Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Leapmotor C10 CKD – pemasangan tempatan di Gurun sudah bermula, diikuti oleh B10 2-3 bulan akan datang

    Leapmotor C10 CKD – pemasangan tempatan di Gurun sudah bermula, diikuti oleh B10 2-3 bulan akan datang

    Leapmotor C10

    Stellantis Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV EV segmen-C Leapmotor C10 versi pemasangan tempatan (CKD) kini sudahpun mula diproduksi menerusi kilangnya yang terletak di Gurun, Kedah. Manakala bagi model lebih kecil iaitu SUV segmen-B Leapmotor B10 juga akan di pasang dikilang yang sama bermula dua hingga tiga bulan dari sekarang.

    Perkara ini diumumkan sendiri oleh pengarah urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo hari ini ketika berlangsungnya majlis menandatangani operasi pengedaran Leapmotor antara Stellantis Malaysia dan Cycle & Carriage.

    “C10 (pemasangan CKD) bermula pada April dan Mei tahun ini, dan saya menjangkakan B10 akan menyusul dalam masa dua hingga tiga bulan,” kata Yeo. Beliau turut menambah bahawa unit-unit yang dipasang di Gurun ini juga “sentiasa ada dalam rancangan” untuk dieksport ke pasaran luar Malaysia, namun kos dan kualiti perlu diselaraskan terlebih dahulu, serta lokalisasi yang lebih menyeluruh juga perlu dibuat lebih awal.

    Dalam temubual paultan.org bersama Yeo tahun lalu, beliau menyatakan bahawa Stellantis telah melabur lebih dari RM25 juta untuk kilangnya di Gurun, bagi membolehkan kilang milik penuhnya itu menghasilkan sebanyak 60,000 unit kenderaan setahun.

    Leapmotor C10 CKD – pemasangan tempatan di Gurun sudah bermula, diikuti oleh B10 2-3 bulan akan datang

    Leapmotor B10

    Yeo sebelum ini juga memberitahu paultan.org bahawa selain daripada hakikat bahawa buat masa sekarang Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai ekosistem EV dan bateri, malah turut tiada insentif cukai khas di bawah AFTA untuk mengeksport EV ke negara jiran ASEAN. Namun, Stellantis tetap ada perancangan untuk menggunakan keseluruhan kapasiti 60 ribu setahun di Gurun berkenaan (bukan untuk Leapmotor sahaja) untuk pasaran tempatan serta eksport melangkaui pasaran ASEAN.

    Yeo juga hari ini mengesahkan bahawa model-model CKD yang dipasang di Gurun kelak akan dijual pada harga yang hampir sama dengan model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, di mana unit-unit tersebut sebelum ini dibawa masuk ke Malaysia tanpa cukai menerusi insentif yang diberikan oleh kerajaan.

    Buat masa sekarang Leapmotor C10 Plus 2026 CBU yang dilancarkan pada Februari lalu dijual pada harga RM148,000, sebelum ditolak rebat pelancaran bernilai RM9,000. Manakala Leapmotor B10 CBU yang dilancarkan pada Disember 2025 dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM109,800. Selepas ini Stellantis Malaysia bakal melancarkan pula Leapmotor B03X, atau dikenali sebagai leapmotor A10 di China.

     
     
  • Morbidelli Vizy 125i dilancarkan di Malaysia – RM4,988

    Morbidelli Vizy 125i dilancarkan di Malaysia – RM4,988

    Selain SC200SR, Morbidelli juga ada melancarkan sebuah skuter mampu milik baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Vizy 125i. Ia dijual pada harga RM4,988 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu kuning, hitam dan merah.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 123.6 cc bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 9.5 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter.

    Kedua-dua rim hadapan dan belakang menggunakan saiz 14 inci, dibalut masing-masing tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, dipegang oleh fork teleskopik dan satu penyerap hentak. Hanya brek hadapan menggunakan unit cakera, manakala brek belakang masih menggunakan unit dram.

    Di bawah tempat duduk skuter ini masih terdapat ruang barangan, sementara kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk poket barangan di bawah bahagian pemegang, soket pengecas USB dan pengunci brek tangan.

    Vizy 125i juga datang dengan panel meter digital LCD, lampu hadapan dan belakang LED serta lampu kecemasan. Kunci masih menggunakan fizikal biasa.

     
     
  • Kia EV4, EV5 dan PV5 bakal tampil di KLIMS 2026

    Kia EV4, EV5 dan PV5 bakal tampil di KLIMS 2026

    Sempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, yang akan dibuka kepada umum dari 12-21 Jun di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kia Malaysia (KSM) telah mengumumkan bahawa syarikat itu akan mempamerkan tiga kenderaan elektrik (EV) ketika acara tersebut.

    Dan ketiga-tiga model itu juga sudah dikongsi di media sosialnya — melibatkan model EV4, EV5 dan PV5. Ketika ini, KSM belum mempunyai sebarang model EV yang dijual di pasaran Malaysia sejak mula beroperasi pada awal 2026. Model EV6 pernah disenaraikan dalam laman web syarikat itu, tetapi kini tiada lagi.

    Kia EV4 pertama kali ditampilkan kepada umum pada Februari lalu dalam dua gaya badan, sedan dan hatchback. Kedua-duanya menerapkan falsafah rekaan ‘Opposites United’ jenama tersebut, dengan ciri khas yang menonjol seperti “EV Tiger Face”, lampu menegak “Star Map” dan pemegang pintu yang rata. Versi sedan ini mempunyai gaya yang lebih menarik, walaupun imej yang disiarkan oleh KMS mencadangkan model hatchback yang akan ditunjuk.

    EV4 dibangun menggunakan binaan 400-volt E-GMP (Electric-Global Modular Platform) dan hadir dengan bateri bateri 58.3 kWh (Base) atau 81.4-kWh (Long Range). Jarak WLTP yang boleh dicapai sehingga 430 km atau 630 km untuk sedan, manakala 410 km atau 590 km untuk hatchback.

    Kia EV4, EV5 dan PV5 bakal tampil di KLIMS 2026

    Pengecasan AC adalah pada kadar 11 kW, dengan SoC 10%-100% memerlukan masa lima jam 20 minit (Base) atau tujuh jam 15 minit (Long Range). Sementara itu, pengecasan pantas DC mencapai kadar hingga 305 kW, dengan SoC 10%-80% memerlukan 29 minit (Base) atau 31 minit (Long Range). Sebaliknya, fungsi vehicle-to-load (V2L) ialah pada kadar 3.6 kW, dan vehicle-to-grid (V2G) pada kadar 10 kW.

    Kia EV4 didatangkan secara standard dengan motor elektrik hadapan yang menjana sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW), yang mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 (Base) atau 7.7 saat (Long Range) — laju maksimum yang boleh dicapai ialah 170 km/j untuk kedua-dua varian.

    Beralih ke EV5, model SUV kompak ini muncul pertama kali pada Ogos 2023 dan kini turut dijual di Thailand. Juga menerapkan rekaan “Opposites United”, EV5 menggunaan binaan 400-volt E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang sama dengan tiga konfigurasi janaan kuasa — Standard Range paling asas menampilkan bateri lithium iron phosphate (LFP) 64.2 kWh untuk jarak sehingga 400 km (WLTP) dengan sebuah motor motor elektrik hadapan yang menghasilkan sebanyak 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 310 Nm.

