Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) bakal dilangsungkan untuk edisi keempat tahun ini, dan seperti biasa ia akan berlangsung serentak dengan acara budaya automotif, Art of Speed (Aos). Dan sempena pelancaran Art of Speed 2026 hari ini, model eksklusif HWCCCM 2026 turut didedahkan sekali di mana ia diasaskan dari Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II!
Seperti yang anda boleh lihat, R34 HWCCM 2026 ini diberikan grafik perlumbaan berwarna merah-putih-biru, seakan diinspirasikan dari kereta lumba Nissan Skyline GT-R R32 Group A ‘Godzilla’ yang berlumba di Australia pada tahun 1991.
Manakala logo-logo pada kereta ini termasuk Nissan, Motul dan Yokohoma semuanya mendapat lesen rasmi dari jenama-jenama tersebut. Ia masih mengekalkan rupa asas versi mainline R34 serta diberikan set roda getah dengan rim lima-jejari. Manakala pada bahagian casis asas adalah berbeza dengan versi mainline di mana ia turut disertakan dengan nombor siri unik.
Menurut AoS, model eksklusif ini dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad dan dijual berdasarkan terma “siapa cepat dia dapat”, manakala bagi vendor HWCCM yang menyertai majlis makan malam di BoraOmbak Marina Putrajaya yang berlangsung sehari sebelum konvensyen ini bakal menerima dua buah R34 berkenaan dalam set kotak istimewa.
Untuk konvensyen tahun ini, ia akan disertai oleh Ketua Pereka Produk untuk Hot Wheels Premium iaitu Ronald Wong yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat. Malah dalam dewan yang sama turut akan berlangsung sekali perhimpunan Nissan Skyline GT-R R34 sebenar dengan kerjasama Malaysia Skyline Owners Club (MSOG).
Art Of Speed 2026 akan berlangsung di lokasi lazimnya iaitu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada 1 dan 2 Ogos ini. Selain Hot Wheels, beberapa model die-cast eksklusif lain turut akan didedahkan dan dijual ketika berlangsungnya AoS 2026 ini termasuk Porsche RWB dari Tarmac Works, Nissan Skyline R34 kolobrasi Kyosho dan Mooneyes dan juga Nissan Skyline R34 Liberty Walk dari Mini GT.

