Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Lencongan trafik di Plaza Tol Sg Besi-Persimpangan UPM di PLUS pada 19 Julai, 12.01 t/malam-5 pagi

    Lencongan trafik di Plaza Tol Sg Besi-Persimpangan UPM di PLUS pada 19 Julai, 12.01 t/malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pelancaran struktur gantri di antara laluan Plaza Tol Sungai Besi dan Persimpangan UPM (kedua-dua arah) di KM309.7 Lebuhraya Utara-Selatan pada Sabtu inim 19 Julai 2025, dari jam 12.01 tengah malam sehingga 5 pagi.

    “Sehubungan itu, lencongan trafik akan dijalankan secara berperingkat di lokasi. Pengguna dari Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan (UPM/Kajang/Bangi) akan dilencongkan melalui laluan Stesen Minyak BHP, manakala pengguna dari arah Bangi/Kajang ke Kuala Lumpur/Sungai Besi akan dilencongkan keluar di Plaza Tol UPM dan melalui Lebuhraya BESRAYA sebagai laluan alternatif.

    “Para pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan, mematuhi arahan petugas trafik, dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja demi keselamatan bersama. Kerjasama dan keprihatinan anda amat dihargai,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Nahas bas Gerik babitkan pelajar UPSI: Bas dipercayai dipandu lebih 117.6 km/j antara punca kemalangan

    Nahas bas Gerik babitkan pelajar UPSI: Bas dipercayai dipandu lebih 117.6 km/j antara punca kemalangan

    Kementerian Pengangkutan hari ini menyatakan bahawa kelajuan menjadi antara punca mengapa terjadinya kemalangan maut yang melibatkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan lalu.

    Dapatan ini diumumkan menerusi laporan awal yang dikeluarkan oleh pasukan petugas khas kementerian berkenaan di mana bas tersebut dipercayai telah dipandu melebihi 117.6 km/j sebelum tergelincir dan terbabas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak pada 09 Jun 2025 seterusnya menyebabkan kematian 15 penumpang bas tersebut.

    Analisa dibuat bukan sahaja berdasarkan video dari dashcam sebuah Honda Odyssey yang dipotong bas tersebut sebelum ia terbabas, malah kira-kira turut dibuat dengan mengambilkira aspek seperti pusat graviti bas, jejari selekoh, pekali geseran, sudut kecerunan jalan dan pelbagai lagi.

    Hasil pengiraan yang dibuat, pasukan petugas khas tersebut mendapati kelajuan kritikal untuk bas itu tergelincir adalah antara 104.2 km/j hingga 111.1 km/j, manakala kelajuan kritikal untuk ia terbalik adalah antara 111.3 km/j hingga 114.5 km/j.

    “Oleh itu, kelajuan minimum bas semasa kejadian dianggarkan melebihi 111.3 km/j, iaitu paras minimum untuk memungkinkan terjadinya kejadian terbalik dalam situasi geometri selekoh tersebut,” tulis laporan itu. Insiden tersebut berlaku di satu selekoh menurun bukit dengan had kelajuan ditetapkan pada 60 km/j.

    Nahas bas Gerik babitkan pelajar UPSI: Bas dipercayai dipandu lebih 117.6 km/j antara punca kemalangan

    Laporan ini juga turut memperincikan ringkasan kejadian tersebut, di mana ia terjadi pada jam lebih kurang 1.10 pagi, 9 Jun 2025, apabila bas persiaran milik syarikat Kenari Travel and Tours yang disewa khas untuk membawa 42 orang pelajar UPSI, dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terlibat dalam satu kemalangan maut di KM53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) yang menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak.

    “Bas tersebut dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit sebelum melanggar sebuah motokar pelbagai utiliti (MUV) Perodua Alza yang sedang bergerak di arah yang sama menuju ke Baling, Kedah. Kenderaan tersebut membawa empat orang sekeluarga. Kemalangan yang berlaku di laluan berselekoh dan bercerun curam ini telah menyebabkan bas terbabas dan terbalik ke sebelah kiri jalan menghala ke Gerik, manakala MUV Perodua Alza terbabas ke dalam longkang di bahu jalan bertentangan menghala ke Jeli.

    “Akibat kemalangan ini, seramai 15 orang pelajar UPSI telah terkorban, manakala kedua-dua pemandu bas serta penumpang lain mengalami kecederaan pelbagai tahap. Pemandu dan penumpang MUV Perodua Alza turut mengalami kecederaan, namun tiada kematian dilaporkan dalam kenderaan tersebut. Kejadian berlaku pada waktu malam di kawasan berselekoh tajam dan bercerun curam, dalam keadaan cuaca baik dan permukaan jalan yang kering, namun tanpa kemudahan lampu jalan,” tulis laporan berkenaan.

     
     
  • JPJ dalam peringkat akhir semakan Kejara – tambahbaik tutup kelemahan sistem mata demerit

    JPJ dalam peringkat akhir semakan Kejara – tambahbaik tutup kelemahan sistem mata demerit

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kini berada di peringkat akhir semakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), yang bertujuan untuk menambahbaik sistem tersebut, laporan Bernama.
    .
    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, semakan yang sedang dirangka itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem berkenaan yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bulan lalu.

    “Sistem Kejara kini berada di peringkat akhir semakan di JPJ sebelum dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan,” katanya sambil menambah bahawa penambahbaikan ini akan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan aspek perundangan dan pindaan yang perlu dibuat.

