Setelah imej spyshot dan juga brosur yang tersebar tempoh hari, akhirnya Perodua Bezza facelift 2020 rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini. Ini adalah facelift kali pertama untuk Bezza, setelah berada selama tiga tahun dalam pasaran.

Seperti yang diumumkan oleh Perodua tempoh hari, Bezza masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, dalam empat varian berbanding lima pada model sebelumnya. Ia bermula dengan model asas Bezza 1.0 G Manual berharga RM34,580, Bezza 1.0 G Automatik berharga RM36,580, Bezza 1.3 X Automatik berharga RM43,980 dan model tertinggi Bezza 1.3 AV berharga RM49,980 – versi 1.3 dengan kotak gear manual telah pun digugurkan. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia hadir standard dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

Seperti yang anda boleh lihat, Bezza 2020 ini diberikan muka yang jauh berbeza dari sebelum ini. Kesemua varian kini menerima lampu hadapan LED, dan ia direka lebih nipis dan lebih tajam dari versi asal. Manakala pada bampar, ia tampil dengan ‘mulut’ lebih besar, bersama kemasan perumah lampu kabus (model 1.0L tiada lampu kabus) yang direka dengan lebih bersegi dan ‘berotot’.

Bezza masih belum diberikan lampu nyalaan siang LED pada mana-mana varian, tetapi jika anda memilih aksesori Gear Up, sepasang lampu posisi LED akan diberikan. Pada bahagian sisi, tiada perubahan garis badan dapat dilihat. Namun di bawah, kemasan skirt sisi kini turut direka lebih bersegi bagi disesuaikan dengan muka baharu dan menampilkan dua tona – warna badan dan hitam. Set rim aloi dua tona baharu – 14 inci untuk model 1.0L dan 15-inci untuk versi 1.3L turut hadir sebagai kemaskini baharu.

Model yang disegarkan ini diberikan cermin sisi kawalan elektrik dan juga lengkap lampu isyarat membelok, tetapi hanya model tertinggi AV diberikan sistem lipat berkuasa elektrik. Ini bermakna tiada lagi Bezza yang hadir dengan lampu isyarat membelok pada fender walaupun pada versi asas G.

Manakala pada bahagian belakang, kluster lampu masih lagi kelihatan sama, tetapi kemasan bar merentangi penutup but kini hadir dalam dua tona krom dan hitam. Bampar pula menerima perubahan drastik yang bukan sahaja bagi memberikan rupa lebih sporty, malah ia menghilangkan rupa ‘tonggek’ sebelum ini. Bahagian berkenaan menerima kemasan perumah reflektor pada sisi bampar berbentuk trapezoid seperti pada Myvi dan Axia facelift, mengapit kemasan seakan diffuser yang bersaiz agak besar di tengah.

Untuk keseluruhan, Perodua mungkin mahukan Bezza facelift ini kelihatan lebih hampir dengan model sedan konsep Perodua yang muncul pada tahun 2010. Enam warna ditawarkan untuk Bezza 2020 iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown dari model sebelumnya, bersama dua warna baharu iaitu Granite Grey dan Garnet Red (untuk varian-varian 1.3 liter sahaja).

Pada bahagian dalaman, rekabentuk asas papan pemuka masih lagi sama, tetapi diberikan berberapa perubahan kecil. Ia diberikan kemasan ‘jalur perak’ tambahan yang bermula dari corong pendingin hawa kiri sehingga ke tengah dan seakan ‘melindungi’ unit pemain utama sistem audio, bagi menggantikan bar hitam kosong sebelumnya.

Kemudian panel meter juga kini diberi perubahan dari segi grafik, bersama pencahayaan berwarna putih dan skrin pelbagai info dengan latar belakang oren yang lebih jelas. Mengambil kira pandangan orang ramai yang mengatakan tempat duduk belakang yang terlalu ‘tegak’, Perodua telah melaras semula perehat badan bahagian berkenaan dari 23 darjah sebelum ini menjadi lebih condong kepada 27 darjah. Manakala ruang kargo masih kekal antara yang paling besar walaupun dibandingkan dengan sebahagian model segmen-C iaitu 508 liter.

Model X dan AV juga akan hadir dengan pelbagai ciri premium lain antaranya sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin dan sistem start/stop Eco Idle. Hanya model tertinggi AV hadir dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen (dengan fungsi mirrorlink kepada telefon pintar) dan juga upholsteri balutan kulit.

Kesemua varian Bezza 2020 akan hadir standard dengan penderia undur serta sistem brek ABS bersama EBD. Bezza juga kali ini datang dengan sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga kawalan cengkaman (TRC), tetapi hanya untuk model pertengahan Bezza X dan model tertinggi Bezza AV menerima sistem keselamatan aktif ini.

Seperti juga kembar hatchbacknya Perodua Axia, Bezza AV turut hadir dengan sistem bantuan pemanduan ASA 2.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi melalui kamera pada cermin utama. Model penuh ini juga hadir dengan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Juga, varian X dan AV diberikan pelbagai ciri tambahan lain seperti penderia parkir hadapan, gril dengan kemasan krom, manakala hanya AV hadir dengan kamera undur.

Tiada sebarang perubahan besar untuk sistem mekanikal pada Bezza kemaskini ini, dan ia masih akan dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter VVT-i berkuasa 67 hp/91 Nm dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i berkuasa 94 hp/121 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik E-AT empat-kelajuan yang sama. Dengan sistem Eco Idle, Bezza mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 22 km/l.

Menurut Perodua, suspensi Bezza 2020 ini juga telah di tala semula bagi memberikan keselesaan dan kestabilan yang lebih baik dari sebelum ini.

Dari segi harga, Bezza facelift ini jelas sedikit lebih mahal dari model asal, sepadan dengan pelbagai ciri tambahan yang diberikan. Jadi, apa pendapat anda? Boleh ke Bezza kembali menggugat Proton Saga facelift 2019 yang dilihat semakin dominan dalam pasaran sedan segmen-A ini?

GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 AV

GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 X

GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.0 G Auto

GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 – pilihan warna

GALERI: Gambar rasmi Perodua Bezza facelift 2020