    Kia EV4, EV5 dan PV5 bakal tampil di KLIMS 2026

    Berikut di atasnya ialah Long Range yang mengekalkan tetapan motor elektrik yang sama, tetapi dengan bateri LFP 88.1 kWh yang memberikan jarak perjalanan sehingga 555 km. Di pasaran domestiknya, EV5 menerima kemaskini Oktober lalu yang menyaksikan peralihan kepada bateri nickel manganese cobalt (NMC) 81.4-kWh untuk jarak perjalanan sehingga 530 km. Bagaimanapun, kemaskini tersebut tidak ditawarkan di Thailand.

    Penawaran tinggi ialah versi AWD, yang mengekalkan bateri LFP 88.1 kWh tetapi menambah sebuah lagi motor elektrik di belakang yang menjana 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 170 Nm — ini menjadikan output keseluruhan sistem sebanyak 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 480 Nm. Tetapi jarak perjalanan berkurang menjadi 500 km. Pasaran Thailand menerima ketiga-tiga konfigurasi ini.

    Untuk pengecasan, varoan Standard boleh menyokong input AC maksimum 7 kW, dengan SoC 10%-100% mengambil masa sembilan jam dan 43 minit. Varian Long Range dan AWD pula boleh menampung sehingga 11 kW dan mengurangkan tempoh pengecasan kepada lapan jam dan 10 minit. Pengecasan pantas DC adalah pada kadar 102 kW (Standard) atau 141 kW (Long Range dan AWD), dengan SoC 10%-80% memerlukan masa sama ada 36 minit atau 38 minit.

    Kia EV4, EV5 dan PV5 bakal tampil di KLIMS 2026

    Akhir sekali, Kia PV5, sebuah van elektrik yang telah dipertontonkan sebagai sebuah model konsep pada Januari 2024 sebelum versi produksinya dilancarkan pada Februari setahun kemudian. PV5 ialah sebahagian daripada barisan kenderaan binaan khas (PBV) Kia yang menggunakan E-GMP.S, platform EV 400 volt yang menyokong pelbagai jenis dan bentuk badan kenderaan.

    Untuk itu, PV5 didatangkan dalam gaya badan standard dan panjang yang boleh dikonfigurasikan untuk pelbagai tujuan, sama ada untuk mengangkut penumpang atau barangan. PV5 dipacu roda hadapan dan dilengkapi sebuah motor elektrik yang menghasilkan sebanyak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 250 Nm, dengan bateri NCM yang mempunyai kapasiti tenaga 51.5 (296 km WLTP) atau 71.2 kWh (416 km WLTP).

    Pengecas AC binaan dalam 11 kW membolehkannya untuk mencapai SoC 10%-100% dalam masa kira-kira lima atau 6.5 jam, manakala pengecasan pantas DC pada kadar 150 kW akan membolehkan bateri mencapai SoC 10%-80% dalam masa kurang daripada 30 minit. Di pasaran tertentu, PV5 juga boleh dikonfigurasikan dengan motor elektrik janaan lebih rendah dan bateri LFP yang lebih kecil.

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi Jun 2026 — diskaun hingga RM34k; terbesar HR-V RM13k, Civic RM12k

    Honda Malaysia anjur promosi Jun 2026 — diskaun hingga RM34k; terbesar HR-V RM13k, Civic RM12k

    Sepanjang Jun 2026, Honda Malaysia kini memperkenalkan kempen ‘Experience More Hybrid Joy’ dalam usaha untuk terus memperluaskan penerimaan terhadap model kenderaan dengan ciri elektrifikasi keluaran jenama itu. Sekiranya anda berhasrat untuk mendapatkan sebuah Honda hibrid bulan ini, anda boleh menikmati ganjaran sehingga RM13,000.

    Jumlah terbesar itu diberikan untuk HR-V 1.5L e:HEV RS, manakala bagi varian E dan V Turbo masing-masing ditawarkan dengan diskaun RM8,000 dan RM10,000. Varian S yang paling asas dengan enjin NA pula diberikan ganjaran berjumlah RM8,000.

    Sementara itu, Civic 2.0L e:HEV RS menyaksikan jumlah ganjaran kedua tertinggi sebanyak RM12,000, dengan varian lain bagi sedan segmen C itu seperti E, V dan RS Turbo tersedia dengan harga diskaun sehingga RM10,000. Model yang mendapat jumlah ganjaran ketiga tertinggi ialah WR-V, dengan ganjaran sebanyak RM11,000, dan sah untuk keempat-empat variannya.

    Selebihnya, varian hibrid (1.5L e:HEV RS) bagi kedua-dua sedan dan City hatchback menikmati diskaun sebanyak RM10,000. Versi bukan hibrid bagi City sedan juga didatangkan dengan ganjaran berjumlah RM10,000, kecuali varian 1.5L S yang paling asas, yang diberikan diskaun RM8,000.

    Bagi varian bukan hibrid City hatchback, ia hadir dengan ganjaran RM8,000. Pelanggan yang berminat dengan CR-V pula boleh mendapatkan SUV tersebut dengan diskaun sebanyak RM9,000, termasuk varian 2.0L e:HEV RS yang paling tinggi. Sekiranya anda lebih suka model elektrik sepenuhnya, e:N1 (stok 2025) masih ditawarkan dengan diskaun RM34,000. Promosi ini terpakai untuk kenderaan yang didaftarkan antara 1-30 Jun 2026.

     
     
  • Tan Chong eksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri ke Vietnam – NEV CKD akan datang

    Tan Chong eksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri ke Vietnam – NEV CKD akan datang

    WTC Automotif (WTCA), yang bernaung di bawah Kumpulan Tan Chong yang terlibat dalam pengedaran dan pemasangan kenderaan GAC di Malaysia telah memulakan eksport GAC GS3 Emzoom ke Vietnam. SUV segmen-B ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur, dan ia juga telah dilancarkan di pasaran tempatan pada Ogos 2024.

    “Mengeksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri (LHD) yang dipasang secara tempatan ke Vietnam merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi WTCA dan ia menonjolkan kekuatan kerjasama kumpulan automotif kami dengan GAC International. Ia membuktikan pengalaman serta keupayaan pemasangan tempatan Kumpulan Tan Chong sebagai sebuah kilang CKD penuh yang turut mempunyai kemudahan mengecat untuk menghasilkan kenderaan buatan Malaysia yang berkualiti tinggi. Pencapaian ini juga menunjukkan kesiapsiagaan kami untuk menyokong strategi pertumbuhan serantau GAC.

    “Kami amat berterima kasih dan menghargai sokongan serta bimbingan berterusan daripada GAC International, di samping sokongan strategik daripada agensi-agensi kerajaan utama seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kerjasama mereka telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan program eksport ini. Pencapaian ini mencerminkan kejayaan Dasar Automotif Nasional Malaysia dalam memperkukuhkan sektor pembuatan tempatan, program bagi vendor tempatan, serta mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN,” kata James Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings.

