Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) mengumumkan pelaksanaan Program Z15GT Care di seluruh negara bagi memberikan pemeriksaan percuma serta sokongan selepas jualan kepada pemilik Modenas Z15GT. Program ini berlangsung selama tiga bulan, bermula 15 Julai hingga 15 Oktober 2026, melibatkan 57 pengedar sah Modenas terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menerusi program ini, pemilik Z15GT boleh mendapatkan pemeriksaan serta diagnosis motosikal secara percuma yang dikendalikan oleh juruteknik bertauliah. Selain itu, Modenas turut menyediakan bantuan teknikal, khidmat pembaikan dan tuntutan jaminan bagi kes yang layak. Sekiranya diperlukan, komponen dan alat ganti juga akan disediakan tertakluk kepada keputusan pemeriksaan teknikal serta ketersediaan stok.
Menurut Modenas, pelaksanaan Program Z15GT Care mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan kepuasan pelanggan, meningkatkan kualiti produk serta memperkukuh perkhidmatan selepas jualan. Bagi memastikan program ini berjalan lancar di seluruh negara, syarikat telah menjalankan penilaian teknikal, sesi taklimat kepada rangkaian pengedar, latihan untuk juruteknik serta perancangan bekalan alat ganti.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, kepuasan pelanggan dan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat.
“Melalui Program Z15GT Care, kami membawa perkhidmatan pemeriksaan dan bantuan selepas jualan lebih dekat kepada pelanggan menerusi rangkaian pengedar sah terpilih di seluruh negara.
“Kami amat menghargai maklum balas yang diterima daripada pemilik Z15GT dan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi menambah baik produk, perkhidmatan serta pengalaman pemilikan secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa segala maklum balas pelanggan dan hasil pemeriksaan yang diperoleh sepanjang program ini akan dianalisis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Modenas untuk menambah baik produk dan perkhidmatannya.
Pemilik Modenas Z15GT disaran menghubungi pengedar sah yang mengambil bahagian bagi menetapkan temu janji pemeriksaan. Mereka juga diminta membawa bersama sijil pendaftaran motosikal serta dokumen jaminan atau rekod servis bagi memudahkan proses pemeriksaan.
Senarai penuh pengedar yang terlibat bersama maklumat lanjut mengenai Program Z15GT Care boleh didapati menerusi laman web rasmi dan platform media sosial Modenas.



