena dengan pembukaan rasmi sebuah lagi pengedar SmartShop di Cheras, MForce Bike Holdings turut melancarkan cruiser baru daripada QJMotor iaitu SRV600V. Keunikan utama motosikal ini adalah enjin V4 dan ia dijual pada harga RM33,888 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan SRV600V adalah enjin V4 561cc dengan sistem DOHC dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 67 hp pada 10,500 rpm dan tork 54 Nm pada 8,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan tali sawat untuk memusingkan tayar belakang.

    Menggabungkan unsur rekaan klasik dan moden, SRV600V tampil dengan lampu hadapan LED penuh serta meter TFT bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar menggunakan bluetooth. Turut disediakan adalah sistem pemerhati tekanan angin tayar dan soket pengecas USB (Type‑A dan Type‑C).

    Untuk bahagian pengendalian, SRV600V hadir dengan fork Marzocchi USD yang boleh dilaras serta dua penyerap hentak di belakang, manakala brek terdiri daripada dua cakera brek 300mm di hadapan dan satu cakera 260mm di belakang. ABS dual-channel diberikan secara standard dan ciri keselamatan ditambah lagi dengan kehadiran sistem kawalan cengkaman.

    Menjadi lebih mesra kepada ramai penunggang, tinggi tempat duduk SRV600V cuma 720 mm dan tangki minyak mempunyai kapasiti 16.5 liter. Berat keseluruhan yang dicatat adalah 219 kg. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Night Black, Sky Black (matte) dan Silver, manakala jaminan pula adalah selama dua tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Tiada lagi kelulusan pengeluaran, penjualan nombor pendaftaran khas untuk NGO, individu, syarikat – MOT

    Tiada lagi kelulusan pengeluaran, penjualan nombor pendaftaran khas untuk NGO, individu, syarikat – MOT

    Kementerian Pengangkutan mengulangi pendirian bahawa tiada lagi kelulusan diberikan kepada pengeluaran dan penjualan nombor pendaftaran khas (NPK) yang bertujuan memanfaatkan mana-mana syarikat, individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO), laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, perkara ini adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 2022.

    “Kriteria dasar semasa Kementerian Pengangkutan iaitu memberhentikan pengeluaran atau kebenaran penjualan NPK kepada NGO atau syarikat korporat adalah dikekalkan seperti mana diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022. Ia termasuk bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan bagi pihak berkenaan,” katanya.

    Tiada lagi kelulusan pengeluaran, penjualan nombor pendaftaran khas untuk NGO, individu, syarikat – MOT

    Kenyataan ini dikeluarkan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang memohon penjelasan mengenai garis panduan dan kriteria digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat NPK, termasuk dikeluarkan oleh agensi kerajaan, NGO atau entiti swasta.

    HAsbi turut berkata, jumlah kutipan hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) mencecah sebanyak RM110,069,150 dikutip sejak ia diperkenalkan pada 2023.

    “Nombor pendaftaran NPI kini dibuka kepada pembidaan melalui JPJeBid dan hasilnya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah kerajaan Persekutuan. Seterusnya sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat,” katanya.

    Pada tahun 2018, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata keputusan kerajaan untuk menghentikan amalan penjualan nombor plat istimewa melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah bagi memastikan pendapatan yang diperoleh sampai ke laluan yang betul. Tambah beliau, kerugian yang berlaku disebabkan amalan ini adalah sukar untuk dipastikan.

     
     
  • LRT3 Shah Alam mungkin ditangguh pembukaannya hingga 31 Okt susulan aktiviti ujian dan pentauliahan

    LRT3 Shah Alam mungkin ditangguh pembukaannya hingga 31 Okt susulan aktiviti ujian dan pentauliahan

    Menurut laporan The Star, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mungkin tidak dapat memulakan operasinya pada 30 September seperti yang dirancang sebelum ini. Ini selepas Prasarana memaklumkan di Facebook minggu lalu bahawa mereka kini sedang menjalankan aktiviti ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang jajaran dari stesen Bandar Utama hingga ke depoh di Johan Setia.

