Volkswagen mungkin hentikan 100,000 pekerja untuk kurangkan kos dan beroperasi lebih efisien – CEO

Walaupun masih bertahan sebagai jenama nombor dua paling laris di dunia di belakang Toyota untuk 2025, Volkswagen sebenarnya kini sedang menghadapi krisis kewangan di mana keuntungannya turun mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana berhadapan persaingan sengit dengan jenama-jenama dari China serta jualan yang berkurangan di pasaran-pasaran utamanya.

Sebelum ini kumpulan automotif dari Jerman berkenaan sudahpun membayangkan bahawa ia akan mengurangkan barisan model sehingga separuh, mengurangkan penawaran opsyen sehingga 75% dan mengurangkan kapasiti produksi dari 10 juta ke sembilan juta unit setahun, dan terkini Volkswagen Group mengsahkan bahawa ia akan mengurangkan sehingga 100,000 pekerja, atau sekali ganda berbanding jumlah yang dinyatakan sebelum ini.

Volkswagen Group yang merangkumi jenama Porsche, Audi, Seat dan Skoda serta syarikat utama Volkswagen sebelum ini telah menyatakan bahawa ia akan memberhentikan kira-kira 50,000 pekerja di Jerman menjelang 2030. Kini, dalam memo yang dihantar kepada kakitangan dan dilaporkan secara meluas serta telah dilihat oleh Reuters, CEO Volkswagen, Oliver Blume berkata bahawa pengiraan menunjukkan bahawa kos kumpulan itu adalah 20% lebih tinggi berbanding perniagaan pesaing, dan oleh itu ia perlu mengurangkan lebih banyak perbelanjaannya.

Volkswagen mungkin hentikan 100,000 pekerja untuk kurangkan kos dan beroperasi lebih efisien – CEO

Menurut Blume ini bermakna secara teori ia perlu menghentikan lagi 50,000 pekerja di seluruh dunia. “Kami sedang menilai merentasi semua jenama, syarikat dan rantau berapa banyak pelarasan yang sebenarnya perlu dan boleh dilaksanakan. Kita perlu menjadi lebih cekap, lebih teguh dan lebih ringkas. Kita perlu mengurangkan kos,” katanya dalam memo itu.

Syarikat itu sebelum ini enggan mengulas mengenai laporan bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan sehingga 100,000 pekerja, namun tindakan tersebut nampaknya bakal dilakukan. Memo yang dikeluarkan ini adalah susulan kemarahan pekerja yang mahu pihak pengurusan menjelaskan rancangan penstrukturan semula syarikat yang telah dibentangkan oleh Blume kepada lembaga penyeliaan syarikat. Reuters diberitahu oleh sumbernya bahawa wakil buruh dalam jawatankuasa itu menyekat cadangan tersebut, yang difahamkan termasuk pengurangan pekerja dan kemungkinan bakal ada empat kilang yang akan ditutup.

Dalam memo itu, Blume berkata syarikat tidak dapat mengemukakan kegunaan alternatif untuk empat kilang di Jerman yang sebelum ini diancam akan ditutup. “Setakat hari ini, kami masih tidak dapat mengesahkan kes penggunaan kompetitif untuk kilang Emden, Hanover, Zwickau dan Neckarsulm pada tahun 2030-an,” katanya dalam memo itu.

Dua daripada kilang berkenaan, iaitu di Zwickau dan Emden, ia kini digunakan untuk produksi kereta elektrik, namun bagi fasiliti seperti di Hanover dan Neckarsulm, ia dilihat mahal untuk dikendalikan, seperti yang ditunjukkan oleh laporan berita.

Volkswagen mungkin hentikan 100,000 pekerja untuk kurangkan kos dan beroperasi lebih efisien – CEO

Production line of the new factory.

Pada tahun 2023, Volkswagen memperoleh keuntungan operasi sebanyak €22.6 bilion ($25.8 bilion, £19.3 bilion), tetapi ia jatuh kepada €19.1 bilion pada tahun 2024 dan kemudian kepada €8.9 bilion tahun lepas. Persaingan sengit dengan pengeluar kereta China dan penurunan jualan di pasaran utama termasuk China, telah menyebabkan penurunan keuntungan tersebut, manakala jualan untuk enam bulan pertama tahun ini adalah 26% lebih rendah berbanding tahun 2025. Di Amerika Syarikat, jualan juga telah menurun sebanyak tujuh peratus.

Jumlah pengurangan sehingga 100,000 pekerja ini mungkin kedengaran agak drastik, namun beberapa penganalisis industri membuat jangkaan kepada Agence France Presse bahawa angka tersebut sengaja dihebahkan sebagai taktik rundingan, dan jumlah akhir pemberhentian pekerja mungkin lebih rendah.

Bagi langkah pengurangan model pula, laporan sebelum ini menyatakan Volkswagen akan menghentikan jualan untuk model Touareg, Touran dan T-Roc Cabriolet, serta beberapa model Audi termasuk A1, Q2, TT, R8 dan Q8 e-tron. Terbaharu beberapa model Porsche juga dijangka bakal digugurkan, ia termasuk Porsche Taycan, 718 Boxster dan Cayman.

Ini merupakan satu lagi tempoh sukar bagi Volkswagen Group selepas skandal Dieselgate sebelum ini, dan ia dijangka akan bertambah teruk sebelum berjaya untuk pulih semula selepas itu.