Leapmotor mengembangkan lagi barisan model mampu miliknya menerusi pengenalan A05s, iaitu model penumpang pertama di bawah siri A. Dari segi penampilan, hatchback elektrik ini berkongsi hampir keseluruhan reka bentuk dengan SUV A10, yang dijangka dipasarkan sebagai B03X di pasaran antarabangsa.
Reka bentuk luaran A05s menampilkan lampu hadapan yang nipis dengan lampu nyalaan siang (DRL) tiga jalur, bukaan udara tengah bersaiz besar, pemegang pintu jenis tersembunyi, tiang-C berwarna hitam serta lampu belakang yang melintang. Secara keseluruhannya, sukar untuk membezakan model ini dengan A10.
Namun, perbezaan yang dapat dilihat ialah kemasan lengkuk roda yang kini menggunakan warna badan berbanding plastik hitam pada A10, selain rekaan skirt sisi dan bampar belakang yang sedikit diubah. Model yang dipamerkan turut dipadankan dengan rim aloi 10 jejari, lengkap dengan kemasan merah jambu yang sepadan dengan warna bumbung dan cermin sisi.
Walaupun kelihatan hampir sama, A05s sebenarnya sedikit lebih kecil. Berdasarkan maklumat yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, model ini berukuran 4,200 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,560 mm tinggi, dengan jarak roda kekal 2,605 mm. Ini menjadikannya 70 mm lebih pendek, 10 mm lebih sempit dan 75 mm lebih rendah berbanding A10.
Dua varian dijangka ditawarkan untuk pasaran China, sama seperti A10. Varian asas menggunakan motor elektrik berkuasa 95 PS (70 kW) bersama bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 39.8 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 405 km mengikut kitaran CLTC.
Satu lagi varian menggunakan motor elektrik 122 PS (90 kW) dengan bateri 53 kWh, memberikan jarak gerak sehingga 510 km mengikut piawaian CLTC. Jika ditukarkan kepada piawaian WLTP, angka tersebut dianggarkan sekitar 330 km dan 420 km.
Sebagai perbandingan, B03X yang bakal dipasarkan di Eropah menggunakan motor elektrik lebih berkuasa dengan 197 PS (145 kW). Model itu menawarkan jarak gerak WLTP sehingga 292 km dengan bateri 39.8 kWh dan 382 km bagi versi 53 kWh.
Memandangkan B03X sudah boleh ditempah di Eropah, A05s dijangka turut diperkenalkan ke pasaran global dalam tempoh terdekat. Berkemungkinan besar model ini akan menggunakan nama B03 bagi mengelakkan kekeliruan dengan penamaan siri A di China.
Bagi pasaran Malaysia, Leapmotor B03X dijangka diperkenalkan sama ada pada penghujung tahun ini atau awal 2027. Sekiranya itu berlaku, tidak mustahil hatchback elektrik A05s turut menyusul tidak lama kemudian sebagai alternatif yang lebih rendah dan kompak berbanding SUV tersebut.




Leapmotor B10
dari RM 107,800
Leapmotor C10
dari RM 129,000