    Buat masa ini, hantaran Facebook bertarikh 25 Julai (di bawah) tidak menyatakan berapa lama proses ini akan berlangsung. Namun begitu, netizen cepat menyedari bahawa hantaran tersebut telah disunting, di mana versi terdahulu menyatakan bahawa proses ini akan berterusan sehingga 31 Oktober 2025, iaitu sebulan selepas tarikh pembukaan yang dijadualkan pada 30 September.

    LRT3 Shah Alam mungkin ditangguh pembukaannya hingga 31 Okt susulan aktiviti ujian dan pentauliahan

    Peta jajaran LRT3 Laluan Shah Alam. Klik untuk besarkan

    Pada minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan projek LRT3 ini telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai. Beliau turut mendedahkan hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.

    Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam ini sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

     
     
  • JPJ sita 53 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury 2.0 di Lembah Klang – Rolls-Royce, Lamborghini, dll

    JPJ sita 53 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury 2.0 di Lembah Klang – Rolls-Royce, Lamborghini, dll

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebanyak 53 unit kenderaan mewah pelbagai model menerusi Ops Luxury 2.0 yang dilaksanakan di sekitar Lembah Klang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu. Daripada jumlah tersebut, tiga kenderaan mewah yang disita itu turut dipandu oleh warga asing.

    Menurut Muhammad Kifli bin Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang masih ingkar memperbaharui cukai jalan dan insurans walau pun peringatan telah diberikan sebelum ini.

    “Pihak kami telah mengenalpasti lokasi dan pemilik kenderaan mewah yang tidak memiliki cukai jalan dan insuran di kawasan Lembah Klang, dan (pemilik) diseru untuk melaksanakan pembaharuan sebelum tindakan sitaan diambil.

    “Pelaksanaan Ops Luxury ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada akhir Jun lalu, operasi yang sama telah dilaksanakan di seluruh negara, menyaksikan sebanyak 101 unit kenderaan mewah telah disita yang melibatkan beberapa kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL), pamer nombor pendaftaran kenderaan lain, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem dan penggunaan trade plate palsu.

     
     
  • Tiada tren Komuter ke KL Sentral setiap Ahad hingga 28 Sept; naiktaraf landasan Klang ke Abdullah Hukum

    Tiada tren Komuter ke KL Sentral setiap Ahad hingga 28 Sept; naiktaraf landasan Klang ke Abdullah Hukum

    Bagi pengguna KTM Komuter laluan Pelabuhan Klang – KL Sentral, ini ada makluman buat anda. KTMB Berhad mengumumkan kerja-kerja naiktaraf sistem pembetung landasan dari Stesen Pelabuhan Klang ke Abdullah Hukum akan dilakukan pada setiap Ahad, bermula 3 Ogos ini hingga 28 September 2025.

    Sepanjang pelaksanaan projek ini, tiada perkhidmatan tren KTM Komuter ke KL Sentral dari kesemua stesen di antara Pelabuhan Klang hingga Abdullah Hukum. Perkhidmatan KTM Komuter ke Stesen Tanjung Malim akan bermula dari KL Sentral.

    Sebagai alternatif, pengendali rel berkenaan akan menyediakan bas perantara di stesen-stesen yang laluan Pelabuhan Klang hingga Subang Jaya. Manakala penumpang dari Subang Jaya yang hendak ke Abdullah Hukum disarankan menaiki pengangkutan awam lain termasuk perkhidmatan Rapid KL atau e-hailing untuk ke KL Sentral.

    Stesen-stesen yang akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik pada hari Ahad ini ialah Pelabuhan Klang, Telok Gadong, Klang, Bukit Badak, Padang Jawa, Shah Alam dan Batu Tiga. Perkhidmatan bas akan bermula pada pukul 6.30 pagi. KTM mungkin memilih hari Ahad untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan landasan penting bagi mengurangkan gangguan pada hari bekerja.

    Stesen-stesen yang akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik ke Subang Jaya setiap hari Ahad ialah Pelabuhan Klang, Telok Gadong, Klang, Bukit Badak, Padang Jawa, Shah Alam dan Batu Tiga. Bas akan mula beroperasi pada pukul 6.30 pagi dan jadual bagi setiap laluan adalah seperti di bawah.