    Tan Chong eksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri ke Vietnam – NEV CKD akan datang

    WTCA menyatakan bahawa kilang di Segambut telah dinaik taraf bagi memenuhi keperluan eksport. Komponen badan kenderaan tertentu juga telah dipertingkatkan untuk menyokong pengeluaran kenderaan LHD, sekali gus memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian yang ditetapkan oleh GAC International. WTCA turut menjelaskan bahawa piawaian tersebut menjadi asas kukuh kepada program vendor tempatan bagi eksport model LHD kedua dari Segambut, dalam apa yang disifatkan sebagai operasi eksport ke Vietnam yang “tersusun dan mampan”.

    “WTCA dan GAC International juga sedang giat membangunkan model Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dalam bentuk CKD untuk pasaran domestik serta memperluaskan eksport ke pasaran ASEAN yang lain selaras dengan visi kerajaan Malaysia. Maklumat lanjut mengenai destinasi eksport seterusnya dan penambahan barisan model akan diumumkan pada masa yang sesuai apabila perancangan tersebut ada perkembangan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    GS3 Emzoom yang tampil dengan reka bentuk yang tajam dan moden ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo GDI yang menghasilkan 177 PS dan 270 Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan. Setelah dikemas kini pada bulan lalu, harganya kini bermula dari RM116,800 bagi varian Exclusive hingga RM126,800 bagi varian Premium R.

     
     
  • Proton eMas 7 2026 dalam iklan teaser — bateri 68.39 kWh lebih besar, jarak WLTP 450 km, lancar 11 Jun ini?

    Proton eMas 7 2026 dalam iklan teaser — bateri 68.39 kWh lebih besar,  jarak WLTP 450 km, lancar 11 Jun ini?

    Tak sampai sehari selepas BYD mendedahkan teaser untuk Atto 3 Evo terbaru, pengeluar kereta nasional Proton pula membalasnya dengan menunjukkan imej model terbaru untuk pasaran tempatan — eMas 7 2026 yang dikemas kini. Pelancarannya dalam masa seminggu lagi, iaitu 11 Jun, yang merupakan hari media bagi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026.

    Pembaharuan apa yang akan dilakukan untuk eMas 7? Untuk bayangan, kita lihat apa yang sudah ditawarkan untuk pasaran Australia dan Thailand: kembar model terbabit di pasaran tersebut, Geely EX5, telah dinaik taraf dengan bateri LFP bilah pendek Aegis dengan kapasiti lebih besar, 68.39 kWh, berbanding kepasiti terdahulu dengan 60.22 kWh.

    Ini memberikan sedikit peningkatan terhadap julat perjalanannya, iaitu menjadi 475 km kitaran WLTP, berbanding 410 km untuk eMas 7 Premium semasa. Harus ambil maklum bahawa jarak berkenaan adalah untuk rim 18-inci seperti yang digunakan untuk varian Prime. Bagi varian Premium, yang menggunakan rim 19-inci, jaraknya menurun kepada 450 km — hanya melibatkan peningkatan 40 km.

    Dengan motor hadapan yang sama yang memberikan kuasa sehingga 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, serta tambahan berat 50 kg untuk versi bateri yang lebih besar (akan dipanggil Premium Plus di sini untuk menandingi eMas 7 PHEV, mungkin?) juga akan jadi lebih perlahan pecutan 0-100 km/j iaitu 7.4 saat. Model semasa memberikan bacaan 6.9 saat.

    Proton eMas 7 2026 dalam iklan teaser — bateri 68.39 kWh lebih besar,  jarak WLTP 450 km, lancar 11 Jun ini?

    Kuasa pengecasan pantas DC-nya juga kekal pada kadar 100 kW, tetapi dengan hanya melibatkan peningkatan kapasiti bateri yang sedikit, Geely mendakwa ia akan mengambil masa 20 minit juga untuk diisi semula dari tahap 30 hingga 80%. Model ini masih menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, dengan masa selama tujuh jam untuk dicas dari 10% hingga 100% (naik daripada 6.1 jam untuk model lain).

    Memandangkan terdapat sedikit peningkatan jarak perjalanan tersebut, boleh dijangkakan model utama terbaru ini mungkin juga akan menambah beberapa kelengkapan yang tidak ditawarkan kepada varian Premium sedia ada untuk membezakan tahap penawaran antara variannya. Ciri seperti beg udara tengah bahagian hadapan dan fungsi urutan binaan dalam untuk kerusi penumpang seperti yang ditawarkan oleh EX5 di peringkat global. Kemas kini ini juga dijangka akan memperkenalkan pilihan cat Emerald Green yang terbaru, serupa dengan eMas 7 PHEV.

    Perubahan lain dalam penawaran varian juga mungkin berlaku. Memandangkan Geely telah menghentikan penggunaan bateri berkapasiti 49.52 kWh yang paling “asas” di China, ada kemungkinan vairan Prime selepas ini bakal beralih kepada bateri 60.22 kWh “pertengahan”, yang akan memberikan peningkatan jarak pemanduan dari 345 km menjadi 430 km (sekali lagi, dengan rim 18-inci).

    Kita tunggu pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui lebih lanjut tentang penawaran Proton eMas 7 2026 ini.

     
     
  • JPJ eBid: JYY dan VRF sedang dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan WP Kuala Lumpur yang sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYY telah dibuka bidaan sejak 1 Jun lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam esok, 5 Jun. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Jun 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VRF, juga sedang dibuka bidaan sejak 3 Jun lalu. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 7 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 8 Jun 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • ARIIC Gobi 250 dan Touch 250 dilancar di Malaysia – skuter 249 cc dengan meter TFT, TC, dari RM13.7k

    ARIIC Gobi 250 dan Touch 250 dilancar di Malaysia – skuter 249 cc dengan meter TFT, TC, dari RM13.7k

    Seperti yang dilaporkan tahun lepas, dua model skuter daripada ARIIC iaitu Touch 250 dan Gobi 250 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga masing-masing RM13,688 dan RM13,988 tidak termasuk insurans. Harga ini sedikit lebih murah berbanding harga jangkaan yang dikeluarkan sebelum ini.

    Asas untuk kedua buah skuter ini adalah sama, dengan dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 249 cc bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 22.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 23.5 Nm pada 5,000 rpm. Tangki bahan api bagaimanapun adalah berbeza saiz, dengan Touch menyediakan kapasiti 13 liter, manakala Gobi 12.5 liter.

    Ini adalah disebabkan oleh bentuk badan yang berbeza, dan Gobi yang dijual lebih mahal RM300 dinaik taraf dengan fork USD serta rim jenis spoked (14/13 inci). Touch pula menggunakan rim aloi (14/13 inci) bersama fork teleskopik. Suspensi belakang keduanya menggunakan dua penyerap hentak biasa (Gobi 250 yang kami dekati di China menggunakan penyerap belakang dengan tabung).

    Tugas membrek dijalankan angkup dua piston bersama cakera 240 mm tunggal di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel diberikan secara standard dan aspek keselamatan ditambah baik lagi dengan sistem kawalan cengkaman.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin TFT tujuh inci, dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan helmet fullface, dua poket barangan serta soket pengecas USB.

    Tidak cukup dengan itu, Touch dan Gobi ini juga dilengkapi dengan semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar serta kamera hadapan. Bagi penghadang angin hadapan, hanya Touch yang datang dengan unit kawalan elektronik, manakala Gobi menggunakan pelarasan manual.

