smart #5 Brabus dapat warna Laser Red Edition – harga naik sebanyak RM10k, kini RM210k dan RM260k

Pro-Net telah mengumumkan bahawa smart #5 Brabus kini menerima warna baharu Laser Red Edition, yang ditawarkan dalam kuantiti terhad. Menurut syarikat ini, warna tersebut dipilih dengan teliti bagi mencerminkan semangat dinamik jenama Brabus, di samping menyerlahkan lagi karakter model ini yang lasak dan sporty.

Selain warna luaran baharu, tiada perubahan mekanikal dilakukan pada smart #5 Brabus berbanding ketika ia diperkenalkan di Malaysia tahun lalu. Di mana versi Laser Red Edition masih mengekalkan sistem dwi-motor yang menghasilkan 646 PS (637 hp atau 475 kW) serta 710 Nm tork. Kuasa ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Model ini turut dilengkapi bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 100 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 540 km bagi setiap cas penuh mengikut piawaian WLTP. Dari segi pengecasan, pengecas pantas DC pada kadar maksimum 400 kW membolehkan tahap pengecasan bateri meningkat daripada 10% kepada 80% dalam hanya 15 minit, manakala pengecasan AC 22 kW mengambil masa kira-kira 4.5 jam untuk mencapai tahap pengecasan yang sama.

Tiada perubahan turut dilakukan pada spesifikasi dan kelengkapan model ini. Ia masih menampilkan elemen penggayaan luaran eksklusif Brabus yang sama seperti ketika pelancarannya, termasuk serlahan merah pada spoiler hadapan, kemasan sisi, bampar belakang dan penutup cermin sisi, serta rim aloi hitam Brabus Monoblock Z 10-jejari bersaiz 21-inci dengan rim berkemasan gilap (polished).

Di bahagian kabin pula, tempat duduk dibaluti fabrik mikro Dinamica, manakala stereng dibalut dengan Alcantara. Varian ini juga didatangkan dengan kemasan gentian karbon, pedal aloi, lapisan bumbung fabrik mikro, tali pinggang keledar berwarna merah serta pelbagai logo Brabus, termasuk sulaman pada perehat kepala.

Serentak dengan pengumuman Laser Red Edition, turut diumumkan semakan harga bagi barisan smart #5 untuk tahun model 2026. smart #5 Premium kini ditawarkan pada harga RM209,800, manakala smart #5 Brabus berharga RM259,800, masing-masing atas jalan tanpa insurans. Ia melibatkan peningkatan harga sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua varian berbanding harga ketika ia dilancarkan pada November tahun lalu.

smart #5 Premium 2025

smart #5 Brabus 2025