Walau pun masih terdapat gangguan atau insiden yang berlaku, namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bahawa perkhidmatan rel, tidak termasuk monorel, di Lembah Klang kini mengalami kurang gangguan berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan jumlah kerosakan tren menurun dengan ketara sejak 2022.
Jelasnya, pada 2022 merekodkan 177 kes kegagalan tren, 111 kes pada 2023, 64 kes pada 2024, 28 kes pada 2025 dan 12 kes setakat tahun ini.
Satu ukuran yang dikenali sebagai Mean Kilometre Between Failures (MKBF), yang mengira purata bergerak 12 bulan bagi jarak yang boleh ditempuh oleh sesebuah tren sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit, turut menunjukkan peningkatan prestasi operasi. Beliau berkata, bacaan MKBF adalah 0.09 pada 2022, meningkat kepada 0.16 pada 2023, 0.33 pada 2024, 0.79 pada 2025 dan 0.93 setakat tahun ini.
“Bacaan MKBF terkini sehingga 31 Mei 2026 menunjukkan trend peningkatan prestasi keseluruhan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu).
Loke berkata, pencapaian itu adalah hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Rapid Rail bagi meningkatkan prestasi operasi. “Walau bagaimanapun, prestasi ini masih perlu dipertingkatkan kerana walaupun hanya satu gangguan perkhidmatan boleh menyebabkan kesulitan yang besar kepada pengguna,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Beliau berkata, Rapid Rail sedang melaksanakan pelan mitigasi secara menyeluruh bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan di rangkaian LRT dan MRT. Pelan itu merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk penggantian komponen yang rosak, pelaksanaan program kejuruteraan khas serta perolehan tren baharu.
“Pelaksanaan pelan mitigasi ini akan terus dipantau, dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan rangkaian pengangkutan rel awam kekal selamat, cekap dan mampan demi keselesaan pengguna,” katanya.
Antara gangguan perkhidmatan yang berlaku kebelakangan ini ialah insiden sebuah tren tergelincir daripada landasan yang melibatkan Laluan LRT Ampang/Sri Petaling, pada Mei lalu selain gangguan di Laluan MRT Putrajaya pada April.


