TIV kenderaan Malaysia dijangka cecah 790,000 unit dengan EV 10% menjelang 2027 – Kenanga IB

Kenanga Investment Bank mengunjurkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) automotif Malaysia bagi tahun 2026 mencecah 790,000 unit, selari dengan unjuran yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) – lapor Bernama. Angka itu bagaimanapun mewakili penurunan sebanyak 3.7% berbanding rekod 820,752 kenderaan baru yang didaftarkan pada tahun lalu.

Dalam satu nota penyelidikan, Kenanga Investment Bank berkata penurunan beransur-ansur harga bahan api global susulan perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran tidak memberi kesan yang ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia. Ini kerana pengguna tempatan masih menikmati harga petrol RON95 di bawah program Budi95 pada kadar RM1.99 seliter.

“Menurut kerajaan, 90% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan,” katanya. Bank pelaburan itu turut menjangkakan kitaran penggantian kenderaan baru akan semakin memihak kepada kenderaan elektrik (EV), dengan pegangan pasaran segmen tersebut meningkat kepada 6% ketika ini berbanding kurang daripada 1% lima tahun lalu.

TIV kenderaan Malaysia dijangka cecah 790,000 unit dengan EV 10% menjelang 2027 – Kenanga IB

“EV juga dijangka menyumbang 10% daripada TIV menjelang 2027 apabila pengeluar automotif meningkatkan pengeluaran tempatan EV dan hibrid, termasuk plug-in hybrid (PHEV), di samping peralihan kepada motosikal yang bergantung kepada kemungkinan penamatan subsidi,” kata Kenanga Investment Bank.

Menurutnya lagi, harga diesel di bawah program Budi Diesel pada kadar RM2.10 seliter dijangka memberi manfaat kepada segmen kenderaan komersial, khususnya pikap gaya hidup. Segmen itu sebelum ini menerima kesan yang ketara susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar yang menyebabkan harga diesel diapungkan pada Jun 2024.

Walaupun begitu, segmen kenderaan komersial kini hanya menyumbang sekitar 6% daripada keseluruhan TIV Malaysia, berbanding 11% yang dicatatkan lima tahun lalu. Untuk rekod, MAA sebelum ini mengunjurkan TIV 2025 sebanyak 780,000 unit secara konservatif, namun pasaran akhirnya mencatatkan 820,752 unit, iaitu 40,752 unit melebihi sasaran awal.