    GALERI: ARIIC Touch 250

    GALERI: ARIIC Gobi 250

     
     
  • WMoto Griffin 205 dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    WMoto Griffin 205 dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    WMoto melancarkan sebuah skuter baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Griffin 205, dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam empat warna iaitu putih, kelabu, biru dan merah.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan cecair 198.8 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 19.7 hp pada 8,250 rpm dan tork 17.4 Nm pada 6,250 rpm.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak yang mempunyai tabung. Brek di kedua-dua roda adalah unit cakera, dan sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Informasi penting dipaparkan melalui panel meter TFT dan kemudahan lain yang disediakan untuk penunggang adalah termasuk sistem kunci pintar, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk dan poket barangan yang turut menempatkan soket pengecas USB C dan A.

    Griffin 205 datang dengan kapasiti tangki bahan api 11 liter, serta kelengkapan lain seperti semua lampu jenis LED, tempat duduk dengan perehat belakang dan perakam video hadapan.

     
     
  • Volvo Secret Sales kembali di Sisma Auto dari 5-7 Jun — rebat hingga RM60k, rebat khas acara, hadiah

    Volvo Secret Sales kembali di Sisma Auto dari 5-7 Jun — rebat hingga RM60k, rebat khas acara, hadiah

    Jika anda adalah peminat tegar Volvo dan sedang mencari sebuah SUV mewah untuk dimiliki, anda dipelawa untuk meninjau sendiri satu daripada acara jualan Volvo yang paling mengujakan tahun ini — Volvo Secret Sales yang bakal kembali dan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026.

    Dianjurkan oleh Volvo Sisma Auto, kempen eksklusif selama tiga hari ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang di Volvo Sisma Auto Sungai Besi dan di pameran bergerak Volvo Sisma Auto bertempat di East Coast Mall, Kuantan.

    Sempena kempen Volvo Secret Sales ini, pelanggan akan berpeluang menikmati rebat standard sehingga RM60,000*, serta Rebat Rahsia tambahan yang tersedia secara eksklusif hanya untuk acara tersebut. Selain itu, pembeli yang membuat tempahan semasa acara berlangsung juga akan menerima barangan eksklusif di lokasi.

    Bukan itu sahaja. Pelanggan yang membuat tempahan kenderaan ketika acara tersebut juga akan berpeluang menyertai cabutan bertuah “Spin & Win” yang menampilkan hadiah-hadiah menarik. Sebagai bonus tambahan, setiap tempahan yang dibuat semasa acara berlangsung juga akan melayakkan pelanggan untuk memenangi baucar percutian bernilai sehingga RM50,000 secara automatik — sekali gus menjadikan pengalaman pembelian kenderaan Volvo anda lebih bermakna.

    Jadi, sama ada anda sedang mempertimbangkan sebuah SUV keluarga yang canggih atau merancang untuk merasai pengalaman pemanduan mewah Scandinavia buat kali pertama, Volvo Secret Sales menyediakan peluang terbaik untuk anda melangkah memasuki gaya hidup Volvo. Dengan penjimatan yang lumayan, ganjaran eksklusif serta tawaran penuh kejutan yang bakal didedahkan di lokasi, Volvo Secret Sales sangat sesuai untuk pemilik Volvo sedia ada mahupun pembeli kali pertama untuk meneroka tawaran luar biasa model baharu Volvo.

    Tandakan kalendar anda dari 5 hingga 7 Jun 2026 dan berkunjung ke acara ini untuk maklumat lanjut berkaitan kelebihan serta manfaat pemilikan kenderaan Volvo anda yang seterusnya. Layari laman Facebook dan Instagram rasmi Volvo Sisma Auto untuk perincian. Anda juga boleh mendaftarkan minat dan menempah slot untuk acara tersebut di sini.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Jun – RON97 turun 30 sen, RON95 dan diesel Semenanjung masing-masing turun 20 sen

    Harga minyak 4-10 Jun – RON97 turun 30 sen, RON95 dan diesel Semenanjung masing-masing turun 20 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi tempoh 4 hingga 10 Jun 2026, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 30 Sen seliter, menjadi RM4.35 seliter.

    Begitu juga dengan petrol RON 95 tanpa subsidi yang akan ditetapkan pada harga RM3.72 seliter, yang melibatkan penurunan sebanyak 20 sen seliter. Walau bagaimana pun, RON 95 di bawah program subsidi Budi95 masih kekal RM1.99 seliter.

    Untuk diesel di Semenanjung pula, ia juga diturunkan sebanyak 20 sen seliter dan ditetapkan pada harga RM4.67 seliter. Manakala di Sabah dan Sarawak, harganya kekal pada RM2.15 seliter.

    Kesemua harga baharu ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 10 Jun 2026. Ia merupakan pengumuman ke-24 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-387 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

    Pada 31 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengumumkan kadar adunan biodiesel dinaikkan secara berperingkat daripada B10 kepada B15 di seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 Jun 2026. Menerusi pelaksanaan ini, B15 akan mengandungi 15% biodiesel berasaskan minyak sawit atau Palm Methyl Ester (PME) dan 85% diesel petroleum, berbanding campuran 10% PME di bawah mandat B10 yang digunakan sebelum ini tanpa perlu pengubahsuaian enjin bagi kebanyakan kenderaan diesel.

     
     
  • BYD Atto 3 Evo sah akan dilancar di Malaysia – 313 PS/380 Nm, pacuan roda belakang, 0-100 km/j 5.5s!

    BYD Atto 3 Evo sah akan dilancar di Malaysia – 313 PS/380 Nm, pacuan roda belakang, 0-100 km/j 5.5s!

    BYD Malaysia telahpun menyiarkan teaser terkini berkenaan versi baharu Atto 3 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan – dengan menyebut bahawa model tersebut boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, maka sah bahawa Atto 3 baharu yang akan dilancarkan ini adalah Atto 3 Evo, sama seperti model yang diperkenalkan di Eropah Februari lalu.

    Masa pecutan yang 2 saat lebih pantas tersebut dapat dicapai menerusi motor elektrik baharu yang lebih berkuasa, menghasilkan 313 PS (230 kW) dan tork maksima 380 Nm, atau 109 PS (80 kW)/70 Nm lebih berkuasa dari motor sebelumnya. Perubahan ini bukan hanya melibatkan penukaran motor baharu, malah kedudukan motor elektrik tersebut telah dialih dari gandar hadapan untuk memacu roda hadapan (FWD) sebelum ini ke gandar belakang untuk memacu roda belakang (RWD) bagi versi Evo.

    Di Eropah, Atto 3 Evo ini turut ditawarkan dengan varian pacuan semua roda, di mana ia turut diberikan satu lagi motor untuk memacu roda hadapan, menghasilkan kuasa keseluruhan 449 PS (330 kW) dan tork 560 Nm. Versi ini mampu memecut lebih pantas dengan mengambil masa hanya 3.9 saat untuk jarak sama. Namun varian ini mungkin tidak akan dibawa ke Malaysia.

    BYD Atto 3 Evo sah akan dilancar di Malaysia – 313 PS/380 Nm, pacuan roda belakang, 0-100 km/j 5.5s!