    JPJ dalam peringkat akhir semakan Kejara – tambahbaik tutup kelemahan sistem mata demerit

    Ini kerana mata demerit hanya akan ditolak bagi sesuatu kesalahan apabila pesalah trafik melangsaikan saman mereka, walau bagaimana pun, ramai individu yang disaman berjaya mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Kejara hanya dengan tidak membayar saman tersebut. Aedy Fadly berkata penambahbaikan ini akan memastikan penguatkuasaan yang cepat dan konsisten supaya pemandu yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan dan mengelakkan mereka mengabaikan saman yang diterima.

    Diperkenalkan pada tahun 1984, sistem Kejara melibatkan pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan bermotor yang melakukan kesalahan tertentu seperti yang dijadualkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya. Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti berpotensi menyebabkan kemalangan serius atau maut serta membahayakan pengguna jalan raya lain telah dimasukkan dalam sistem ini.

    Walau bagaimana pun, sistem ini telah digantung pada tahun 2011 disebabkan isu penguatkuasaan dan kebolehlaksanaan, namun pada tahun 2015 diumumkan bahawa ia akan diperkenalkan semula bersama Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Perkara ini akhirnya direalisasikan pada tahun 2017 apabila Kejara dan AES digabungkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

     
     
  • Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam seat; dari RM179k

    Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

    Setelah beberapa kali pengedarnya Omoda | Jaecoo Malaysia menampilkannya kepada umum di sini, model SUV Jaecoo J8 akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Pada Mac lalu, spesifikasi untuk pasaran tempatan serta pendaftaran minatnya sudah dibuka.

    Untuk Malaysia, Jaecoo J8 ditawarkan dalam dua varian: varian 2WD lima-tempat duduk dijual dengan harga RM178,800, dan diikuti dengan varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga RM198,800. Angka-angka ini adalah lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan sebelum ini, iaitu RM195,000 dan RM220,000. Model ini juga datang dengan jaminan tujuh-tahun/150,000km sebagai standard.

    Untuk enjin, kedua-dua varian ini menggunakan unit yang sama: enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder — dikongsi dengan Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda C9 — yang menjana sebanyak 249 PS kuasa dan 385 Nm tork. Ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan seperti model C9 (bukan DCT tujuh-kelajuan) — dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda, mengikut penawaran variannya.

    Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

    Dari aspek prestasi, Jaecoo J8 2WD mampu memecut dari 0–100 km/j dalam masa 8.8 saat, manakala varian AWD mengambil masa 9.0 saat. Kedua-dua varian juga mampu mencapai laju maksimum 200 km/j. Sementara itu, kadar penggunaan minyak ialah pada tahap 7.8L/100km (piawaian WLTP) untuk versi 2WD dan 8.1L/100km (WLTP) untuk pilihan AWD.

    Sebetulnya, Jaecoo J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar daripada kebanyakkan SUV segmen D yang lain. Ia hadir dengan ukuran dimensi 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Ini menjadikan model ini 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen D Chery Tiggo 8 Pro.

    Dari segi rupa luaran, J8 direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J7 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

    Jaecoo J8 dilancarkan di Malaysia — dua varian, enjin 2.0L 249 PS/345 Nm, lima atau enam <em>seat</em>; dari RM179k

    Di dalam, rekaan kabin J8 sama seperti rekaan SUV keluaran Chery, yang mana ia mengambil banyak inspirasi daripada model-model Mercedes-Benz. Ini boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear di kolum stereng, corak pada balutan tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis larasan tempat duduk, serta banyak lagi.

    Turut mengambil ilham daripada Mercedes-Benz ialah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum, dengan masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan Head Up Display (HUD). Tidak ketinggalan, ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga tersedia.

    Untuk aspek keselesaan dan konfigurasi kerusi, J8 AWD menjadi yang pertama dalam kelasnya yang menampilkan “Queen Seat” untuk penumpang depan, dengan kebolehan untuk melaraskan bahagian sokongan kaki, serta kerusi dengan ciri pemanas, liang udara, urutan dan memori (HVMM) untuk pemandu, penumpang depan dan juga penumpang di barisan kedua. Melengkapkan lagi ciri mewah dalam kabinnya ialah pelapik bumbung gentian mikro serta sistem lampu ambient dengan 256-warna.

    Perbezaan bagi varian 2WD termasuklah sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan balutan kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but dengan kapasiti 738 liter. Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter.

    Jaecoo J8 AWD pula diberikan kelengkapan lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara (tambahan dua lagi di perehat kepala tempat duduk hadapan), 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam binaan dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tingkap belakang, balutan kulit sebenar serta kemasan-kemasan suede.

    Bagi aspek keselamatan, Jaecoo J8 lengkap dengan sistem ADAS Tahap 2.5 yang merangkumi antaranya ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Driver Monitoring System (DMS), Lane Change Assistance (LCA), Automatic Emergency Braking (AEB) dan Forward Distance Monitoring (FDM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Event Data Recorder (EDR) serta Fully Automatic Parking untuk varian AWD — begitu juga dengan 10-beg udara untuk varian tertinggi tersebut.

    J8 ini juga turut dilengkapi sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

    Untuk warna badan, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi hadir dengan tema dua tona warna dengan bahagian bumbungnya dalam kemasan hitam.

