iCaur V23 CKD di Malaysia – cuma AWD, 211 PS, jarak gerak NEDC 430 km, spesifikasi sama CBU, RM133k

Jenama kenderaan elektrik (EV) di bawah Chery, iaitu iCaur terus memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia apabila memperkenalkan iCaur versi pemasangan tempatan (CKD). Selepas melancarkan model CKD 03 pada Mei lalu, kini V23 turut dipasang di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, fasiliti sama yang menghasilkan model Omoda dan Jaecoo untuk pasaran tempatan.

Sama seperti model yang import penuh (CBU) sebelum ini, iCaur V23 CKD juga ditawarkan hanya dalam satu varian sahaja iaitu Intelligent All-Wheel Drive (iWD). Harga jualannya kekal pada RM132,780 atas jalan tanpa insurans dan masih menikmati pengecualian cukai.

Menariknya, harga ini hampir sama dengan model CBU yang diperkenalkan pada November tahun lalu iaitu RM132,800. Walaubagaimanapun, harga model CBU kemudiannya meningkat kepada RM132,980 selepas penambahan cukai jalan sebanyak RM180 tahun ini. Ini bermakna versi CKD kini menawarkan penjimatan efektif sekitar RM200. Unit pertama dijangka mula tiba di bilik pameran menjelang penghujung bulan ini.

iCaur V23 CKD di Malaysia – cuma AWD, 211 PS, jarak gerak NEDC 430 km, spesifikasi sama CBU, RM133k

Dari aspek prestasi, V23 iWD menggunakan konfigurasi dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa 211 PS (155 kW) dan tork 292 Nm. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 7.5 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 140 km/j.

Bekalan tenaga disalurkan menerusi bateri jenis NMC berkapasiti 81.76 kWh. Walaupun kapasitinya agak besar, penggunaan tenaga yang dinilai pada 22 kWh bagi setiap 100 km menyebabkan jarak gerak yang ditawarkan hanya sekitar 430 km mengikut kitaran NEDC. Jika diukur menggunakan piawaian WLTP yang lebih realistik, jarak geraknya dijangka sekitar 360 km.

Bagi pengecasan, V23 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 104 kW, membolehkan tahap bateri dicas daripada 20% ke 80% dalam tempoh 42 minit. Untuk pengecasan AC pula, ia hanya menyokong sehingga 6.6 kW. Model ini turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkapasiti 3.3 kW bagi membolehkan kuasa bateri digunakan untuk membekalkan elektrik kepada perkakasan luaran.

iCaur V23 CKD di Malaysia – cuma AWD, 211 PS, jarak gerak NEDC 430 km, spesifikasi sama CBU, RM133k

Dari segi dimensi, V23 mencatat ukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm. Walaupun tampil dengan rekaan lasak berinspirasikan SUV 4×4 klasik, model ini sebenarnya menggunakan struktur unibody serta dipadankan dengan suspensi hadapan jenis MacPherson dan multilink di belakang.

Spesifikasi dan kelengkapan bagi versi CKD ini kekal sama seperti model CBU. Antara ciri yang ditawarkan ialah lampu LED penuh, cermin sisi boleh lipat secara manual serta rim aloi bersaiz 21 inci yang dibalut tayar Chaoyang Radial RP76+.

Menariknya, cermin sisi kini direka lebih lebar berbanding sebelum ini bagi memberikan sudut pandangan yang lebih baik ke bahagian belakang, namun masih belum dapat dipastikan sama ada reka bentuk cermin tersebut telah dioptimumkan sepenuhnya untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.

Di ruang kabin, V23 mengekalkan skrin infotainmen sesentuh bersaiz 15.4 inci tanpa kluster instrumen digital khusus. Kawalan penyaman udara masih menggunakan butang fizikal, manakala pemilih mod pemanduan berbentuk tombol turut menawarkan mod offroad khas untuk varian iWD. Model ini juga tidak dilengkapi pengecas telefon tanpa wayar Qi kerana ruang simpanan di konsol tengah hanya menempatkan pad NFC untuk kad kunci pintar.

Kelengkapan lain termasuk tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala dan penumpang hadapan larasan kuasa empat hala dengan fungsi pengudaraan, balutan kulit tiruan, cermin hadapan dwi-lapis, sistem penapis udara PM2.5, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera 360 darjah dengan fungsi pandangan lutsinar serta perakam video, sistem audio tujuh pembesar suara dan pintu belakang bukaan sisi secara manual yang dilengkapi ruang simpanan berbentuk “backpack“.

Dari aspek keselamatan, iCaur V23 CKD masih dilengkapi enam beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik serta pakej lengkap sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Antaranya termasuk brek kecemasan autonomous (AEB), adaptive cruise control dengan fungsi Stop & Go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang, amaran kenderaan bergerak di hadapan, amaran ketika membuka pintu serta lampu tinggi automatik.

GALERI: iCaur V23 CKD

GALERI: Pemasangan tempatan iCaur V23 CKD

Tags: