iCaur V25 didedah di China – SUV REEV dengan enjin 1.5L turbo, jarak gerak elektrik sehingga 150 km

Di China, iCaur (juga dikenali sebagai iCar) memperkenalkan V25, sebuah SUV bergaya lasak yang diletakkan antara V23 dan V27 dalam barisan modelnya. Sekilas pandang, reka bentuknya kelihatan hampir sama seperti V23, namun V25 hadir dengan dimensi lebih besar serta menggunakan sistem rangkaian kuasa range-extended electric vehicle (REEV), yang menggabungkan motor elektrik dengan enjin pembakaran dalaman sebagai penjana kuasa.

Dari segi saiz, iCaur V25 mencatat ukuran 4,636 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,855 mm tinggi, dengan jarak roda 2,820 mm. Sebagai perbandingan, V23 berukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar, 1,845 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,735 mm. V27 pula merupakan model terbesar dalam keluarga iCaur dengan ukuran 5,055 mm panjang, 1,976 mm lebar, 1,894 mm tinggi serta jarak roda 2,910 mm.

Meskipun mengekalkan identiti rekaan yang hampir sama dengan V23, V25 tampil dengan beberapa perbezaan yang jelas. Lampu nyalaan siang (DRL) bersepadu pada lampu hadapan kini menggunakan grafik separuh bulatan, menggantikan rekaan dua garisan melintang yang digunakan pada V23.

iCaur V25 didedah di China – SUV REEV dengan enjin 1.5L turbo, jarak gerak elektrik sehingga 150 km

Bahagian gril hadapan juga direka lebih terbuka dengan corak jejaring segi empat, manakala bampar hadapan menerima kemasan yang lebih tebal untuk menyerlahkan imej lasaknya. Di belakang, nombor pendaftaran tidak lagi dipasang pada pintu but jenis bukaan sisi seperti V23, sebaliknya diletakkan pada ruang khas yang dibentuk pada bampar belakang. Kemasan berhampiran tiang D turut diberikan sisipan baru bersama lekukan kecil yang membezakan model ini dengan ‘adik’nya.

Berdasarkan dokumen yang difailkan kepada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, V25 menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 156 PS bagi mengecas pek bateri berkapasiti 33.68 kWh. Bergantung kepada varian, SUV ini mampu bergerak sejauh 145 km atau 150 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, mengikut kitaran ujian WLTC.

Maklumat berkaitan motor elektrik masih belum didedahkan, namun sistem rangkaian kuasa tersebut dilapor membolehkan V25 mencapai kelajuan maksimum sehingga 180 km/j.

iCaur V25 didedah di China – SUV REEV dengan enjin 1.5L turbo, jarak gerak elektrik sehingga 150 km

Menurut laporan CarNewsChina, V25 turut boleh dilengkapi pakej penundaan (towing package) yang menawarkan kapasiti menunda sehingga 1,800 kg. Walaubagaimanapun, pemasangan pakej ini mengurangkan sudut pelepasan (departure angle) daripada 24 darjah kepada 15 darjah, manakala sudut mendaki (approach angle) kekal pada 28 darjah.

Pilihan rim ditawarkan dalam saiz 19 atau 21 inci. Dari aspek bantuan pemandu, V25 boleh dilengkapi sensor LiDAR yang dipasang pada bumbung serta dijangka menggunakan cip Horizon Journey 6 dengan kuasa pemprosesan sehingga 560 TOPS bagi menyokong fungsi bantuan pemanduan termaju.

Tags: