Perodua tawar promosi Julai 2026 — diskaun RM4,000 untuk Ativa, Aruz; RM1,500 untuk Myvi, Axia dan Bezza

Sepanjang bulan Julai, Perodua mengadakan promosi untuk lima model keluaran syarikat — bermula sekarang hingga 31 Julai. Antara model yang diberikan diskaun paling menarik ialah Aruz dan Ativa, dengan tawaran RM4,000. Daripada jumlah tersebut, RM3,000 adalah diskaun terus dan untuk bakinya akan diberikan dalam bentuk baucar servis RM1,000. Ini diberikan juga untuk Myvi, Axia dan Bezza dengan diskaun sehingga RM1,500.

Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih menjadi satu-satunya model Perodua yang ditawarkan dengan enjin turbo. SUV segmen-A ini — yang merupakan model Perodua pertama menggunakan platform DNGA — dikuasakan oleh enjin turbo 1.0 liter yang menjana sebanyak 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear D-CVT. Ativa dijual dari RM62,500 untuk varian X asas hingga RM73,400 untuk AV yang paling lengkap dengan pilihan bumbung hitam.

Diperkenalkan pada awal tahun 2019, Aruz ialah sebuah MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV dan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi daripada kebanyakan SUV (220 mm). Ini merupakan perbezaan terbesar antara Aruz dan Alza yang juga hadir dengan tujuh-tempat duduk, yang kedudukannya 60 mm lebih rendah dari tanah. Bagi mereka yang mahukan sudut penglihatan kereta yang lebih tinggi serta ketenangan fikiran ketika dalam keadaan banjir kecil, Aruz akan menjadi pilihan yang baik.

Rangkaian janaan kuasanya terdiri daripada enjin NA 1.5 liter yang menghasilkan 102 PS/133 Nm, dan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang. Passion Red menyertai pilihan warna pada akhir tahun 2021 dan Elegant Black pula muncul pada akhir tahun 2024. Pada bulan Ogos tahun yang sama, Vintage Brown menggantikan warna Electric Blue untuk penampilan yang lebih gelap dan elegan.

Myvi yang terbaru pula dilancarkan pada akhir tahun 2021, manakala Bezza — satu-satunya sedan Perodua dan kereta terlaris di Malaysia — telah berada dalam bentuk facelift semasa sejak tahun 2020. Axia pula menjadi model DNGA paling muda dalam barisan sedia ada ketika ini — D74A diperkenalkan pada awal tahun 2023.

Selain ke bilik pameran, anda juga boleh mencuba Tempahan Dalam Talian Perodua. Jika anda mempunyai kereta untuk ditukar ganti, anda boleh berbuat demikian melalui bahagian kereta terpakai POV Perodua.