    Atto 3 Evo ini juga diberikan bateri lebih besar berkapasiti 74.8 kWj, berbanding 60.48 kWj pada versi sebelumnya. Ini membolehkan ia bergerak sejauh 510 km mengikut kitaran WLTP. Bukan itu sahaja, malah asas sistem elektrikal SUV ini juga telah berubah sepenuhnya dari 400V kepada 800V. Naik taraf ini meningkatkan kadar pengecasan maksimum daripada 88 kW kepada 220 kW, sekaligus memendekkan masa pengecasan 10-80% daripada 40 minit kepada hanya 25 minit.

    Perubahan mekanikal lain yang turut diberikan termasuk sistem suspensi bebas belakang kini mneggunakan konfigurasi lima-hubungan yang lebih kompak berbanding empat sebelum ini, membolehkan ruang but belakang dibesarkan lagi 50 liter kepada 490 liter keseluruhan, dan dapat dibesarkan sehingga 1,360 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Dengan motor yang dialihkan ke belakang juga membolehkan ruang frunk di hadapan direka lebih besar iaitu 101 liter.

    Untuk bahagian luaran, Atto 3 Evo menerima bampar baru, spoiler pintu belakang dengan lampu brek terbahagi serta rim aloi 18 inci rekaan terkini. Manakala untuk kabin, ia masih mengekalkan elemen unik seperti kemasan menyerupai tali gitar, pemegang pintu dalaman unik dan skrin sesentuh 15.6 inci yang boleh diputar.

    BYD Atto 3 Evo sah akan dilancar di Malaysia – 313 PS/380 Nm, pacuan roda belakang, 0-100 km/j 5.5s!

    Beberapa perubahan turut dibuat pada susun atur kabin. Pemilih gear kini dipindahkan ke kolum stereng, membolehkan pad pengecas tanpa wayar diletakkan secara memanjang berbanding melintang sebelum ini. Stereng baru turut diperkenalkan bersama paparan instrumen digital 8.8 inci berbentuk segi empat tepat, menggantikan reka bentuk trapezoid pada model sebelum facelift.

    BYD Atto 3 Evo akan dilancarkan di Malaysia pada hari Jumaat ini, iaitu 5 Jun 2026. Dengan peningkatan dari segi segala aspek, kami jangkakan Atto 3 Evo ini akan dijual pada harga lebih tinggi. Malah model ini masih diimport sepenuhnya (CBU) dari China selepas habis tempoh insentif EV, jadi ia akan dikenakan duti import dan eksais bermula tahun ini.

    Namun dengan pelancaran sebelum 1 Julai, Atto 3 Evo ini masih belum perlu mengikut polisi baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di mana semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp).

    GALERI: BYD Atto 3 Evo pasaran Eropah

     
     
  • Aeroline telah diberikan tempoh mencukupi untuk berpindah ke lokasi yang diluluskan – APAD

    Aeroline telah diberikan tempoh mencukupi untuk berpindah ke lokasi yang diluluskan – APAD

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mempertahankan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap sebuah pengendali bas ekspres yang baru-baru ini mengumumkan penamatan perkhidmatannya di Kuala Lumpur, dengan menyatakan bahawa syarikat tersebut telah diberikan tempoh hampir lima bulan untuk berpindah ke terminal berlesen tetapi gagal mematuhinya.

    “Tempoh peralihan ini memberikan masa yang mencukupi kepada pengendali yang terlibat untuk mengenal pasti dan berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang dilesenkan. Memandangkan pengendali berkenaan masih tidak menunjukkan sebarang langkah untuk mematuhi arahan tersebut, APAD telah mengeluarkan arahan penguatkuasaan pada Mei 2026 bagi memastikan pematuhan undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya,” kata APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Walaupun nama pengendali itu tidak dinyatakan oleh APAD, tetapi umum mengetahui isu berkenaan melibatkan syarikat bas Aeroline. Pada 30 Mei lalu, syarikat itu secara rasmi mengumumkan pengunduran operasinya dari Kuala Lumpur dengan alasan bahawa arahan untuk menggunakan lokasi alternatif yang dicadangkan telah meletakkannya dalam keadaan yang sukar dan tidak praktikal bagi para penumpangnya di Kuala Lumpur.

    Isu ini bermula tahun lalu apabila syarikat tersebut diarahkan supaya menghentikan penggunaan lokasi yang tidak berlesen dan memindahkan operasinya ke kemudahan yang mempunyai lesen sah. Moratorium penguatkuasaan sementara kemudiannya diberikan selepas Corus Hotel Kuala Lumpur City Centre menamatkan kerjasamanya dengan syarikat itu pada Januari lalu susulan pengambilalihan tapak berkenaan untuk tujuan pembangunan semula.

    Aeroline telah diberikan tempoh mencukupi untuk berpindah ke lokasi yang diluluskan – APAD

    Terdahulu media melaporkan bahawa Aeroline kemudiannya telah memindahkan operasinya buat sementara waktu ke Tun Razak Exchange (TRX). Namun, satu arahan yang dikeluarkan pada 13 Mei lalu mengehadkan operasi perkhidmatan kepada tiga lokasi yang diluluskan, iaitu 1 Utama, Lalaport dan IOI City Mall Putrajaya. Syarikat itu menyatakan bahawa Lalaport, satu-satunya lokasi yang diluluskan di pusat bandar, mengenakan caj komersil yang akan mendorong kenaikan tambang.

    APAD berkata bahawa walaupun tempoh yang mencukupi telah diberikan untuk mematuhi arahan tersebut, syarikat itu masih enggan berpindah ke mana-mana terminal atau hab pengangkutan yang berlesen. Agensi itu turut menjelaskan bahawa TRX tidak pernah diluluskan sebagai terminal atau hab pengangkutan berlesen, dan tiada permohonan pernah dikemukakan oleh pihak pengurusannya untuk tujuan tersebut. Menurut APAD lagi, sesuatu lokasi tidak secara automatik menjadi terminal yang diluluskan hanya kerana telah digunakan dalam tempoh yang lama.

    APAD memaklumkan bahawa satu arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan pada bulan lalu (19 Mei) selepas pengendali berkenaan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya. Agensi itu menambah bahawa dasar penguatkuasaan tersebut, yang terpakai kepada semua pengendali bas ekspres, bertujuan meningkatkan keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

    Selain tiga lokasi yang dinyatakan sebelum ini, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) juga merupakan lokasi yang diluluskan untuk operasi perkhidmatan bas ekspres.

     
     
  • Voge DS800X Rally dilancarkan di Malaysia – RM40k

    Voge DS800X Rally dilancarkan di Malaysia – RM40k

    Satu lagi model adventure daripada Voge dilancarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu DS800X Rally, di mana ia terletak di bawah model DS900X yang dilancarkan Februari lalu. Ia dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu putih, kuning dan hitam.

    Menggerakkan DS800X Rally adalah enjin dua silinder lapan injap penyejukan cecair DOHC 798 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 93.8 hp pada 9,000 rpm dan tork 81 Nm pada 6,500 rpm.

