Hot Wheels Nissan GT-R R35 7-Eleven Exclusive dilancar di Malaysia – pertama di Asia Tenggara!

Jenama permainan dari Amerika Syarikat, Mattel bersama rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven hari ini secara rasminya melancarkan model die-cast skala 1/64 Hot Wheels Nissan GT-R R35 7-Eleven Exclusive ke pasaran Malaysia.

Ini bukan kali pertama Mattel dan 7-Eleven bekerjasama di mana tahun lalu ia telah melancarkan Toyota Supra A80 7-Eleven Exclusive khas untuk pasaran Amerika Syarikat. Namun untuk tahun ini, koleksi berkenaan mula dipasarkan secara global dan Malaysia merupakan pasaran pertama di Asia Tenggara yang menerima Nissan GT-R R35 7-Eleven Exclusive 2026 ini.

Model eksklusif ini masih lagi diasaskan dari casting Nissan GT-R R35 2017 yang direka oleh pereka Hot Wheels, mendiang Ryu Asada yang telah pun meninggal dunia pada 2021. Ia kemudiannya menerima grafik badan dengan warna 7-Eleven rekaan pereka grafik Hot Wheels, Anton Henggono yang berasal dari Indonesia. Ia dilengkapkan dengan set roda menampilkan rim enam-jejari berwarna emas.

Ketika pelancarannya hari ini, Hot Wheels turut membawa Nissan GT-R R35 dalam skala sebenar yang menerima grafik badan seiras versi die-cast yang dilancarkan. Kalau anda perasan, pada kereta sebenar ini menampilkan perkataan ‘WHERECAR’ pada bahagian nombor plat, di mana WHERECAR merupakan kempen media sosial 7-Eleven di Amerika Syarikat untuk ‘kaki-kaki kereta’ di sana bergambar dengan kereta masing-masing di mana-mana outlet 7-Eleven, dan ia turut disertai oleh pempengaruh budaya automotif iaitu Larry Chen.

Hot Wheels Nissan GT-R R35 7-Eleven Exclusive ini dijual pada harga RM19.90 seunit, dan ia dijual di lebih 2,700 outlet 7-Eleven di seleruh Malaysia bermula hari ini. Namun untuk Malaysia Timur, ia hanya akan mula dijual bermula hujung bulan ini.

Mattel tidak menyebut sama ada model ini dijual dalam jumlah terhad atau tidak, namun peminat Hot Wheels nampaknya sudahpun menyerbu kedai-kedai serbanika berkenaan hari ini untuk mendapatkan GT-R istimewa tersebut!

Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Search →