Laman sosial Lexus Malaysia telahpun menyiarkan teaser untuk Lexus ES generasi baharu, menandakan sedan mewah tersebut bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Teaser berkenaan mendedahkan bahagian lampu belakang ES generasi ke-lapan itu dengan kapsyen “pandangan pertama hanyalah permulaan”.
Lexus ES generasi terkini ini didedahkan buat pertama kali pada peringkat global ketika berlangsungnya acara Auto Shanghai pada April tahun lalu. Ia masih diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture – K (GA-K) namun telah menerima kejuruteraan semula “multi-pathway” yang bukan sahaja boleh menerima unit rangkaian kuasa hibrid, malah turut boleh disesuaikan dengan penggerak elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (BEV).
Tidak seperti model-model generasi sebelum ini di mana ES adalah sedan entry level Lexus dan seakan Toyota Camry yang “dimewahkan”, ES generasi ke lapan ini nampaknya tampil tanpa sebarang imej Camry dan nampak benar-benar mewah. Asas rekaan ES baharu ini adalah dari model konsep LF-ZC yang menampilkan bahagian belakang yang landai seperti fastback serta lampu hadapan dan belakang yang nipis.
Ia juga dihasilkan lebih besar dengan dimensi panjang 5,140 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,555 mm, dan jarak roda sejauh 2,950 mm – atau 165 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi dan jarak roda 80 mm lebih jauh dari model sebelumnya.
Bagi varian Hybrid, ia boleh dikenali pada sebelah luar yang tampil dengan liang udara sebenar yang nipis pada bahagian atas bampar hadapan. Di China ES Hybrid ini ditawarkan dalam beberapa varian unit rangkaian kuasa antaranya enjin 2.0-liter NA empat-silinder petrol dengan sebuah motor elektrik untuk memberikan kuasa keseluruhan 197 PS, versi pacuan semua roda dilengkapi enjin 2.5 liter NA dengan berkuasa 201 PS, serta versi paling berkuasa dengan enjin 2.5 liter menghasilkan kuasa keseluruhan 247 PS.
Manakala varian dengan unit rangkaian kuasa BEV, ia diberikan bampar hadapan tanpa liang ambilan udara. Ia hadir dalam dua varian dengan varian asas ES 350e digerakkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 224 PS (165 kW) memacu hanya roda hadapan.
Manakala varian tertinggi iaitu ES 500e diberikan tambahan satu lagi motor pada gandar belakang bagi memberikan kemampuan pacuan semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 343 PS (252 kW), membolehkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 5.1 saat. Kedua-duanya varian unit rangkaian kuasa ini menerima bateri litium-ion berkapasiti 74.7 kWj yang diletakkan pada lantai.
Dengan saiz yang lebih besar turut menjadikan ruang kabin Lexus ES generasi baharu ini lebih besar. Papan pemukanya dilengkapi dengan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, manakala sistem infotainmen pula diberikan pilihan skrin sesentuh bersaiz 14-inci tunggal atau berkembar. Ia turut dipadankan dengan bumbung kaca panoramik elektrokromik serta pilihan penyandar kerusi belakang lounge di belakang yang boleh diturunkan serta lengkap dengan ottoman.
Buat masa sekarang masih belum ada bayangan spesifikasi untuk Lexus ES 2026 pasaran Malaysia ini. Bagi generasi sedia ada, ia ditawarkan hanya dalam varian ES250 yang digerakkan oleh enjin petrol penuh, dengan pilihan pakej kemasan Premium, Luxury dan F Sport, dijual pada harga RM320,888 hingga RM371,888. Jadi adakah untuk model generasi baharu ini Lexus Malaysia akan menawarkan ES dalam versi Hybrid dan BEV?
GALERI: Gambar rasmi Lexus ES generasi ke lapan



Lexus ES
dari RM 320,888
Lexus GX
dari RM 780,000
Lexus LBX
dari RM 238,888
Lexus RZ
dari RM 429,888
Lexus LM
dari RM 1,228,000
Lexus RX
dari RM 468,888
Lexus NX
dari RM 395,888
Lexus UX
dari RM 250,688
Lexus LS
dari RM 1,188,000