Modenas Elegan EX 250 versi facelift yang dilancarkan pada bulan April tahun lalu kini ditawarkan dalam pilihan warna baru, terdiri daripada Light Sage Green, Matte Brown dan Bright Grey Blue. Harga jualannya masih lagi sama, iaitu RM17,780 tidak termasuk insurans dan juga jaminan dua tahun atau 20,000 km, namun pemilik akan diberi nilai tambahan.
Setiap pembelian skuter ini akan diberikan sekali dengan kotak barangan belakang daripada Givi, yang dikatakan berharga RM500. Ia sekaligus menambah ciri praktikaliti skuter ini, dan melengkapi ruang barangan besar di bawah tempat duduk.
Bahagian lain bagaimanapun tidak berubah, dengan Elegan 250 EX ini dipacu oleh enjin satu silinder 249.1 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dengan penarafan emisi Euro 4, mampu menghasilkan 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm, dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT serta sistem tali sawat.
Rim bersaiz 14 inci di hadapan, dengan tayar 120/80 dan 13 inci di belakang dengan tayar 150/70 digunakan pada Elegan 250 EX, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang juga adalah jenis cakera dan ia dilengkapi dengan sistem ABS dual-channel.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, meter gabungan analog dan digital dengan pelbagai informasi termasuk waktu servis, lampu hadapan jenis projector, lampu belakang LED serta ruang simpanan luas di bawah tempat duduk. Berat keseluruhan Elegan 250 EX adalah 195 kg, manakala tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter.

