20 kereta terlaris Jun 2026 – Bezza kembali naik no.1 pintas Saga, jualan Honda City melonjak ke no.5

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun mengeluarkan data bagi pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan Jun 2026, dan seperti biasa berdasarkan data tersebut kami sediakan carta untuk 20 kereta terlaris yang dijual sepanjang bulan lalu.

Setelah jatuh di tempat kedua pada Mei 2026, Perodua Bezza nampaknya kembali jadi model terlaris di Malaysia pada Jun dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 7,998 unit, menjadikan jumlah keseluruhan yang terjual untuk separa tahun ini (YTD) mencecah 47,463 unit.

Dan sudah tentu juara bulan sebelumnya iaitu Proton Saga yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 7,000 unit (44,234 YTD) pada Jun jatuh ke tempat kedua. Manakala tempat ketiga adalah milik Perodua Axia yang terjual sebanyak 5,970 unit (36,910 YTD) sepanjang Jun. Ia diikuti dengan Perodua Myvi dengan 5,218 unit (29,112 YTD).

Apa yang mengejutkan, jualan Honda City melonjak ke tempat ke lima pada Jun dengan jualan 3,880 unit (12,121 YTD), naik sekali ganda berbanding jualan pada Mei yang ketika itu ia berada di tempat ke-12. Seperti biasa untuk Honda City JPJ telah mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model sedan dan Hatchback.

20 kereta terlaris Jun 2026 – Bezza kembali naik no.1 pintas Saga, jualan Honda City melonjak ke no.5

Perodua Alza berada di tempat ke-6 pada Jun dengan jualan 3,827 unit (19,504 YTD), diikuti Proton S70 di tempat ke tujuh dengan jualan 2,307 unit, Proton X50 di tempat ke lapan dengan 2,016 unit (13,646 YTD). Perodua Traz pula naik ke tempat sembilan dari tempat ke-11 pada Mei dengan jualan 1,904 unit (10,753 YTD), Manakala Ativa yang berada di tempat 8 pada bulan sebelumnya jatuh di tempat ke-10 pada Jun dengan jualan 1,834 unit (10,110 YTD)

Toyota Vios menjadi model bukan nasional nombor dua paling laris pada bulan lalu dengan jualan 1,751 unit (8,878 YTD), dan berada di tempat ke-11. Ia diikuti oleh Toyota Hilux yang berada di tempat ke-12 dengan pendaftaran sebanyak 1,741 unit (9,979 YTD).

Model EV paling laris di Malaysia, Proton eMas 5 pula berada di tempat ke-13 apabila 1,309 unit telah dihantar kepada pelanggan sepanjang Jun dan jumlah jualan tahunannnya untuk separa tahun ini telah mencapai 10,665 unit. Kembar Perodua Traz iaitu Toyota Yaris Cross pula terjual sebanyak 1,296 unit (2,688 YTD) sepanjang bukan Jun untuk berada di tempat ke-15.

Tempat ke-15 pula adalah milik Toyota Alphard yang terjual sebanyak 1,291 unit (8,243 YTD) – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun. Tempat ke-16 pula adalah milik model PHEV paling laris di Malaysia iaitu Proton eMas 7 PHEV yag terjual sebanyak 1,138 unit (4,074 YTD) sepanjang Jun, jauh lebih laris dari versi EVnya yang berada di tempat ke-25 dengan terjual hanya 579 unit.

20 kereta terlaris Jun 2026 – Bezza kembali naik no.1 pintas Saga, jualan Honda City melonjak ke no.5

Toyota Corolla Cross pulq di tempat ke-17 dengan jualan 939 unit (5,343 YTD) sepanjang Jun, manakala Honda Civic yang terkeluar dari senarai ini pada bulan Mei kini kembali pada Jun dengan berada di tempat ke-18 apabila sebanyak 907 unit (4,884 YTD) pendaftaran baharu dicatatkan pada bulan lalu.

Honda HR-V pula berada di tempat ke-19 dengan jualan sebanyak 897 unit (6,026 YTD) pada Jun, dan Chery Tiggo (JPJ mencampurkan semua jumlah SUV Tiggo iaitu 7,8 dan Cross) berada di tempat ke-20 dengan pandaftaran sebanyak 821 unit (4,604 YTD).

Secara keseluruhan, jualan kenderaan di Malaysia kembali melonjak pada bulan Jun, dengan jumlah pendaftaran kereta baharu direkodkan sebanyak 72,943 unit, meningkat 10.4% daripada 66,053 unit pada bulan Mei. Perodua merupakan jenama dengan pertambahan jualan paling banyak iaitu naik sebanyak 12.4% pada bulan berkenaan, manakala Proton yang berada di tempat kedua pula mencatatkan penurunan sebanyak 4.3%.

Anda boleh melihat pecahan penuh jualan setiap bulan dan juga YTD kenderaan di Malaysia, mengikut jenama, model, jenis badan dan bahan api, menerusi data jualan kereta kami pada PAUTAN INI.