MG Go! Concept beri petunjuk EV hatchback segmen B MG2 baru, SUV EV Cyber Concept turut didedah

Selain Denza dan Mercedes-AMG, MG turut menggunakan pentas Goodwood Festival of Speed untuk memperkenalkan dua model konsep baru, iaitu Go! dan Cyber. Walaupun kedua-duanya masih berstatus konsep, MG memberi bayangan bahawa salah satu daripadanya bakal memasuki fasa produksi dalam masa terdekat.

Daripada dua model tersebut, Go! merupakan yang paling hampir kepada versi produksi. MG mengesahkan model konsep ini menjadi petunjuk kepada sebuah hatchback segmen-B baru yang dijadual memasuki pasaran pada tahun hadapan. Beberapa laporan media antarabangsa seperti Autocar turut menjangkakan ia akan menggunakan nama MG2, sekaligus melengkapi MG3 dan bukannya menggantikan model tersebut.

Reka bentuk Go! tampil dengan imej yang agak agresif menerusi splitter hadapan bersaiz besar, bukaan udara berbentuk U, cangkuk tunda, fender yang dilebarkan, spoiler belakang serta diffuser yang menonjol. Rim bersaiz besar dengan rekaan pengunci satu di tengah turut menyerlahkan penampilan konsep ini.

MG Go! Concept beri petunjuk EV hatchback segmen B MG2 baru, SUV EV Cyber Concept turut didedah

Namun di sebalik elemen tersebut, reka bentuk asas Go! sebenarnya lebih ringkas. Menurut MG, gayanya diinspirasikan daripada MGB GT yang terkenal dengan reka bentuk sederhana tetapi elegan. Bahagian cermin hadapan yang melengkung serta cermin lain yang tegak memberikan sedikit persamaan dengan MINI Cooper, manakala lampu belakang nipis mengingatkan kepada konsep Mazda Vision X-Compact.

Setakat ini, MG masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal model tersebut. Bagaimanapun, laporan Autocar menyatakan hatchback berkenaan akan mempunyai panjang sekitar empat meter, menjadikannya lebih kecil berbanding MG3 yang berukuran 4,113 mm, serta setanding dengan Renault 5 dan Fiat Grande Panda.

Sementara itu, MG Cyber Concept pula memberi bayangan kepada sebuah SUV elektrik premium segmen-D yang bakal ditawarkan kepada pasaran. Model ini tampil dengan rekaan berinspirasikan SUV prestasi moden menerusi fender yang lebar, garis bumbung yang rendah serta kemasan hitam berkilat pada lengkung roda.

MG Go! Concept beri petunjuk EV hatchback segmen B MG2 baru, SUV EV Cyber Concept turut didedah

MG mendakwa reka bentuk Cyber mendapat inspirasi daripada EX181, yang pernah memecah rekod kelajuan darat, tetapi hasilnya lebih menyerupai trend SUV elektrik berprestasi tinggi yang semakin popular dari China. Sebelum ini, syarikat itu pernah menghasilkan EXE181 konsep sebagai penghormatan kepada model bersejarah tersebut.

Cyber menjadi model terbaru dalam keluarga “Cyber” selepas pelancaran Cyberster dan Cyber X SUV konsep yang diperkenalkan tahun lalu. Jika Cyberster menandakan kembalinya MG ke dalam segmen kereta sport, Cyber pula bakal membuka laluan jenama itu memasuki pasaran SUV elektrik premium segmen-D menerusi model produksi yang telah disahkan akan diperkenalkan pada masa akan datang.

GALERI: MG Go! Concept


GALERI: MG Cyber Concept