     
     
  • Suzuki GSX-R1000R M6 didedah – enjin terima naik taraf, sistem elektronik ditambah baik, 195 PS

    Suzuki GSX-R1000R M6 didedah – enjin terima naik taraf, sistem elektronik ditambah baik, 195 PS

    Selepas empat dekad menjadi ikon dalam dunia motosikal supersport, Suzuki akhirnya memperkenalkan model terkini dalam siri GSX-R – iaitu Suzuki GSX-R1000R M6 2026. Dibangunkan berdasarkan kejayaan besar dalam arena perlumbaan, termasuk 15 gelaran Kejuaraan Dunia Endurance FIM, model terbaru ini sekarang memenuhi sepenuhnya piawaian emisi dan bunyi semasa yang lebih ketat.

    Pencapaian ini diperoleh melalui penggunaan sistem kawalan elektronik yang lebih pintar, disertakan pula dengan peningkatan pada sistem bantuan tunggangan yang menjadikan pengalaman menunggang lebih selamat dan responsif. Enjin dan casis juga telah diperbaharui, manakala bateri lithium-ion ringan keluaran ELIIY Power kini menjadi kelengkapan standard untuk memberikan prestasi lebih cekap.

    Bersempena ulang tahun ke-40 siri GSX-R, model GSX-R1000R M6 hadir dengan grafik dan logo khas ulang tahun yang diletakkan pada panel sisi, tangki minyak dan juga kunci motosikal. Tiga pilihan warna menarik ditawarkan kepada peminat iaitu Pearl Vigor Blue dengan Pearl Tech White, Candy Daring Red dengan Pearl Tech White dan Pearl Ignite Yellow dengan Metallic Mat Stellar Blue.

    Demi memenuhi keperluan regulasi moden, enjin empat silinder selari 1,000 cc model ini telah direka semula secara menyeluruh. Komponen seperti penyuntik bahan api, head, camshaft, injap, piston dan crankshaft telah diubah suai. Lift untuk camshaft juga diselaraskan untuk mengurangkan pertindihan, manakala lebar rantai cam ditingkatkan bagi menahan tekanan tinggi dalam perlumbaan jarak jauh. Kuasa yang dihasilkan adalah 195 PS dan tork 110 Nm.

    Sistem pintar Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) kini dilengkapi fungsi anti-lift control, atau lebih dikenali sebagai wheelie control, yang mengawal kestabilan tayar hadapan ketika pecutan. Selain itu, sistem Roll Torque Control menggunakan sensor IMU dan pengesan kelajuan roda untuk mengawal kuasa dan tork roda belakang berdasarkan sudut condong motosikal serta putaran roda, demi memastikan pecutan keluar dari selekoh lebih lancar dan terkawal.

    Gabungan kawalan cengkaman, anti-lift dan Roll Torque Control ini dikenali Suzuki sebagai sistem Smart TLR. Sebagai tambahan, GSX-R1000R M6 turut dilengkapi winglet gentian karbon di bahagian cowl hadapan, seperti yang digunakan dalam perlumbaan Suzuka 8 Hours 2024 oleh pasukan Team Suzuki CN Challenge. Namun, aksesori ini mungkin tidak tersedia di semua pasaran.

     
     
  • Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

    Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

    Yangwang, satu jenama mewah di bawah BYD, akhirnya melancarkan model SUV ultra mewah terbarunya, Yangwang U8L, di pasaran China. Model ini diperkenalkan secara rasmi pada Auto Shanghai April lalu, dan kini dijual pada harga permulaan 1.3 juta yuan (sekitar RM771,400), iaitu sekitar RM119,900 lebih mahal daripada model standard U8.

    U8L merupakan versi lebih mewah dan besar daripada U8, menawarkan ruang dalaman enam tempat duduk yang jauh lebih luas dan selesa. Ia direka untuk bersaing dengan SUV mewah bertaraf dunia seperti Rolls-Royce Cullinan. Dengan penambahan panjang sebanyak 81 mm – menjadikan keseluruhan panjangnya 5,400 mm – serta jarak roda yang dipanjangkan sehingga 200 mm, U8L menawarkan ruang tambahan terutama di bahagian belakang, cukup untuk memuatkan barisan tempat duduk ketiga.

