Bermaz Xpeng, selaku pengedar tempatan bagi kenderaan Xpeng di Malaysia, mengumumkan bahawa tempahan bagi G6 pemasangan tempatan (CKD) telah pun dibuka secara rasmi. Perkembangan ini berlaku beberapa bulan selepas jenama itu memilih EP Manufacturing Bhd (EPMB) sebagai rakan CKD pada Disember tahun lalu, dengan unit pertama telah pun dikeluarkan di Melaka pada bulan lalu.
G6 versi CKD yang diperkenalkan ialah model facelift, yang sebelum ini dilancarkan di Malaysia sebagai model import sepenuhnya (CBU) pada Oktober 2025. Seperti Proton eMas 5, G6 dipercayai turut mendapat manfaat daripada program peralihan khas CKD, memandangkan harga bagi versi CKD kekal sama seperti model CBU. Barisan varian bagi model CKD ini sebahagian besarnya dikekalkan. Varian Standard Range RWD menjadi pilihan asas dengan harga RM158,888, tidak termasuk kos atas jalan dan insurans.
Ia diikuti oleh varian RWD Long Range Pro yang dijual pada harga RM178,888, manakala varian AWD Performance ditawarkan pada harga RM189,888. Walau bagaimana pun, satu-satunya varian yang tidak diteruskan ialah AWD Black Edition, yang pada asasnya merupakan varian AWD Performance dengan penampilan luaran dan dalaman yang diberi sentuhan kosmetik eksklusif.
Walau bagaimana pun, Bermaz Xpeng masih belum mendedahkan spesifikasi penuh serta senarai kelengkapan bagi model CKD buat masa ini. Namun, kedua-duanya dijangka kekal sama seperti versi CBU. Apa yang pasti berdasarkan kenyataan syarikat itu ialah semua varian CKD akan dilengkapi dengan pakej sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) XPilot Assist. Dari segi penjana kuasa pula, berikut ialah gambaran keseluruhan spesifikasi yang dijangka ditawarkan bagi setiap varian CKD:
Xpeng G6 RWD Standard Range
- Motor elektrik: 252 PS (248 hp atau 185 kW) dan 440 Nm; RWD
- 0-100 km/j: 6.94 saat
- Kelajuan maksimum: 202 km/j
- Bateri: lithium iron phosphate (LFP) 68.5 kWh
- Jarak (WLTP): 480 km
- Pengecas DC: 382 kW; 10-80% dalam 12 minit
- Pengecas AC: 11 kW; 5-100% dalam 7.3 jam
Xpeng G6 RWD Long Range Pro
- Motor elektrik: 296 PS (292 hp atau 218 kW) dan 440 Nm; RWD
- 0-100 km/j: 6.7 saat
- Kelajuan maksimum: 202 km/j
- Bateri: lithium iron phosphate (LFP) 80.8 kWh
- Jarak (WLTP): 525 km
- Pengecas DC: 451 kW; 10-80% dalam 12 minit
- Pengecas AC: 11 kW; 5-100% dalam 9.2 jam
Xpeng G6 Performance AWD
- Motor elektrik hadapan: 296 PS (292 hp atau 218 kW) dan 440 Nm
- Motor elektrik belakang: 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 220 Nm
- Jumlah keseluruhan kuasa: 487 PS (480 hp atau 358 kW) dan 660 Nm; AWD
- 0-100 km/j: 4.13 saat
- Kelajuan maksimum: 202 km/h
- Bateri: lithium iron phosphate (LFP) 80.8 kWh
- Jarak (WLTP): 510 km
- Pengecas DC: 451 kW; 10-80% dalam 12 minit
- Pengecas AC: 11 kW; 5-100% dalam 9.2 jam
“Kepimpinan Xpeng dalam mobiliti berasaskan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan hala tuju Malaysia untuk memperkukuh keupayaan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan serta membina ekosistem yang berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan. Dengan pemasangan tempatan (CKD) G6 kini bermula, kami berbangga dapat menawarkan kepada pelanggan Malaysia sebuah EV pintar yang menggabungkan teknologi canggih dengan nilai tambah hasil pengeluaran tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Sri Francis Lee.
Beliau berkata, pihaknya juga gembira kerana dapat mengekalkan harga kompetitif yang sama bagi Xpeng G6 versi CKD, di samping menawarkan manfaat pemilikan tambahan kepada pelanggan. “Ini memastikan mobiliti elektrik pintar terus dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia ketika negara melangkah ke arah mencapai matlamat elektrifikasinya,” tambah beliau.




Xpeng G6
dari RM 159,948
Xpeng X9
dari RM 281,073