    Tempahan sebelum 21 Julai 2025, pelanggan akan menerima satu tahun insurans percuma di bawah Program Jaecoo Prime Protection, serta jaminan 10-tahun untuk enjin tanpa had perbatuan, dan satu pengalaman off-road eksklusif.

    Jaecoo J8 2025 AWD

    Jaecoo J8 2025 AWD

     
     
  • Proton terima 5,000 tempahan untuk X50 facelift dalam masa 10-hari, sasar serah kereta pada akhir Ogos

    Proton terima 5,000 tempahan untuk X50 facelift dalam masa 10-hari, sasar serah kereta pada akhir Ogos

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima sebanyak 5,000 tempahan untuk X50 facelift 2025 selepas ia dibuka sejak 5 Julai lalu. Tempahan yang cukup banyak itu diterima walaupun harga bagi SUV segmen-B ini belum diumumkan, dan ia hanya akan diketahui ketika pelancarannya pada 24 Julai ini.

    Sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa 10,000 pelanggan terawal X50 facelift ini akan menerima rebat tunai sebanyak RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa. Orang ramai juga sudah boleh mula memandu uji model ini di semua bilik-bilik pameran Proton di seluruh negara bermula 19 Julai 2025.

    “Pasukan pengeluaran Proton di Tanjong Malim juga telah berusaha keras membina stok agar penyerahan kereta kepada pelanggan dapat dilakukan sebaik sahaja pelancaran. Sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 5,000 unit sedia untuk pendaftaran menjelang akhir Ogos bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan selepas membuat tempahan,” kata naib CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

    Proton terima 5,000 tempahan untuk X50 facelift dalam masa 10-hari, sasar serah kereta pada akhir Ogos

    Proton X50 facelift ini telah menerima perubahan menyeluruh bukan hanya pada rekaan luaran dan dalaman, malah kini turut telah menerima enjin baharu i-GT dengan kod BHE15 keluaran Aurobay 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo sebelum ini.

    Selain dari harga, kesemua perincian, varian, spesifikasi dan sebagainya telah pun didedahkan dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Proton X50 2025 Premium


    Proton X50 2025 Flagship

     
     
  • Geely Galaxy Starshine 6 terdedah – sedan PHEV segmen C, ada kemungkinan jadi model Proton?

    Geely Galaxy Starshine 6 terdedah – sedan PHEV segmen C, ada kemungkinan jadi model Proton?

    Siapa kata sedan sudah tidak relevan? Geely jelas membuktikan sebaliknya apabila telah melancarkan tiga model sedan baru tahun ini sahaja dan kini muncul pula model keempat dikenali sebagai Geely Galaxy Starshine 6. Model plug-in hybrid ini didedahkan melalui dokumen rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), dan bakal mengisi ruang di antara model segmen C, Galaxy L6 dan model segmen D, Galaxy A7, dalam barisan produk Geely yang semakin padat.

    Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Autohome, Galaxy Starshine 6 memiliki ukuran panjang 4,806 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,490 mm. Ini menjadikannya 112 mm lebih pendek, 19 mm lebih sempit dan 5 mm lebih rendah daripada A7, manakala jarak roda sepanjang 2,756 mm pula adalah 89 mm lebih pendek.

    Berbanding L6, Starshine 6 pula lebih panjang sebanyak 24 mm, lebih lebar 11 mm dan lebih tinggi 1 mm, dengan jarak roda yang lebih panjang 4 mm. Melihat kepada saiz ini, ada kemungkinan besar Starshine 6 akan menggantikan L6 sebagai model baru, manakala L6 sedia ada mungkin akan terus ditawarkan sebagai pilihan lebih mampu milik.

    Nama Starshine 6 mungkin mengelirukan kerana ia memberi bayangan seolah-olah berkait dengan model utama Starshine 8, sedangkan dari sudut mekanikal, ia lebih hampir kepada A7. Antara teknologi yang dijangka dikongsi ialah sistem kuasa hibrid EM-i, yang menggabungkan enjin 1.5 liter NA (BHE15PFI) berkuasa 111 PS dan 136 Nm bersama motor elektrik berkuasa 238 PS dan 262 Nm, dipadankan dengan transmisi hibrid satu kelajuan (DHT) dengan nisbah gear 11:1.

    Geely Galaxy Starshine 6 terdedah – sedan PHEV segmen C, ada kemungkinan jadi model Proton?

    Untuk rujukan, sistem ini pada model A7 mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat, mencapai kelajuan maksimum 190 km/j dan mencatat penggunaan bahan api serendah 2.67 l/100 km. Bateri LFP 18.4 kWh pula membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 150 km dan jarak keseluruhan melebihi 2,100 km. Dengan saiz dan berat yang lebih kecil berbanding Starshine 6, angka-angka ini mungkin akan menjadi lebih baik.

    Dari aspek rekaan, Starshine 6 turut kelihatan mirip kepada A7 dengan lampu utama yang tirus, rekaan cermin sisi enam panel yang melengkung, pemegang pintu jenis tarik konvensional dan lampu belakang melintang penuh. Namun, terdapat satu perbezaan ketara – bahagian belakang Starshine 6 menggantikan bar lampu A7 dengan gril besar berbentuk trapezoid bersama jalur menegak, memberikan sentuhan gaya seperti Mercedes-AMG GT 4-Door.