    Begi menyesuaikannya dengan kegunaan, dua mod tunggangan disediakan, iaitu Eco dan Sport, sementara sistem elektronik lain yang disediakan adalah termasuk brek ABS dual-channel dan kawalan cengkaman yang boleh ditutup, serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Voge DS800X Rally dilancarkan di Malaysia – RM40k

    Sesuai dengan karekter lasak yang dibawa, DS800X Rally datang dengan rim spoked 21 inci yang dibalut tayar Pirelli 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Ia masing-masing dipegang oleh suspensi Kayaba yang boleh dilaras sepenuhnya, dengan jarak gerak 200 mm di hadapan dan 190 mm di belakang.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera bersama angkup Nissin, yang menggunakan tetapan berkembar di hadapan dan tunggal di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 24 liter, dan dalam keadaan biasa tanpa aksesori, DS800X Rally mencatat berat 213 kg.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui panel meter TFT bersaiz tujuh inci dan motosikal ini juga datang dengan pemanas tempat duduk dan pemegang, lampu kabus, perakam video hadapan serta perlindungan di bahagian bawah enjin, panel tepi serta pemegang.

    Sama seperti DS900X, motosikal ini juga datang sekali dengan kotak barangan belakang dan tepi, soket pengecas USB A dan C, serta steering damper yang boleh dilaras.

     
     
  • BYD terbuka jalankan pemasangan CKD di Australia

    BYD terbuka jalankan pemasangan CKD di Australia

    Susulan daripada komentar Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese baru-baru ini bahawa perkembangan teknologi berkaitan EV di peringkat global boleh memberi peluang kepada Australia untuk memulakan semula industri pembuatan automotifnya, BYD menyatakan keterbukaan syarikat itu untuk menjalankan pemasangan dan pengeluaran kenderaan EV di negara tersebut, lapor CarExpert.

    Ketika ditanya dalam satu acara di Melbourne sama ada syarikat pengeluar kereta China itu telah berbincang dengan kerajaan Australia mengenai perkara tersebut, Naib Presiden BYD, Liu Xueliang berkata: “Belum ada dalam perancangan. Mungkin keutamaan kami ketika ini adalah jumlah jualan, serta untuk memenuhi keperluan pelanggan terlebih dahulu. Namun, BYD sangat terbuka. Semuanya ada kemungkinan.

    “Anda telah melihat sistem penyimpanan tenaga [BYD]. Tetapi pada masa hadapan, tidak hanya kenderaan penumpang, kami juga akan membawa lebih banyak kenderaan komersial untuk dipasarkan. Ini adalah kerana kami memahami bahawa ketika ini merupakan masa yang sukar untuk ramai pemilik kenderaan komersial disebabkan harga diesel yang melonjak,” jelasnya.

    BYD terbuka jalankan pemasangan CKD di Australia

    Liu ketika itu berucap di Pelabuhan Melbourne, di mana Zhengzhou — sebuah daripada lapan kapal roll-on/roll-off (RORO) yang dikendalikan oleh BYD — telah mula memunggah 4,309 unit kenderaan yang dihantar dari Shanghai.

    Dengan tahap kesepaduan yang tinggi, BYD memiliki kebanyakan daripada rantaian bekalannya sendiri, yang membolehkan syarikat itu mengawal kos. Di Australia, BYD kini berada di tempat kedua di belakang Toyota, dan sudah mengendalikan kemudahan berkaitan di Thailand, Brazil dan Uzbekistan — serta kilang bateri di California — dan mempunyai rancangan untuk pelbagai kemudahan pengeluaran di Eropah.

    Australia dan China telah memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) sejak 2015, ketika tempoh suram dan menguncup bagi perjalanan automotif Australia. Dengan itu, kenderaan dari China tidak dikenakan sebarang tarif atau duti import — begitu juga dengan kenderaan yang diimport dari Jepun dan Thailand, yang juga mempunyai FTA dengan Australia.

     
     
  • Jaecoo J5 EV dalam teaser Malaysia — bakal dilancar?

    Jaecoo J5 EV dalam teaser Malaysia — bakal dilancar?

    Selepas khabar angin yang bertiup sebelum ini, akhirnya disahkah bahawa model Jaecoo J5 EV bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi. Perkara itu adalah berdasarkan satu iklan teaser yang dikongsikan melalui laman media sosial rasmi Omoda & Jaecoo Malaysia.

    Telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia dan Thailand tahun lalu, versi bateri-elektrik bagi Jaecoo J5 ini ditawarkan di sana dengan kapasiti bateri 58.9 kWh, yang memberikan jarak 461 km mengikut kitaran NEDC (400 km WLTP).

    Di Indonesia, J5 EV menyokong pengecasan DC sehingga 130 kW, dan mampu mencapai tahap pengecasan 30%-80% dalam 28 minit. Turut disertakan ialah fungsi V2L dengan kadar 3.3 kW bagi tujuan pengecasan peranti atau perkakas elektrik mudah alih. Membekalkan kuasa untuk J5 EV ialah sebuah motor yang dipasang di hadapan yang menghasilkan sebanyak 211 PS dan 288 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat, dengan laju maksimum 175 km/j.

    Jaecoo J5 EV mempunyai ukuran dimensi 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Dari segi saiz, Jaecoo J5 EV setanding dengan saiz Honda HR-V, Proton X50 dan Chery Tiggo Cross yang ketika ini turut dijual di Malaysia.

    Jaecoo J5 EV dalam teaser Malaysia — bakal dilancar?

    Di bahagian dalam, Jaecoo J5 EV menyediakan ruang barangan di bawah hud depan seluas 35 liter, sementara ruangan barangan di dalam kabin pula boleh memuatkan 480 liter dengan semua kerusi ditegakkan, atau sehingga 1,284 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.

    Untuk pasaran luar negara, Jaecoo J5 EV antara lain dilengkapi dengan ciri rim aloi 18-inci, bumbung panoramik berkilau dengan pelindung matahari larasan kuasa, pintu belakang juga larasan kuasa, balutan kerusi dengan kulit buatan, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan liang udara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh bersaiz 13.2-inci, kluster instrumen digital lapan-inci, lapan-pembesar suara, lampu ambient 64 warna, enam-beg udara, pad pengecas tanpa wayar 50 watt dan fungsi telematik.

    Untuk ciri keselamatan, Jaecoo J5 EV menerima sistem ADAS dengan 17-fungsi, termasuk AEB, bantuan mengekalkan lorong, pemantauan titik buta dan lain-lain. Di Indonesia, Jaecoo J5 EV dijual dengan harga dari 249.9 juta hingga 299.9 juta Rupiah (RM63k-75k), manakala di Thailand dengan berharga dari 549k baht (RM71k) hingga 679k (RM88k). Berapakah harga yang dijangka untuk pasaran Malaysia?

    Jaecoo J5 EV di Thailand

     
     
  • Perodua siar bayangan sedan dalam grafik KLIMS 2026 – model konsep Bezza baharu akan didedahkan?

    Perodua siar bayangan sedan dalam grafik KLIMS 2026 – model konsep Bezza baharu akan didedahkan?

    Perodua antara jenama yang akan menyertai Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026, di mana acara tersebut akan berlangsung bermula 12 hingga 21 Jun ini. Dalam hantaran yang dibuat menerusi laman Facebook rasminya, Perodua membayangkan untuk KLIMS tahun ini ia bakal hadir mempamerkan teknologi yang akan ditawarkan kepada pengguna pada masa depan, khususnya dalam penerokaan teknologi terhubung dan lestari.