    Untuk penampilan luar, U8L membezakan dirinya dengan reka bentuk lengkuk roda sama warna dengan badan dan rim aloi bersaiz 23 inci dengan corak berbentuk perisai oktagon. Logo pada kenderaan ini diperbuat daripada emas tulen 24 karat dan dihasilkan melalui proses ukiran halus 24 langkah, memaparkan tulisan purba Cina yang membawa maksud “elektrik”.

    Di belakang, pintu but jenis sisi pada U8 telah digantikan dengan pintu dua bahagian yang lebih praktikal, mirip seperti rekaan Range Rover. Pilihan warna badan turut ditambah, termasuk gabungan dua tona Sun Gold dan Obsidian Black dengan salutan nano seramik, warna hitam penuh dengan perincian emas serta warna Dragon Stone Green dan Fluorite White.

    Sudah tentu, bahagian dalam U8L juga menonjolkan ciri-ciri mewah. Tempat duduk barisan kedua jenis kapten kini dilengkapi fungsi baring dan urutan satu sentuhan dengan kecondongan sehingga 120 darjah, termasuk urutan 18 titik, pemanas, ottoman terbina dan skrin pengawal bersaiz tujuh inci. Penumpang belakang boleh menikmati paparan pada monitor bumbung 21.4 inci, manakala tempat duduk hadapan boleh direbahkan sepenuhnya bagi memberi keselesaan tambahan kepada penumpang di belakang.

    Kesemua tempat duduk dibalut kulit Nappa dalam pilihan warna hitam dan coklat atau ungu dan kelabu, dipadankan dengan kemasan kayu walnut hitam dan kayu jati serta karpet bulu tebal berkualiti tinggi. Tingkap pula menggunakan teknologi electrochromic yang boleh menjadi gelap secara automatik, termasuk apabila pejalan kaki melintas untuk menjaga privasi mereka yang di dalam.

    Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

    Ciri hiburan masih dikekalkan dengan skrin OLED melengkung 12.8 inci di tengah papan pemuka, diapit dua skrin mini-LED 23.6 inci untuk paparan instrumen dan penumpang hadapan. Penumpang hadapan juga boleh menikmati tempat duduk dengan pemanas, pengudaraan, penyokong tepi aktif dan fungsi urutan 14 bahagian.

    Sistem kawalan suhu juga sangat canggih dengan sensor di setiap tempat duduk, termasuk pada perehat tangan pintu dan konsol tengah, bagi memastikan suhu kabin dikekalkan pada tahap optimum. Audio pula dikuasakan oleh sistem Dynaudio 32 pembesar suara berkuasa 2,040 watt, lengkap dengan sokongan Dolby Atmos dan pembesar suara di setiap penyandar kepala.

    Dari segi kuasa, U8L mengekalkan sistem rangkaian pemacu elektrik U8, dengan empat motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 1,196 PS dan tork 1,280 Nm. Kuasa ini disalurkan melalui bateri Blade LFP 49.05 kWh dan enjin penjana petrol turbo 2.0 liter empat silinder. Walaupun tiada angka prestasi rasmi untuk U8L, model standard mampu memecut 0-100 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Jarak perjalanan elektrik sepenuhnya ialah sekitar 180 km, manakala jumlah jarak gerak keseluruhan mencecah 1,000 km, mengikut kitaran CLTC China.

    Teknologi casis juga tidak kurang hebatnya. U8L dilengkapi sistem suspensi hidraulik DiSus-P dari BYD yang mampu melakukan “tank turn” dan bergerak dengan hanya tiga tayar jika satu tayar bocor. Untuk keselamatan dan pemanduan pintar, SUV ini dilengkapi sistem bantuan pemandu paling canggih BYD, God’s Eye A (DiPilot 600), yang menggunakan tiga sensor lidar dan menyokong pemanduan separa automatik di lebuh raya dan bandar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025