    Sebelum ini, Galaxy A7 sering disebut sebagai calon kuat untuk menjadi model Proton eMas pada masa akan datang. Namun, dengan saiz lebih kompak dan gaya lebih sporty yang lebih selari dengan citarasa pasaran tempatan, adakah Starshine 6 sebenarnya lebih sesuai untuk pasaran Malaysia? Apa pula pilihan anda – A7 atau Starshine 6?

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 kini sudah boleh dipandu uji di bilik pameran 3S/4S terpilih sebelum ia dilancarkan

    Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Proton sudah mengumumkan bahawa anda boleh datang ke bilik-bilik pamerannya untuk memandu uji X50 facelift 2025. Tempahan bagi model berkenaan sudahpun dibuka pada awal bulan ini, namun harganya hanya akan diumumkan ketika pelancarannya tidak lama lagi.

    Walau bagaimanapun, Proton sudah mengesahkan 10,000 pelanggan terawal X50 facelift ini akan menerima rebat tunai sebanyak RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa.

    Proton X50 facelift ini telah menerima perubahan menyeluruh bukan hanya pada rekaan luaran dan dalaman, malah kini turut telah menerima enjin baharu i-GT dengan kod BHE15 keluaran Aurobay 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo sebelum ini.

    Selain dari harga, kesemua perincian, varian, spesifikasi dan sebagainya telah pun didedahkan dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Proton X50 2025 Premium


    Proton X50 2025 Flagship

     
     
  • smart #5 EHD didedah – PHEV jarak gerak 1,600 km

    smart #5 EHD didedah – PHEV jarak gerak 1,600 km

    Anda mungkin pernah melihat model smart #5 secara dekat semasa Malaysia Autoshow yang lalu dan sekarang, muncul pula versi plug-in hybrid (PHEV) yang dinamakan smart #5 EHD (Electric Hybrid Drive), seperti yang dilaporkan oleh Car News China.

    Setakat ini, maklumat yang diketahui hanya ia menggunakan enjin turbo 1.5 liter BHE15-CFZ dengan kuasa 163 PS, bateri CATL jenis LFP berkapasiti lebih 40 kWh serta kecekapan penggunaan bahan api sekitar 4.4 liter bagi setiap 100 km mengikut piawaian CLTC.

    Ia juga mampu bergerak sejauh 250 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan memberikan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,600 km. Bagaimanapun, kuasa motor elektrik untuk model ini masih belum diumumkan secara rasmi.

    smart #5 EHD didedah – PHEV jarak gerak 1,600 km

    Untuk dimensi, smart #5 EHD mencatat ukuran panjang 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,710 mm dan mempunyai jarak roda 2,900 mm. Berat keseluruhan adalah 2,190 kg, menjadikannya lebih ringan berbanding varian EV penuh yang mempunyai berat 2,450 kg. Ini boleh difahami memandangkan versi EV dilengkapi dengan bateri yang jauh lebih besar — 76 kWh untuk varian pacuan roda belakang (RWD) dan 100 kWh jenis NMC untuk varian pacuan semua roda (AWD).

    Melihat kepada rekaan luaran, perbezaan utama antara model PHEV ini dengan versi EV terletak pada kehadiran sistem LiDAR di bumbung serta rekaan bampar depan dan belakang yang sedikit berbeza. Selain daripada rekaan rim, tiada perubahan besar yang dapat dilihat buat masa ini.

    Maklumat lanjut mengenai model ini dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. Dengan kehadiran smart #5 EHD, pengguna kini mempunyai satu lagi pilihan menarik dalam segmen kenderaan hibrid moden yang menggabungkan prestasi elektrik dan enjin pembakaran dalaman.

     
     
  • JPJ mulakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang lesen PSV, GDL yang digantung Nov ini

    JPJ mulakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang lesen PSV, GDL yang digantung Nov ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memulakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang Lesen Vokasional untuk Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung pada November ini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, kursus terbabit bertujuan meningkatkan semula tahap kesedaran serta mengukuhkan kembali pengetahuan berkaitan undang-undang jalan raya, etika pemanduan dan aspek keselamatan yang mungkin sudah dilupakan selepas memperoleh lesen dulu, laporan Bernama.

    “Mereka wajib menjalani kursus pemulihan itu sebelum diberikan semula lesen berkenaan, perkara ini akan dilaksanakan dan ia dalam peringkat perincian. Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk kita laksanakan program ini, mungkin ia akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November ini,”katanya.

    JPJ mulakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang lesen PSV, GDL yang digantung Nov ini

    Tambahnya, beberapa perkara mengenai kursus pemulihan seperti membabitkan modul dan latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “Pemandu kenderaan berat sekarang , apabila mendapat lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan mereka tidak ada latihan lanjutan. Kursus pemulihan dilaksanakan untuk mengingatkan semula pemandu berkenaan mengenai peraturan yang mungkin sudah dilupakan.

    “Kita mungkin akan memperkenalkan kursus penyegaran lanjutan ini kepada pemandu kenderaan berat tetapi bukanlah dalam masa terdekat,” katanya.

