Seperti yang dibentangkan dalam taklimat oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkaitan jualan kenderaan bagi separuh pertama 2026 di Malaysia hari ini, pasaran tempatan telah memyaksikan sejumlah 385,353 unit kenderaan terjual, sekali gus mencerminkan kenaikan 3% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada angka itu, jenama nasional yang diwakili oleh Proton dan Perodua secara kolektifnya telah meningkatkan kadar perkongsian pasaran masing-masing kepada 67% bagi tempoh separuh pertama tahun 2026. Ini mewakili sejumlah 256,304 unit kenderaan – dan daripada jumlah tersebut, Perodua menyumbang 41% manakal Proton dengan 26%. Ini mewakili peningkatan sebanyak 20,343 unit berbanding separuh pertama tahun 2025, yang mencatatkan 235,961 unit kenderaan keluaran nasional yang terjual, dan mewakili perkongsian pasaran 63%.
Ini juga bermakna, jenama bukan nasional di Malaysia menyaksikan kadar perkongsian pasaran mereka menurun kepada 33% untuk separuh pertama tahun 2026, setelah menjual 129,049 unit kenderaan secara terkumpul dalam tempoh tersebut. Pada separuh pertama tahun 2025, jenama bukan nasional mencatatkan jualan 137,675 unit kenderaan dengan perkongsian pasaran sebanyak 37%.
Perkongsian pasaran bagi jenama bukan nasional di Malaysia terus menunjukkan corak menurun sejak tahun 2024, apabila Proton dan Perodua menjual 505,689 unit secara gubungan pada tahun itu, sekali gus menguasai perkongsian pasaran sebanyak 62% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV). Sebelum itu, jenama nasional menguasai 66.9% perkongsian pasaran pada tahun 2023 dengan 481,300 unit terjual, dan 65.1% pada tahun 2022.