    Dan yang paling menarik, grafik pada hantaran tersebut turut menampilkan bayangan sisi sebuah sedan pada bahagian atas. Seperti yang diketahui, Perodua hanya ada satu sahaja model sedan iaitu Bezza, dan model berkenaan kini sudahpun berada selama sedekad dalam pasaran tanpa digantikan dengan model generasi baharu. Jadi adakah model konsep bagi model generasi kedua Bezza akan muncul di KLIMS 2026?

    Bagi model generasi pertama, Bezza merupakan versi sedan dari hatchback Axia, iaitu model yang dilahirkan kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya. Namun untuk Bezza, badan atasnya direka sendiri sepenuhnya oleh Perodua, dan sehingga kini ia tidak mempunyai kembar dengan lencana Toyota atau Daihatsu.

    Axia generasi kedua telahpun dilancarkan pada Februari 2023, namun sehingga kini versi sedannya iaitu Bezza masih belum muncul lagi. Pada Disember tahun yang sama Perodua ada menyatakan bahawa Bezza generasi kedua hanya akan muncul beberapa tahun lagi, manakala pada Februari lalu CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sendiri mengesahkan bahawa Perodua Bezza akan kekal dalam spesifikasi sedia ada sehingga 2030, dan tiada model baharu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

    Bayangan digital Perodua Bezza generasi kedua dihasilkan oleh Theophilius Chin

    Jadi tidak mustahil model konsep awal -setidak-tidaknya dalam bentuk skala lebih kecil- bagi sedan berkenaan mungkin akan muncul tahun ini.

    Jika formula yang sama digunakan, Bezza generasi kedua kelak sudah tentu turut diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture sama seperti Axia. Buat masa sekarang Bezza ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0 liter NA dan juga 1.3 liter NA. Namun tidak mustahil bagi model generasi kedua nanti, varian asas Bezza akan menggunakan enjin 1.3 liter, manakala varian lebih tinggi dipadankan dengan enjin 1.5 liter, di mana kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear D-CVT.

    Ini adalah kerana saingan utama Bezza di Malaysia iaitu Proton Saga MC3 ditawarkan dengan enjin 1.5 liter untuk semua varian, dan Perodua tidak mempunyai masalah untuk menawarkan unit rangkaian kuasa seperti yang disebut tadi kerana ia boleh dikongsi dengan Myvi yang telahpun menggunakan padanan enjin dan transmisi sedemikian.

    Malah dengan platform DNGA ini juga Perodua tidak mempunyai masalah untuk menawarkan varian hibrid, kerana unit rangkaian kuasa tersebut sudahpun tersedia dan telah digunakan pada beberapa model platform DNGA seperti Vios HEV dan juga Toyota Yaris Cross HEV.

    Perodua juga turut dijangka boleh menawarkan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada Bezza baharu ini kelak, kerana fungsi yang sama juga telah ditawarkan pada Axia generasi terkini. Jadi betul ke model konsep Bezza generasi kedua ini akan muncul di KLIMS 2026? Sama-samalah kita nantikan minggu depan.

     
     
  • JPJ ambil tindakan terhadap pasangan ‘bermanja’ dalam kereta – tali pinggang keledar pun tak pakai!

    JPJ ambil tindakan terhadap pasangan ‘bermanja’ dalam kereta – tali pinggang keledar pun tak pakai!

    Kadang tak faham juga dengan perbuatan individu yang berkongsikan foto atau video sedang bermanja-manja dengan pasangan di dalam kereta. Sudahlah buat aksi sebegitu, siap tak pakai tali pinggang keledar lagi. Apa yang hendak dibuktikan?

    Tahukah anda, tindakan sebegini mampu mengundang padah. Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang memandu kereta dengan pasangan wanita yang tidak memakai tali pinggang keledar serta duduk menghadapnya sehingga tular di laman Thread baru-baru ini, laporan Harian Metro

    “Tindakan akan diambil terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit. Siasatan masih berjalan dan selepas selesai kita akan mengeluarkan saman kepada mereka,” katanya.

    Video berkenaan turut mendapat kecaman para netizen yang rata-ratanya meluat dengan aksin sebegitu. Bukan setakat ‘show off’ aksi mesra, malah ia memang mampu mengundang padah kerana membelakangkan aspek keselamatan di dalam kenderaan.

    Bayangkanlah sekiranya berlaku kemalangan, apa yang akan terjadi dengan pemandu dan penumpang ‘manjanya’ itu. Bahkan pemandu berkenaan juga dilihat tidak begitu fokus dalam pemanduan. Andai terleka, dia juga boleh merisikokan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    Moga tindakan ‘tidak bijak’ sebegini’ tidak menjadi ikutan dan juga harap pihak JPJ mengenakan hukuman yang setimpal bagi memberikan pengajaran buat si pelaku dan orang lain.

     
     
  • Toyota GRMN Corolla didedah – hanya 6MT, 2 tempat duduk, lebih ringan, kit aero lebih agresif, tork 415 Nm

    Toyota GRMN Corolla didedah – hanya 6MT, 2 tempat duduk, lebih ringan, kit aero lebih agresif, tork 415 Nm

    Setahun yang lalu, Toyota ada mendedahkan sebuah GR Corolla dengan rupa lebih agresif ketika ketika berlangsungnya Kejohanan Formula Drift di Long Beach, California, Amerika Syarikat di mana ketika itu ramai yang menjangkakan bahawa ia adalah versi facelift Morizo Edition. Namun semuanya terjawab minggu ini – GR Corolla berkenaan sebenarnya menerima lencana prestasi paling hardcore Gazoo Racing Master of Nürburgring, digelar sebagai GRMN Corolla!

    Seperti GRMN Yaris, GRMN Corolla ini juga adalah lebih ringan (1,450 kg berbanding 1,480 kg pada model standard), serta diberikan kit aerodinamik dan juga suspensi yang dibangunkan dan ditala di litar Nürburgring Nordschleife, agar boleh dipandu laju walaupun di atas permukaan yang beralun dan tidak rata seperti permukaan litar dengan nama jolokan ‘The Green Hell’ berkenaan. Menurut Toyota, selain di Nürburgring, pembangunan GRMN Corolla ini juga dibuat ketika Toyota berlumba dalam siri perlumbaan endurance Super Taikyu Series di Jepun.

    Kerangka asas GRMN Corolla ini masih menggunakan kerangka sama dengan versi terkini GR Corolla 2026, di mana ia menerima penambahan bahan perekat struktur pada bahagian cantuman kerangka badan – secara keseluruhan versi tingkat taraf GR Corolla ini menerima bahan perekat sepanjang 32.7 meter, atau 13.9 meter lebih panjang dari yang sebelumnya, serta diberikan liang udara tambahan bagi mengurangkan kepanasan ketika kereta dipandu dalam keadaan beban tinggi. Menurut Toyota kedua-dua tingkat taraf tersebut dibuat hasil dari pembangunan GRMN Corolla ini di Nürburgring.

    Toyota GRMN Corolla didedah – hanya 6MT, 2 tempat duduk, lebih ringan, kit aero lebih agresif, tork 415 Nm

    Pada bahagian luaran, GRMN Corolla ini menerima komponen aerodinamik yang lebih agresif berbanding GR Corolla, dan ia sebenarnya kit aero yang sama digunakan oleh kereta lumba GR Corolla Hydrogen yang berlumba di Super Taikyu. Kit yang semuanya diperbuat dari bahan gentian karbon tersebut merangkumi penutup bonet enjin dengan liang udara tambahan, fender hadapan dengan liang tambahan di atas, spoiler sisi bawah bampar hadapan, serta spoiler belakang lebih besar dengan sayap yang boleh dilaras pada lima sudut yang berbeza.

