BMW M2 CS 2026 generasi kedua (G87) kini secara rasminya dilancarkan di Malaysia, lebih setahun selepas kereta coupe sport itu membuat penampilan sulung globalnya pada Mei 2025. Model ini merupakan versi M2 yang telah diberikan beberapa peningkatan kelengkapan dan prestasi berbanding versi biasa.
BMW M2 CS dijual dengan harga RM950,800 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan dua-tahun standard. Jika dengan program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) yang ditawarkan sebagai pilihan — merangkumi jaminan lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harga akan menjadi RM993,100.
Berbanding M2 biasa yang berharga RM656,800 (RM699,100 dengan BSRI), versi CS ini melibatkan peningkatan sebanyak RM294,000. Apa yang akan pelanggan terima dengan peningkatan yang ketara ini?
Pertama, ia adalah M2 yang paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh BMW. Jika M2 bukan CS menghasilkan kuasa sebanyak 480 PS (473 hp atau 353 kW) pada 6,250 rpm dan 600 Nm dari 2,650 hingga 6,130 rpm daripada enjin petrol enam-silinder sebaris S58 3.0 liter twin-turbo, model CS ini pula memberikan janaan sebanyak 530 PS (523 hp atau 390 kW) pada 6,250 rpm dan tork 650 Nm dari 2,750 hingga 5,730 rpm.
Enjin tersebut memacu roda belakang melalui transmisi automatik M Steptronic lapan-kelajuan standard dan differential M Sport, membolehkan M2 CS ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j kerana disertai oleh Pakej Pemandu M yang tiada pada M2 standard — yang laju maksimumnya terhad kepada 250 km/j.
Selain itu, casis M2 CS juga lapan mm lebih rendah, dengan gegelung, penyerap hentak adaptif dan sistem kawalannya diberi talaan kustom. Brek adalah dari sistem M Compound BMW dengan angkup merah, manakala rim M 827 gaya diperbuat daripada aloi tempa yang dihias dengan penyudah Gold Bronze dan dalam saiz berbeza: 19-inci di depan (tayar 275/35) dan 20-inci di belakang (tayar 285/30).
BMW M2 CS juga mempunyai lebih banyak komponen plastik-gentian karbon (CFRP), yang mengurangkan berat sekitar 30 kg. Di bahagian luar, bumbung M Carbon datang sebagai ciri standard, diffuser belakang khusus untuk versi CS, splitter hadapan, kidney grille hitam dengan saluran udara yang dioptimumkan serta penutup but dengan spoiler bersepadu yang diperbuat daripada bahan ringan.
Di dalam kabin, terdapat konsol tengah CFRP, manakala tempat duduk bucket M Carbon larasan kuasa mempunyai penampilan yang dramatik dan membantu pemandu kekal di tempatnya. Ini dihiasi juga dengan kulit Merino, dengan material Alcantara dipasang di pelbagai bahagian dalamannya, termasuk stereng sport dengan penanda merah di kedudukan pukul 12. Ada juga pelapik bumbung Anthracite dengan lencana CS, yang sebahagiannya dengan cahaya, seperti di penyandar kepala dan plat pintu.
BMW M2 CS juga didatangkan dengan lampu hadapan LED adaptif yang menampilkan pakej M Lights Shadowline, dengan bahagian dalam dihiasi kemasan berkilat. Terdapat juga sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara, kawalan pendingin tiga zon, lampu ambient, pengecas tanpa wayar, Live Cockpit Professional yang terdiri daripada kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainment 14.9-inci, bantuan pemandu dengan AEB, bantuan parkir, kawalan melayar pasif serta Connected Package Professional dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.
Pemandu juga akan mempunyai sistem M Drive Professional untuk dimanfaatkan, yang menawarkan M Traction Control sepuluh peringkat serta M Mode Track, yang boleh diaktifkan dengan hanya satu sentuhan untuk pemanduan yang lebih tangkas di litar. Selain itu, terdapat juga ciri M Drift Analyser yang berfungsi untuk merekod dan menganalisis sudut dan tempoh drift.
BMW M2 CS ditawarkan dalam warna badan Black Sapphire, Brooklyn Grey, dan Velvet Blue, dengan balutan kulit Merino dalaman tersedia secara eksklusif dalam warna hitam dengan kemasan M.
BMW M2 CS 2026 di Malaysia




BMW 5 Series
dari RM 340,800
BMW iX1 L
dari RM 252,800
BMW iX
dari RM 425,800
BMW X3
dari RM 325,800
BMW M5
dari RM 1,188,800
BMW M4 Coupe
dari RM 878,800
BMW 2 Series Gran Coupe
dari RM 218,800
BMW 3 Series
dari RM 265,800
BMW 3 Series M
dari RM 388,800