Data pendaftaran kenderaan baru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi Mei 2026 menunjukkan Proton Saga berjaya muncul sebagai model paling laris di Malaysia, sekaligus menamatkan dominasi Perodua Bezza yang telah mengungguli carta jualan selama beberapa bulan sebelum ini.
Sebanyak 7,337 unit Proton Saga didaftarkan sepanjang Mei 2026, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 16,140 unit yang dicatatkan Proton pada bulan tersebut. Saga mengatasi Perodua Bezza yang berada di kedudukan kedua dengan 7,079 unit, menjadikan jurang antara kedua-dua sedan nasional itu hanya 258 unit.
Tempat ketiga pula menjadi milik Perodua Axia dengan 5,985 unit didaftarkan. Meskipun gagal menempatkan modelnya di tangga teratas bulan lalu, Perodua masih kekal sebagai jenama paling laris secara keseluruhan dengan 24,480 unit kenderaan didaftarkan pada Mei 2026.
Walaubagaimanapun, keputusan bulanan itu masih belum mengubah kedudukan keseluruhan bagi tahun ini. Dari Januari hingga Mei 2026, Perodua Bezza terus mendahului carta jualan dengan 39,465 unit, diikuti Proton Saga yang mencatatkan 37,234 unit.
Perodua Axia kekal di tempat ketiga dengan jumlah pendaftaran terkumpul sebanyak 30,940 unit. Ini bermakna Saga berjaya menjuarai jualan bulanan, namun masih belum mengatasi Bezza dari segi jumlah jualan tahunan setakat ini.
Perodua turut menguasai empat daripada lima kedudukan teratas menerusi Myvi dan Alza. Perodua Myvi mencatatkan 4,416 unit pada Mei dengan jumlah terkumpul 23,894 unit bagi tahun ini, manakala Perodua Alza merekodkan 2,871 unit dan 15,677 unit secara kumulatif. Proton S70 pula menduduki tangga keenam dengan 2,350 unit pada Mei dan 10,525 unit sepanjang tahun setakat ini.
Dalam kelompok 10 model terlaris, Proton X50 berada di kedudukan ketujuh dengan 2,073 unit, diikuti Perodua Ativa di tangga kelapan menerusi 1,762 unit. Toyota Vios muncul sebagai model Jepun paling laris pada bulan tersebut dengan 1,676 unit untuk kedudukan kesembilan, manakala Toyota Hilux melengkapkan senarai 10 teratas dengan 1,670 unit, membuktikan segmen pikap masih mempunyai permintaan yang kukuh di pasaran tempatan.
Perodua Traz berada di kedudukan ke-11 dengan 1,539 unit didaftarkan, diikuti Honda City di tempat ke-12 dengan 1,511 unit. Toyota Alphard pula menduduki tangga ke-13 selepas merekodkan 1,409 unit pada Mei.
Antara perkembangan paling menarik bulan lalu ialah kemunculan Toyota Yaris Cross yang melonjak ke kedudukan ke-14 dengan 1,278 unit didaftarkan. Model SUV segmen B itu hanya mencatatkan 114 unit dan berada di kedudukan ke-66 pada April lalu sebelum penghantaran kepada pelanggan dipertingkatkan secara agresif. Yaris Cross juga merupakan model asas yang digunakan bagi pembangunan Perodua Traz yang berada tiga anak tangga di atasnya.
Dalam kalangan model elektrifikasi Proton, e.MAS 7 kini disenaraikan dalam dua varian berasingan berdasarkan sistem rangka kuasanya. Varian plug-in hybrid (PHEV) menduduki tempat ke-15 dengan 1,181 unit, mengatasi versi elektrik sepenuhnya yang berada di tangga ke-16 dengan 896 unit. Proton e.MAS 5 pula berada di kedudukan ke-17 selepas mencatatkan 883 unit pada Mei dan 9,356 unit secara kumulatif bagi tahun ini.
Toyota Corolla Cross menamatkan bulan Mei di tempat ke-18 dengan 873 unit, diikuti Perodua Aruz di kedudukan ke-19 dengan 748 unit. Honda HR-V melengkapkan senarai 20 model terlaris dengan 740 unit didaftarkan. Sementara itu, Honda Civic yang berada dalam kelompok 20 terbaik pada bulan sebelumnya terkeluar daripada senarai tersebut dan berada di tangga ke-21 selepas mencatatkan 691 unit pada Mei 2026.