     
     
  • Subaru Uncharted diperkenal di Amerika Syarikat – EV dengan kuasa sehingga 338 hp, jarak gerak 483 km

    Subaru Uncharted diperkenal di Amerika Syarikat – EV dengan kuasa sehingga 338 hp, jarak gerak 483 km

    Subaru memperkenalkan sebuah lagi kenderaan elektrik (EV) baru yang akan menyertai barisan model elektrik sedia ada mereka seperti Solterra dan Trailseeker. Model baru ini dinamakan sebagai Subaru Uncharted dan merupakan kembar kepada model elektrik Toyota C-HR+, yang dikenali hanya sebagai C-HR di pasaran Amerika Syarikat.

    Subaru Uncharted membuat penampilan sulungnya di Amerika Syarikat dan dijangka mula dijual pada awal tahun 2026. Ia akan menjadi SUV elektrik paling kecil dalam barisan EV Subaru setakat ini. Pelanggan ditawarkan tiga varian berbeza iaitu Premium FWD, Sport dan GT.

    Dibina berasaskan platform e-TNGA yang sama seperti Toyota C-HR+, Subaru Uncharted turut berkongsi banyak panel badan dengan kembarnya tetapi diubah sedikit dengan antara yang paling ketara ialah rekaan bahagian hadapan yang mempunyai panel hitam lebih banyak, termasuk ruang khas untuk logo Pleiades Subaru. Lampu nyalaan siang pula hadir dengan corak titik-titik unik berbanding bentuk C yang digunakan pada C-HR+.

    Subaru Uncharted diperkenal di Amerika Syarikat – EV dengan kuasa sehingga 338 hp, jarak gerak 483 km

    Rekaan lampu belakang juga menampilkan corak titik-titik yang sama, tanpa bar cahaya yang menyambungkan kedua-dua kluster lampu seperti pada C-HR+. Bahagian bampar pula dilengkapi elemen warna kontras yang lebih menonjol, memberikan rupa lebih tersendiri.

    Bahagian dalaman mengekalkan kebanyakan susun atur daripada Toyota C-HR+, namun terdapat perbezaan pada stereng yang diambil daripada model Subaru Solterra dan Trailseeker. Antara ciri utama yang ditawarkan termasuk skrin sesentuh infotainmen bersaiz 14 inci, bumbung panoramik, pilihan rim 18 atau 20 inci, lampu suasana, pengecas tanpa wayar dan pilihan upholsteri kalis air StarTex.

    Dari aspek prestasi, kesemua varian Uncharted dilengkapi dengan bateri lithium-ion berkapasiti 74.7 kWh. Varian Premium FWD yang akan ditawarkan dalam jumlah terhad menggunakan sistem pacuan roda hadapan dengan kuasa 221 hp dan mampu mencapai jarak sehingga 483 km dengan sekali cas.

    Subaru Uncharted diperkenal di Amerika Syarikat – EV dengan kuasa sehingga 338 hp, jarak gerak 483 km

    Varian Sport dan GT pula menggunakan dua motor elektrik untuk pacuan semua roda (AWD), menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 338 hp. Jarak gerak sedikit berkurangan kepada sekitar 467 km, tetapi kelebihannya ialah pecutan dari 0-96 km/j boleh dicapai dalam masa kurang lima saat. Varian AWD ini juga dilengkapi mod pemanduan off-road Subaru X-Mode.

    Untuk pengecasan, Subaru Uncharted menyokong soket North American Charging Standard (NACS), membolehkannya dicas di rangkaian pengecas pantas Tesla Supercharger. Menurut Subaru, pengecasan dari tahap 10% ke 80% hanya mengambil masa sekitar 30 minit menggunakan pengecas DC berkuasa 150 kW. Ia juga menyokong pengecasan AC dengan kapasiti 11 kW.

     
     
  • MRT3 Laluan Lingkaran sepanjang 51.6 km diluluskan oleh MoT, langkah seterusnya ialah pengambilan tanah

    MRT3 Laluan Lingkaran sepanjang 51.6 km diluluskan oleh MoT, langkah seterusnya ialah pengambilan tanah

    Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Laluan Lingkaran telah mendapat lampu hijau untuk dilaksanakan. Laluan transit aliran massa ketiga ini telah diluluskan secara rasmi dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, satu pencapaian besar bagi projek yang dijangka menjadi pelengkap terakhir rangkaian rel Lembah Klang.

    Ini susulan daripada Pelaksanaan Pemeriksaan Awam (PI) yang diadakan dari September hingga Disember 2024, di mana MRT Corp mengumpul maklum balas daripada orang ramai. “Terima kasih yang tidak terhingga kepada 45,000 rakyat Malaysia yang telah berkongsi pandangan mereka semasa Pemeriksaan Awam — dengan 93.3% menyatakan sokongan padu terhadap MRT3!” kata syarikat itu dalam satu hantaran di media sosial semalam.

    Berdasarkan maklum balas yang diterima,MRT Corp turut menyatakan bahawa jumlah pengambilan tanah kini dikurangkan daripada 1,012 kepada 690 lot, dan penempatan stesen serta jejambat juga telah diperbaiki sepanjang jajaran. Perubahan ini berkemungkinan berdasarkan maklum balas daripada Pelaksanaan Pemeriksaan Awam. Dengan kelulusan rasmi yang diperoleh, langkah seterusnya bagi projek ini adalah pengambilan tanah.