    Penampilan luaran GRMN Corolla ini dilengkapkan dengan warna badan istimewa Black Gravite (pilihan warna Gravel hanya ditawarkan di pasaran Amerika Utara dan Australia), logo GRMN serta emblem Toyota yang digelapkan pada hadapan dan belakang, serta rim aloi forged 18-inci pelbagai jejari dalam kemasan Matte Broze dengan serlahan logo GR.

    Bukan hanya pada bahagian luar, imej sebuah kereta lumba juga dibawa ke dalam kabin GRMN Corolla ini. Kedua-dua tempat duduk hadapan ditukar kepada tempat duduk bucket penuh eksklusif GRMN yang diperbuat dari bahan polimer gentian-kaca diperkuat (GFRP).

    Toyota GRMN Corolla didedah – hanya 6MT, 2 tempat duduk, lebih ringan, kit aero lebih agresif, tork 415 Nm

    Menurut Toyota, tempat duduk ini bukan sahaja lebih ringan, malah ia dilaras berdasarkan kedudukan pemandu pada kereta lumba Super Taikyu, memberikan kedudukan lebih tetap kepada pemandu, bertahan dalam daya-G sisi yang tinggi, memberikan kedudukan kaki yang optimum untuk menekan pedal klac, memastikan kedudukan pemandu selesa walaupun memakai helmet, serta memudahkan pergerakan keluar dan masuk ke kabin. Manakala tempat duduk belakang dicabut terus bagi mengurangkan beratnya serta menyerlahkan kehadiran bar pendakap badan tambahan yang dipasang merentangi bahagian atas kedua-dua suspensi belakang.

    Bahan flocking turut diberikan pada papan pemuka dan juga perapi tiang cermin hadapan seperti kereta lumba bagi mengelakkan berlakunya refleksi cahaya matahari yang boleh mengganggu pandangan pemandu. Selain itu ia juga menerima perapi-perapi kemasan gentian karbon, serta balutan Alcantra pada roda stereng (dengan penanda pukul 12 berwarna merah), tombol dan gaiter gear serta pada pemegang tuil brek tangan, bersama serlahan-serlahan Alumite Red pada tempat duduk, panel pintu, papan pemuka serta jahitan-jahitan upholsteri.

    Ia juga menampilkan tandatangan pengerusi Toyota dan juga GR Master Driver iaitu Akio Toyoda (juga dikenali dengan nama alter-ego Morizo ketika berlumba) pada papan pemuka dan juga di dalam panel instrumen digital. Untuk melengkapkan bahagian dalaman GRMN Corolla ini, ia diberikan plat khas yang turut merekodkan nombor siri unik model edisi terhad tersebut.

    Untuk suspensi, GRMN Corolla ini menerima spring serta penyerap hentak inverted monotube di hadapan dan upright monotube di belakang (berbanding twin tube pada model biasa) yang ditala bagi memberikan cengkaman lebih baik pada sebelah dalam ketika mengambil selekoh, seterusnya meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.

    Talaan yang dibuat termasuk mengoptimakan karekteristik pada bump stop, serta mengurangkan strok sehingga satu milimeter pada bahagian hadapan dan belakang untuk keseimbangan yang optimal. Tetapan suspensi berbeza ini menjadikan GRMN Corolla 5 mm lebih rendah berbanding GR Corolla standard, sekaligus memberikan rupa yang lebuh agresif.

    Cengkaman jalan model ini juga ditambah baik menerusi pemadanan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih fokus pada pemanduan dalam litar dengan saiz 245/40ZR18, di mana ia turut menjadikan ia 10 mm lebih lebar dari GR Corolla biasa.

    Toyota turut membuat talaan semula pada sistem stereng bantuan kuasa elektrik bagi menghasilkan amaun tork bantuan yang diperlukan ketika mengambil selekoh dengan daya-G lebih tinggi, serta talaan pada sistem pacuan semua roda GR-Four bagi memberikan agihan tork ke gandar belakang yang lebih optimal ketika dipandu pada laluan lurus dan meningkatkan kestabilan yang diserasikan bersama input setereng pada kelajuan yang sangat tinggi.

    Toyota GR Corolla Morizo RR

    Toyota GRMN Corolla ini masih digerakkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo yang menghasilkan kuasa 304 PS. Namun sedikit talaan telah dibuat bagi meningkatkan torknya kepada 415 Nm, berbanding 400 Nm pada GR Corolla biasa. Untuk GRMN Corolla ini, Toyota hanya menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan 6 i-MT dengan nisbah gear lebih rapat, tanpa pilihan kotak gear automatik GR-DAT seperti pada model standard.

    GRMN Corolla ini juga menerima sistem semburan air pada intercooler, yang mampu menyejukkan unit berkenaan bagi memberikan udara ambilan ke dalam enjin yang lebih sejuk, memperbanyakkan oksigen untuk memberikan pembakaran yang lebih optimum.

    Toyota GRMN Corolla ini hanya akan dijual di pasaran Jepun, Amerika Utara dan Australia serta akan dihasilkan dalam jumlah terhad, namun Toyota belum mengumumkan jumlah sebenarnya. Jualannya hanya akan bermula pada 2027, namun untuk pembeli di Jepun, mereka sudahpun boleh membuat permohonan pembelian menerusi GR App yang akan dibuka pada musim luruh 2026.

    Toyota turut akan memperkenalkan GR Corolla Morizo RR selepas ini, di mana bahagian luaran model berkenaan menampilkan rupa yang sama seperti GRMN Corolla, tetapi ia hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik GR-DAT. Kedua-dua GRMN Corolla dan GR Corolla Morizo RR Concept kini sedang dipamerkan di Fuji Motorsports Forest Welcome Center sehingga 28 Jun nanti.

     
     
  • Brixton Moucca 250 dilancar di Malaysia – RM12,888

    Brixton Moucca 250 dilancar di Malaysia – RM12,888

    Selepas membuat kemunculan semula melalui model Crossfire Storr 500 Februari lalu, jenama Brixton terus aktif di Malaysia dengan pelancaran satu lagi model baru, iaitu sebuah skuter yang dinamakan sebagai Moucca 250. Ia dijual pada harga RM12,888 tidak termasuk insurans dalam pilihan empat warna iaitu hijau, oren, hitam dan putih.

    Skuter yang mempunyai penampilan iras seperti jenama dari Itali ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 244 cc penyejukan cecair, bersama transmisi CVT, mampu menghasilkan kuasa 24.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 24 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 11.5 liter.

    Menghubungkan skuter ini dengan jalan adalah rim 13 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak. Sistem brek datang dengan unit cakera pada kedua-dua roda, lengkap bersama ABS dual-channel.

    Sebagai tambahan untuk sistem keselamatan, skuter ini turut didatangi dengan kawalan cengkaman dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, ruang simpanan bawah tempat duduk, poket barangan, sistem kunci pintar serta soket pengecas USB.

    Informasi penting dipaparkan melalui panel meter TFT manakala tapak untuk kotak barangan belakang diberikan secara standard.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026