Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menerima 20 buah motosikal scrambler Wmotor Hawk 200i daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi memperkukuhkan operasi rondaan Unit Pencegahan Jenayah Polis Bantuan KTM. Majlis penyerahan motosikal tersebut berlangsung awal minggu ini dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi Habibollah.
Menurut KTM, semua motosikal berkenaan akan ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi di sepanjang rangkaian landasan kereta api. Penambahan aset rondaan ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan pemantauan, mempercepatkan tindakan penguatkuasaan serta mencegah pencerobohan dan jenayah yang menyasarkan aset-aset kereta api.
Pengendali perkhidmatan ETS dan KTM Komuter itu berkata inisiatif berkenaan turut diharap dapat membantu mengurangkan kejadian kecurian kabel di sepanjang rangkaian rel sepanjang 1,655 km di seluruh negara. Pada masa sama, ia bertujuan memastikan keselamatan infrastruktur, kelancaran operasi perkhidmatan serta mengekalkan keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan rel.
Isu kecurian kabel terus menjadi cabaran utama kepada operasi KTM. Pada November tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan bahawa jenayah tersebut menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan perkhidmatan sepanjang 2025. Daripada jumlah itu, sebanyak 562 jam melibatkan perkhidmatan ETS, manakala KTM Komuter mencatatkan kelewatan selama 741 jam.
Menurut beliau, kecurian kabel telah menjejaskan sistem isyarat kereta api yang mengawal pergerakan tren, sekaligus menyebabkan gangguan operasi dan kerugian masa kepada para penumpang. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, sebanyak 104 kes kecurian kabel direkodkan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur. Tiada kes dilaporkan di Perlis, Melaka, Johor dan Kelantan dalam tempoh sama. Sebagai perbandingan, sebanyak 150 kes direkodkan sepanjang 2024.
Masalah sama turut menjejaskan rangkaian rel bandar kendalian Prasarana Malaysia Berhad. Pada Disember 2025, syarikat itu memaklumkan telah menanggung kerugian berjumlah RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun akibat kecurian kabel melibatkan rangkaian LRT, MRT dan Monorel. Prasarana turut memaklumkan trend kecurian kabel menunjukkan peningkatan ketara apabila 41 kes direkodkan pada 2024, sebelum meningkat kepada 69 kes pada 2025, bersamaan kenaikan sebanyak 68%.