    Dengan 10 stesen pertukaran, MRT3 Laluan Lingkaran sepanjang 51.6 km (sebelum ini dinyatakan sebagai 50.8 km) akan diintegrasikan dengan laluan MRT, LRT, KTM dan Monorel yang sedia ada. Peta di bawah telah didedahkan pada Mac 2022, dan anda boleh klik imej berkenaan untuk membesarkannya serta mengkaji jajaran tersebut.

    MRT3 Laluan Lingkaran sepanjang 51.6 km diluluskan oleh MoT, langkah seterusnya ialah pengambilan tanah

    Peta rasmi MRT3 tersebut menunjukkan terdapat 31 stesen termasuk hab utama di Titiwangsa, tetapi tidak termasuk dua stesen pinggiran yang turut disenaraikan (Salak Jaya dan Bukit Kiara). Bermula dari Titiwangsa di KL dan menuju arah Setapak, stesen yang terlibat termasuklah Kampung Puah, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, Rejang, Setiawangsa, AU2, Taman Hillview, Tasik Ampang, Kampung Pandan, Pandan Indah dan Taman Kencana. Jalur dengan stesen lain termasuklah di sekitar Cheras, melibatkan Taman Cheras (a.k.a. Yulek), Taman Midah, Jalan Yaacob Latif dan Sri Permaisuri.

    Laluan kemudiannya menuju ke Salak Selatan, Salak Jaya, Kuchai dan Jalan Klang Lama. Ia kemudiannya masuk ke kawasan Lembah Pantai, melibatkan stesen Pantai Dalam, Pantai Permai, Universiti dan UM. Laluan terakhir pula melibatkan Bukit Kiara South, Bukit Kiara, Sri Hartamas dan Mont Kiara sebelum menuju ke Bukit Segambut, Taman Sri Sinar (berdekatan Kepong), Dutamas dan Jalan Kuching sebeluk kembali semula ke Titiwangsa.

    Ketika itu, direncanakan, kitaran jajaran MRT3 melibatkan jarak sepanjang 50.8 km, dengan 10.7 km daripadanya akan melibatkan laluan bawah tanah. Manakala seksyen laluan bawah tanah adalah dari Rejang ke Setiawangsa, Universiti ke Bukit Kiara Selatan (stesen UM di bawah tanah) dan dari Sri Hartamas hingga berdekatan stesen Jalan Kuching. Hampir semua jajaran ini (39 km) berada di KL manakala bakinya di Selangor.

     
     
  • Rapid KL On-Demand diperluaskan ke 12 zon baharu mulai 18 Julai – melibatkan daerah Shah Alam, Klang

    Rapid KL On-Demand diperluaskan ke 12 zon baharu mulai 18 Julai – melibatkan daerah Shah Alam, Klang

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, melancarkan peluasan fasa baharu perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang melibatkan 12 zon tambahan di kawasan Shah Alam dan Klang bermula hari ini, 18 Julai 2025.

    Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen Prasarana untuk memperkukuh jaringan mobiliti bandar serta meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, khususnya kesalinghubungan first-mile dan last-mile. Kawasan-kawasan ini dikenal pasti sebagai zon strategik yang memerlukan sokongan mobiliti yang lebih cekap dan efisien.

    12 zon tambahan itu adalah Persiaran Dato Menteri – KTM Shah Alam, KTM Padang Jawa – Terminal 17, KTM Padang Jawa – Seksyen 7, U12 Cahaya Alam, Bandar Baru Klang, KTM Klang – Batu Belah, Taman Summit, KTM Klang – Teluk Gadong, Sri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Puteri.

    Menurut Amir Hamdan selaku Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, peluasan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mendekatkan rakyat kepada sistem pengangkutan awam yang diyakini dan inklusif.

    “Fasa ini bukan sekadar memperluas liputan perkhidmatan, tetapi membuktikan komitmen kami untuk menyediakan akses yang seimbang kepada pengangkutan awam. Kami mahu memastikan setiap warga bandar mendapat penyelesaian mobiliti yang bersesuaian, cekap, dan berpatutan, terutamanya di kawasan yang sebelum ini kurang diliputi oleh rangkaian bas sedia ada.”

    Rapid Bus turut memaklumkan, dalam masa yang sama, zon Desa Pinggiran Putra – Dataran Gemilang Putrajaya akan digabungkan dengan zon MRT Putrajaya Sentral – PICC, dan dinamakan semula sebagai MRT Putrajaya Sentral – PICC & Desa Pinggiran Putra bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

    Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk dan boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang promosi serendah RM1.00 setiap perjalanan masih diteruskan sebagai galakan kepada lebih ramai pengguna untuk mencuba perkhidmatan ini.

    Tempahan perjalanan boleh dibuat dengan mudah melalui aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turn secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • JPJ eBid: Siri BSL dan JYF dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Selangor dan Johor yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BSL dibuka bidaan mulai hari ini, 18 Julai 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 22 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 23 Julai 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JYF, akan dibuka bidaan bermula 21 Julai 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 Julai 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Mitsubishi Destinator – SUV 7-tempat duduk untuk ASEAN, 1.5L MIVEC Turbo 163 PS/250 Nm, CVT, 2WD

    Mitsubishi Destinator – SUV 7-tempat duduk untuk ASEAN, 1.5L MIVEC Turbo 163 PS/250 Nm, CVT, 2WD

    Mitsubishi Motors hari ini telah menyiarkan foto dan juga perincian berkenaan SUV terbaharunya yang diberi nama Mitsubishi Destinator, sebelum ia didedahkan sepenuhnya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang akan bermula minggu depan.

