BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia — jana 258 PS/400 Nm, 0-100 km/j 6.3 saat, harga dari RM359k

Dari Jun 2025 hingga April 2026, BMW X3 20 merupakan satu-satunya model X3 generasi keempat (G45) yang dijual di Malaysia. Kini itu sudah berubah: varian yang lebih berkuasa melengkapinya dalam penawaran BMW X3 30 xDrive M Sport yang dijual dengan harga RM358,800 (atau RM386,700 dengan BSRI). Dengan RM33k lebih mahal, apa kelainannya daripada model X3 20 terdahulu?

Pertama sekali, janaan enjinnya lebih besar — 68 PS lebih tinggi; 90 Nm lebih tinggi; 2.2 saat lebih pantas untuk pecutan 0-100 km/j; serta laju maksimum juga lebih 25 km/j. Enjin turbo B48 2.0 liter kini menghasilkan kuasa sebanyak 258 PS dan tork 400 Nm, memberikan masa pecutan 0-100 km/j 6.3 saat dan laju maksimum 240 km/j.

Rim aloi ringan M 20-inci (dengan tayar hadapan 255/45 dan tayar belakang 285/40) adalah satu inci lebih besar berbanding X3 20, dan brek M Sport dengan angkup logam biru gelap, lampu hadapan LED adaptif serta bumbung kaca panoramik yang tidak terdapat pada X3 20.

Kelebihan lain diterima adalah kemasan kayu Magnolia halus bercetak daripada katalog BMW Individual (X3 20 hadir dengan kemasan aluminium halus M), pengudaraan tempat duduk hadapan, sokongan lumbar tempat duduk pemandu, 15-pembesar suara Harman Kardon (hanya ada enam pada X3 20) dan Active Park Distance Control dengan pengesanan pejalan kaki semasa mengundur.

BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia — jana 258 PS/400 Nm, 0-100 km/j 6.3 saat, harga dari RM359k

Selebihnya adalah sama. Ia masih kekal dengan teknologi hibrid ringan 48-volt, transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, suspensi pasif, pacuan semua roda, pakej penggayaan M Sport, kemasan aluminium satin dan gril Iconic Glow.

Ruang dalamannya masih menampilkan kulit sintetik beliang Veganza hitam, stereng kulit M, pelapik bumbung hitam, tempat duduk sport, penghawa dingin tiga-zon, lampu ambient, kamera dalaman, panel instrumen 12.3-inci, skrin sentuh 14.9-inci, head-up display dan Connected Package Professional.

Selain penambahan ciri aktif yang dinyatakan, fungsi ADAS yang lain adalah sama — AEB, ACC dengan berhenti dan pergi, pelbagai fungsi lorong, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek, dan Parking Assistant Plus (terdiri daripada kamera 360, paparan 3D jarak jauh, perakam pandu, pembantu parkir automatik dan ciri undur).

Pilihan warna antara kedua-dua varian juga sama – Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue seperti dalam gambar.

BMW X3 30 xDrive M Sport 2026

Tags: