Boon Siew Honda memperkenalkan Honda ADV160 edisi khas, Spider-Man Edition untuk pasaran Malaysia, yang diinspirasikan daripada superhero popular Marvel, Spider-Man. Skuter keluaran terhad ini ditawarkan pada harga RM14,149, iaitu RM900 lebih mahal berbanding ADV160 standard yang dijual pada harga RM13,249. Hanya 300 unit akan ditawarkan di Malaysia dan setiap pembelian disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu.
Sebagai pelengkap kepada model edisi khas ini, setiap pembeli akan menerima kotak hadiah premium yang mengandungi bekas air, penutup tangki minyak edisi khas, emblem eksklusif serta sijil pemilikan yang memaparkan nombor siri bagi setiap unit. Honda turut mengesahkan bahawa ADV160 Spider-Man Edition ini tidak akan dikeluarkan lagi pada masa hadapan.
Keistimewaan utama model ini terletak pada kemasan grafik khas yang diinspirasikan daripada identiti Spider-Man. Ia menampilkan logo Spider-Man bersama jalur grafik eksklusif yang mengadaptasikan elemen dan motif ikonik watak tersebut ke dalam rekaan badan skuter. Selain perubahan pada penampilan luaran, tiada perubahan dibuat pada aspek mekanikal berbanding ADV160 standard.
Kuasa masih dijana oleh enjin silinder tunggal eSP+ bersesaran 156.9 cc dengan penyejukan cecair dan suntikan bahan api PGM-Fi. Enjin ini menghasilkan 15.82 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 14.7 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik jenis CVT bersama pacuan tali sawat.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar dengan pelarasan pra-beban di belakang. Tugas membrek pula dikendalikan oleh cakera hidraulik tunggal pada kedua-dua roda.
Dari segi kelengkapan, ADV160 Spider-Man Edition mengekalkan skrin paparan TFT-LCD bersaiz lima inci dengan sambungan Honda RoadSync ke telefon pintar. Turut disediakan ialah sistem kawalan cengkaman (HSTC), ABS, cermin penghadang angin boleh laras, ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter serta fungsi Idling Stop System.