    Destinator merupakan sebuah lagi model yang direka khas untuk pasaran ASEAN seperti Xpander dan juga XForce. Seperti yang anda boleh lihat, Destinator merupakan versi produksi bagi model Mitsubishi DST Concept yang didedahkan di Filipina pada Oktober tahun lalu. Dan Mitsubishi nampaknya membawa banyak perincian rekaan dari model konsep berkenaan ke versi produksi ini.

    Antara perincian tersebut termasuk garis sisi badan, muka Dynamic Shield yang menampikan bentuk lampu hadapan berbentuk-T bersama gril hadapan akrilik dengan elemen sarang lebah, penutup but seperti cengkerang, garis-garis pada rekaan tingkap termasuk kemasan pada tiang-C, ke semua ruang roda yang ‘berotot’, malah rekaan set rim 18-inci yang dipadankan juga kelihatan hampir sama.

    Lampu belakang juga direka dengan kluster berbentuk-T. Jika anda lihat dengan lebih teliti, bahagian belakang Destinator ini menonjolkan bentuk heksagon – Mitsubshi menyatakan bahawa ia direka dengan konsep Hexaguard Horizon, dan ia diinpirasikan dari bentuk bahagian belakang SUV legenda Mitsubishi yang menempatkan tayar gantian di belakang iaitu Pajero.

    Mitsubishi Destinator – SUV 7-tempat duduk untuk ASEAN, 1.5L MIVEC Turbo 163 PS/250 Nm, CVT, 2WD

    Dari segi siz, Destinator menampilkan panjang keseluruhan 4,680 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,780 mm, dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Ia juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah yang cukup tinggi untuk meredah laluan lasak dan juga banjir yang selalu terjadi di ASEAN iaitu 214 mm (atau 244 mm tanpa pelindung bawah badan).

    Sebelum ini Destinator dicanangkan merupakan lawan terus kepada Toyota Rush, atau kembarnya yang masih dijual di Malaysia iaitu Perodua Aruz. Namun selepas spesifikasinya didedahkan, nampaknya SUV Mitsubishi adalah jauh lebih besar dan hampir kepada saiz SUV segmen-C kerana ia adalah 245 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar serta jarak roda 130 mm lebih jauh dari Rush/Aruz.

    Tetapi disebabkan Destinator ini adalah 75 mm lebih rendah berbanding kembar SUV Toyota/Daihatu tersebut, jarak kelegaan tanahnya juga adalah 6 mm lebih rendah. Destinator turut direka dengan sudut Approach 21 darjah, sudut berlepas 25.5 darjah serta sudut ramp breakover 20.8 darjah membolehkan ia melalui laluan dengan permukaan tidak bertar dengan mudah.

    SUV ini masih menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Menurut Mitsubishi, walaupun ditala bagi membolehkan di pandu pada permukaan off-road, ia masih tidak mengabaikan aspek keselesaan khususnya pada permukaan jalan di kawasan ASEAN.

    Mitsubishi Destinator – SUV 7-tempat duduk untuk ASEAN, 1.5L MIVEC Turbo 163 PS/250 Nm, CVT, 2WD

    Tidak seperti Xpander dan XForce yang masih dijana oleh enjin 4A91 1.5L NA, Destinator dibekalkan dengan enjin lebih berkuasa iaitu 4B40 1.5 liter empat-silinder MIVEC Turbo yang dibekalkan dengan 163 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 2,500 hingga 4,000 rpm, iaitu enjin yang sama seperti Eclipse Cross. Menurut Mitsubishi dalam kenyataan yang dikeluarkan, bagi pasaran Indonesia, enjin 4B40 tersebut akan menampilkan fungsi kitaran Atkinson.

    Kuasa dialirkan terus kepada kotak gear CVT, dan hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, unit rangkaian kuasa ini masih dioptimakan untuk pemanduan off-road dengan diberikan mod pemanduan Gravel, Tarmac dan Mud, selain dua lagi mod iaitu Normal dan Wet. Sistem agihan tork Active Yaw Controller (AYC) juga diberikan bagi memastikan kedua-dua tayar hadapan menerima kuasa yang tepat bagi memaksimakan cengkaman pada permukaan jalan.

    Pada sebelah dalam, rekaan roda stereng, skrin paparan instrumen digital (atau analog dengan skrin pelbagi info 4.2-inci), skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci (atau 8-inci yang lebih kecil), suis-suis kekunci piano untuk pelbagai operasi dan juga panel kawalan pendingin hawa digital Destinator ini sama seperti XForce, namun pada bahagian lain seperti liang-liang penghawa dingin ia menerima rekaan tersendiri.

    Tujuh tempah duduk dalam SUV ini disusun dengan konfigurasi 2-3-2, di mana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 serta diberikan perehat tangan yang mempunyai pemegang cawan serta boleh dilipat. Model varian lebih tinggi turut diberikan meja lipat untuk penumpang bahagian ini yang diletakkan pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Manakala tempat duduk baris ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50.

    Antara perincian-perincian yang diberikan pada varian-varian lebih tinggi termasuk sistem pendingin hawa automatik dua-zon, brek parkir elektrik, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu kawalan kuasa, bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi sehingga enam-pembesar suara dan juga sistem telematik Mitsubishi Connect, pengelap cermin dan lampu automatik serta kamera undur pelbagai pandangan.

