BMW M3 Touring Competition M xDrive 2026 kini di Malaysia — RM60k mahal dari sedan M3 G80; RM899k

BMW M3 Touring Competition M xDrive G81 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ini merupakan model M kedua yang diperkenalkan oleh BMW Malaysia hari ini selain BMW M2 CS (G87).

BMW M3 Touring Competition M xDrive dijual dengan harga RM898,800, dan datang dengan tempoh jaminan dua-tahun standard. Jika dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) — yang meliputi tempoh jaminan dan servis selama lima-tahun, harganya akan menjadi RM950,900. Jika dibandingkan dengan M3 Competition M xDrive LCI untuk pasaran Malaysia yang dijual RM838,800 sebelum ini, versi Touring ini RM60,000 lebih mahal berbanding versi sedannya.

Model ini mengenakan reka bentuk badan station wagon, menjadikannya yang pertama dijual di Malaysia dari versi ini. Wajah depannya seiras dengan sedan G80 M3 dan G82 M4 facelift, dengan DRL bentuk anak panah menegak, yang berbeza daripada versi pra-facelift.

BMW M3 Touring Competition M xDrive 2026 kini di Malaysia — RM60k mahal dari sedan M3 G80; RM899k

Membezakan M3 Touring ini daripada model sedan dan coupé-nya adalah bentuk station wagon, yang menawarkan kapasiti ruang barangan 500 liter dengan tempat duduk belakang dinaikkan, atau sehingga 1,510 liter jika tempat duduk belakang direbahkan, dan boleh diakses melalui pintu belakang yang boleh dibuka secara automatik.

BMW M3 Touring Competition M xDrive G81 prestasi tinggi ini dilengkapi dengan enjin janaan lebih tinggi dari model G80 M3 dan G82/G83 M4 yang menggunakan enjin sama — unit 3.0-liter turbo berkembarnya menghasilkan 530 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm dari 2,750 rpm hingga 5,730 rpm, iaitu 20 PS lebih tinggi berbanding model pra-facelift.

Kuasa berkenaan disalurkan ke semua roda dengan M xDrive melalui transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.6 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j. Jika ingin memilih penghantaran kuasa ke gandar belakang secara eksklusif, fungsi M Active juga tersedia, yang akan mematikan DSC untuk pemanduan lebih lincah.

BMW M3 Touring Competition M xDrive 2026 kini di Malaysia — RM60k mahal dari sedan M3 G80; RM899k

Aspek casis kereta ini antaranya dilengkapi dengan suspensi M Adaptive, manakala brek M dengan angkup merah menghiasi rim M Style 825 Bicolour Black dengan saiz 19-inci di depan dan 20-inci di belakang yang melengkapinya.

Di dalam, ciri yang tersedia termasuklah stereng bahagian bawah rata yang dihiasi material M Alcantara dengan penanda merah di kedudukan tengah atas, manakala Paparan Melengkung BMW menjadi tarikan utama, yang terdiri daripada paparan instrumen pemandu 12.3-inci dan paparan infotainmen 14.9-inci.

Perincian khusus M lain yang ada untuk BMW M3 Touring G81 ini termasuk kemasan dalaman gentian karbon M, butang penghidup enjin merah dan tuil pemilih transmisi dengan logo M. Bagi pasaran Malaysia, BMW M3 Touring G81 mendapat tempat duduk bucket gentian karbon M di depan (dengan larasan elektrik) sebagai ciri standard dalam dalam balutan kulit Merino, tali pinggang keledar M, serta pelapik bumbung M Anthracite.

Turut disertakan ialah sistem pendingin automatik, ruang penyimpanan, sistem pemuatan penuh, dan Comfort Access. Untuk audio, ia menggunakan sistem Harman Kardon 464-watt dengan 16-pembesar suara.

Sistem bantuan memandu dalam BMW M3 Touring G81 ini termasuk M Drive Professional, yang terdiri daripada bantuan kawalan stereng dan lorong, bantuan had laju, bantuan menukar lorong, bantuan mengekalkan lorong dengan perlindungan perlanggaran sisi aktif serta amaran lintasan trafik di belakang. Turut disertakan ialah Parking Assistant Plus, yang terdiri daripada Sistem Paparan Keliling dan Paparan 3D Jarak Jauh.

Untuk pilihan warna, BMW M3 Touring G81 di Malaysia didatangkan dalam warna Skyscraper Grey dan Isle of Man Green, yang pertama kali digandingkan dengan warna dalam Merino Yas Marina Blue atau Merino Silverstone — Merino Kyalami Orange juga ditawarkan secara eksklusif untuk pilihan terakhir tersebut.

BMW M3 Touring Competition M xDrive G81 2026

Tags: ,