Susulan video yang dikongsikan menerusi laman TikTok oleh pengguna bernama prince_ahaks pada minggu lalu berhubung insiden letupan kecil yang terjadi sewaktu pertama kali dia mencuba LRT3 Laluan Shah Alam, mencetuskan kegusaran orang ramai berkenaan tahap keselamatan perkhidmatan tren tersebut.
Petang ini, Rapid KL telah mengeluarkan maklumbalas bahawa hasil siasatan insiden melibatkan sebuah tren di Stesen Stadium Shah Alam jam 7.05 malam pada 4 Julai lalu adalah berpunca daripada isu teknikal salah satu komponen tren yang bersentuhan dengan konduktor kuasa hingga menyebabkan bunyi letupan kecil serta percikan api.
“Susulan kejadian tersebut, tren berkenaan telah dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan. Semua penumpang telah diturunkan di stesen berikutnya dan meneruskan perjalanan menggunakan tren lain. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala operasi perkhidmatan di Laluan Shah Alam terus berjalan seperti biasa.
“Tren tersebut kemudiannya dibawa ke depoh untuk menjalani pemeriksaan terperinci. Komponen tren yang mengalami isu teknikal tersebut telah diganti dan tren dibenarkan kembali beroperasi selepas melalui pemeriksaan serta disahkan selamat untuk perkhidmatan,” kata Rapid KL.
Kata Rapid KL lagi, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang serta memandang serius insiden yang melibatkan operasi perkhidmatan.
“Pemeriksaan dan pemantauan terhadap tren-tren lain turut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan. Penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk status terkini perkhidmatan Laluan Shah Alam,” sambungnya lagi.
@prince_ahakz My 1st ride on #LRT3 ♬ original sound – Prince Ahakz