    Pembeli turut boleh memadankan pelbagai perincian pilihan dengan tambahan harga seperti pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan, sistem bunyi premium Yamaha dengan lapan-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, varian tertinggi menerima enam beg udara, kamera undur pelbagai pandangan serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang menampilkan fungsi termasuk pengelak kemalangan hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran titik buta dengan bantuan tukar lorong, lampu tinggi automatik dan amaran lintasan trafik belakang.

    Sementara varian-varian lebih rendah diberikan empat beg udara, kamera undur biasa, cruise control pasif dan lain-lain. Di Indonesia Destinator akan dipasarkan dalam tiga varian bermula varian GLS, Exceed dan Ultimate. Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Jet Black Mica, Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Graphite Grey Metallic dan Lunar Blue.

    Mitsubishi Destinator ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Selapas Indonesia, ia turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Filipina serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

    SUV segmen-B lima tempat duduk Mitsubishi Xforce mungkin di lihat sukar untuk di bawa ke Malaysia kerana lawan-lawannya di sini kebanyakkannya dijana oleh enjin 1.5L Turbo. Untuk Destinator yang sememangnya diperkenalkan terus dengan enjin turbo ini, mungkin ia lebih mudah untuk di bawa ke sini?


    GALERI: Brosur Mitsubishi Destinator pasaran Indonesia

     
     
  • MAA masih menunggu kemaskini OMV/402 daripada MoF, kenaikan harga kenderaan CKD belum ditentukan

    MAA masih menunggu kemaskini OMV/402 daripada MoF, kenaikan harga kenderaan CKD belum ditentukan

    Sebelum ini, ada dilaporkan yang pelaksanaan semakan peraturan cukai eksais di bawah PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais), yang sepatutnya dimulakan pada awal tahun ini, telah ditangguh ke Januari 2026.

    Pelaksanaan ‘402’ ini, atau semakan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), akan memperluas skop barangan yang boleh dicukai bagi kereta CKD dengan menyertakan kos bukan-pengilangan seperti jualan, pemasaran dan perbelanjaan pengurusan dan keuntungan. Dengan itu, ia dijangka akan menaikkan harga kenderaan CKD. Ini akan kita lihat kesannya kelak, sama ada betul atau tidak.

    Laporan awal memberi petunjuk bahawa harga kenderaan CKD boleh meningkat sekurang-kuranganya antara 10%-30%. Tetapi, Februari lalu, Kementerian Kewangan dengan tegas menafikan situasi itu akan berlaku, dengan memaklumkan bahawa kaedah penilaian kenderaan masih dikaji, dan belum ada sebarang keputusan akhir berkaitan hal tersebut.

    MAA masih menunggu kemaskini OMV/402 daripada MoF, kenaikan harga kenderaan CKD belum ditentukan

    Dengan hanya tinggal lima bulan sahaja lagi sebelum OMV/402 ini dilaksanakan, persoalan sama ada ia akan dilaksanakan seperti dirancang masih belum terjawab. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) ketika taklimat prestasi separuh pertama 2025 semalam turut menyentuh hal ini.

    Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, OMV/402 ini akan dilaksanakan mengikut perancangan, tetapi kaedah baru akan digunakan untuk meminimumkan kesannya kepada pengguna dan akan diumumkan kelak.

    “Kami telah berbincang dengan Kementerian Kewangan, dan OMV pasti akan dilaksanakan, memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada penjajaran semula bagi panduan World Customs Organisation,” ujarnya.

    Sama ada kenderaan CKD akan naik harga sekitar 10%-30% sekiranya menggunakan format yang telah diwartakan, tidak dinafikan itu ada kebarangkaliannya. “Ya, jika kesan 402 ini dikira mengikut format lama, pastinya akan melibatkan kenaikan 10%-30% sebagai kesan ke atas harga atas jalan (OTR) kenderaan,” jelasnya.

    MAA masih menunggu kemaskini OMV/402 daripada MoF, kenaikan harga kenderaan CKD belum ditentukan

    “Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang kami terima, petunjuknya adalah akan ada kaedah baru atau cara pengiraan baru untuk meminimumkan kesan berkenaan. Kami masih menunggu taklimat berikutnya daripada pihak berwajib, harapnya dalam masa terdekat,” tambah beliau, dan menambah bahawa MAA berharap akan mendapat kemaskini berkaitan perkata itu dalam tempoh segera.

    Ini adalah kerana baki tempoh yang tersisa sebelum pelaksanaan OMV/402 ini semakin singkat. “Dengan hanya lima bulan yang tinggal, tempoh itu terlalu singkat untuk membolehkan mana-mana produksi untuk bertindak balas. Kerisauan kami adalah ini akan melibatkan rantaian bekalan, dan kesannya ke atas logistik dan sebagainya. Kami memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk melakukan perubahan yang diperlukan,” jelasnya.

    Tentang adakah kerajaan telah memberi jaminan bahawa harga kenderaan tidak akan meningkat sehingga 10%-30%, Shamsor berkata belum ada sebarang petunjuk yang diberikan dalam bentuk bertulis. “Tetapi, berdasarkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, mereka memaklumkan yang mereka akan kaedah bagi meminimumkan kesan tersebut,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025