Denza Z9GT 2026 kini di M’sia – EV wagon, 1,156 PS, 600 km WLTP, Flash Charging 1,500 kW; dari RM359k

Malam ini, BYD Malaysia telah pun melancarkan Denza Z9GT, dan menariknya negara kita menjadi pasaran Asia-Pasifik pertama di luar China yang menerima model station wagon ini. Hadir dengan versi janaan bateri-elektrik (BEV) sahaja, Denza Z9GT di Malaysia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM358,800 tanpa insurans.

Merupakan versi pacuan semua roda, Z9GT menerima satu motor di hadapan dengan kuasa 313 PS dan tork 430 Nm dan dua lagi motor di belakang yang masing-masing menghasilkan 422 PS dan 400 Nm, menjadikan janaan kuasa gabungan yang dihasilkan ialah 1,156 PS dan 1,210 Nm. Ini membolehkan Z9GT memecut dari 0-100 km/j dalam 2.7 saat dengan kelajuan maksimum cecah 269 km/j.

Motor elektrik tersebut juga membolehkan vektor tork sebenar (real torque vectoring) pada gandar belakang. Sistem ini digabungkan dengan stereng roda belakang yang mampu membelok sehingga 15 darjah (radius pusingan hanya 4.62 meter), membolehkan kereta berpusing dengan sangat lincah seolah-olah berputar pada satu titik seperti kompas. Fungsi e3 Parking memanfaatkan sepenuhnya keupayaan ini. Pemandu hanya perlu memasukkan bahagian hadapan kenderaan ke dalam petak parkir selari, sebelum Z9GT secara automatik menggerakkan bahagian belakang untuk melengkapkan proses parkir dengan lebih sempurna.

Denza Z9GT 2026 kini di M’sia – EV wagon, 1,156 PS, 600 km WLTP, Flash Charging 1,500 kW; dari RM359k

Mod Intelligent Crab Walk juga tersedia untuk Z9GT, dan ini memudahkan kereta ini dikendalikan dalam ruang sempit dan terhad. Turut ditampilkan pada Z9GT ialah sistem suspensi udara pintar DiSus-A, dan penalaan suspensi serta penyerap hentak untuk pasaran Malaysia adalah sama dengan versi di pasaran Eropah.

Z9GT turut menjadi model pertama jenama ini yang diberikan bateri Blade generasi kedua BYD dengan peningkatan kapasiti kepada 122.49 kWh, berbanding 100 kWh pada versi sebelumnya bersama teknologi Megawatt Flash Charging dengan kadar sehingga 1,500 kW seperti yang ditawarkan di luar negara. Bateri 122.49 kWh ini mampu menawarkan jarak gerak sehingga 600 km mengikut standard WLTP.

Dengan seni bina 1,000 volt, Z9GT yang turut menyokong pengecas pantas DC, boleh dicas dari status pengecasan (SoC) 10%-70% hanya dalam lima minit, atau dari 10%-90% dalam sembilan minit. Ia juga diberikan fungsi V2L (vehicle-to-load) berkapasiti 4kW bagi membekalkan elektrik untuk peralatan atau peranti luaran.

BYD Malaysia turut mengesahkan rancangan untuk memperkenalkan Megawatt Flash Charging ke pasaran Malaysia, dengan pelan penggunaannya kini dalam fasa penyelidikan dan perancangan. Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, penggunaan awal akan tertumpu pada bilik pameran dan pusat servis BYD dan Denza terpilih.

Imej yang dipertaruhkan pastinya mampu membuatkan Z9GT yang berprofil panjang dan rendah ini menjadi dambaan ramai. Bahagian hadapan menampilkan lampu utama LED dwi-bar, manakala di sisi terdapat elemen rekaan berbentuk kayu hoki yang menempatkan liang udara tiruan pada fender hadapan. Di belakang pula, lampu belakang yang lebar dilengkapi grafik berbentuk jam pasir, sekali gus menyerlahkan identitinya.

Bagi model 2026, beberapa penambahbaikan diperkenalkan termasuk lidar sensor yang dipasang pada bumbung serta rim aloi 20-inci baharu bercorak jejari berbentuk-Y, dipadankan dengan tayar Continental EcoContact 7 profil 255/45R20. Bagaimanapun, unit spesifikasi Malaysia tidak dilengkapi dengan kamera pandang sisi yang ditawarkan sebagai pilihan di pasaran lain, sekali gus tidak menerima paparan skrin dalaman yang berkaitan dengan sistem tersebut.

Denza Z9GT 2026 kini di M’sia – EV wagon, 1,156 PS, 600 km WLTP, Flash Charging 1,500 kW; dari RM359k

Menjengah ruang kabinnya, Z9GT diberikan stereng baharu tiga-jejari dengan reka bentuk bawah rata (flat-bottom), serta pemilih gear yang dipasang pada ruang stereng (column-mounted). Konsol tengah turut dikemas kini dengan susun atur kawalan fizikal yang diubah kedudukannya, selain ruang simpanan tambahan. Selain itu, kabin masih mengekalkan kelengkapan sedia ada, termasuk skrin sentuh infotainmen bersaiz 17.3-inci dengan resolusi 2.5K, head-up display bersaiz 50-inci, skrin “cermin” pandangan belakang digital 9.1-inci, serta dua paparan 13.2-inci masing-masing untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Turut ditawarkan ialah kemasan upholsteri kulit berkualiti tinggi yang dipadankan dengan hiasan kayu berwarna asap cerah. Tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi larasan kuasa, pemanas, pengudaraan dan urutan, selain sokongan sisi aktif (active side bolsters) yang menggunakan sistem udara sama seperti suspensi – satu teknologi yang didakwa sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.

Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah peti sejuk terbina dalam di bahagian hadapan, bumbung kaca panoramik, sistem penyaman udara automatik empat zon, tiga pengecas tanpa wayar Qi berkuasa 50 watt (dua di hadapan dan satu di belakang), serta sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara dan output 1,150 watt yang menyokong bunyi sekeliling Dolby Atmos.

Ruang but belakang pula berkapasiti 495 liter, manakala di bahagian hadapan turut disediakan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 53 liter. Kelengkapan keselamatan untuk Denza Z9GT 2026 ini antaranya ialag sembilan beg udara, serta ciri ADAS yang dibantu oleh lidar sensor yang dipasang di bumbung yang telah dikemas kini bagi model tahun 2026 ini.

Bagi pasaran tempatan, model ini hanya ditawarkan dengan dua pilihan warna luaran iaitu Obsidian Black dan Rime Gold. Manakala untuk ruang dalaman, pembeli boleh memilih sama ada kemasan serba hitam atau coklat gelap, dengan pilihan tempat duduk Red Velvet atau Perg Beige bagi varian coklat gelap.

Sekali lagi, Denza Z9GT di Malaysia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM358,800 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti enam-tahun atau 150,000 km, servis berkala percuma selama enam-tahun dan waranti bateri bervoltan tinggi selama lapan-tahun atau 160,000 km.