BYD Sime Motors hari ini melancarkan BYD Certified, iaitu program pensijilan rasmi untuk kenderaan terpakai BYD, sekaligus membuka pusat BYD Certified pertama di Malaysia. Beroperasi di Sime Darby Auto Selection Glenmarie, ia juga merupakan fasiliti BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik.
Program ini diwujudkan bagi menawarkan lebih keyakinan kepada pelanggan yang ingin memiliki kenderaan elektrik (EV) terpakai, dengan setiap unit melalui proses pemeriksaan yang menyeluruh sebelum dipasarkan. Menurut BYD Sime Motors, setiap kenderaan turut disertakan dengan laporan kesihatan bateri yang disahkan, perlindungan waranti, pilihan pembiayaan serta sokongan selepas jualan melalui rangkaian pengedar sah BYD.
Di bawah program ini, setiap kenderaan perlu melepasi pemeriksaan melibatkan 170 perkara sebelum layak menerima pensijilan. Selain itu, hanya model dengan jarak perbatuan di bawah 100,000 km dan usia tidak melebihi empat tahun akan diterima.
BYD turut menetapkan had perbatuan mengikut usia kenderaan, iaitu kurang daripada 30,000 km bagi model berusia setahun, kurang 60,000 km bagi dua tahun, kurang 90,000 km bagi tiga tahun dan kurang 100,000 km untuk kenderaan berusia empat tahun.
Selain itu, semua kenderaan yang diperakui di bawah BYD Certified dijamin tidak mempunyai rekod kemalangan besar, kerosakan akibat banjir atau kebakaran serta tidak pernah mengalami manipulasi bacaan odometer. Sebarang kerja baik pulih juga dilakukan menggunakan alat ganti tulen BYD mengikut piawaian pembaikan yang ditetapkan pengeluar.
Program ini turut menawarkan beberapa manfaat tambahan kepada pembeli. Antaranya ialah jaminan pembelian semula dalam tempoh lima hari sekiranya selepas penyerahan didapati terdapat kerosakan struktur, kerosakan akibat banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan ketika jualan.
Pemilik juga akan menerima perlindungan servis dan waranti yang boleh digunakan di rangkaian pusat 3S sah BYD di seluruh negara. Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, pelancaran BYD Certified merupakan satu lagi langkah syarikat untuk memperluaskan akses pemilikan EV kepada lebih ramai pengguna di Malaysia.
Beliau berkata, apabila pasaran EV semakin berkembang, permintaan terhadap kenderaan terpakai yang berkualiti dan disokong oleh jaminan pengeluar turut meningkat. Justeru, BYD Certified diwujudkan bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati pengalaman pemilikan BYD dengan keyakinan yang lebih tinggi, selain memastikan sokongan berterusan diberikan sepanjang tempoh pemilikan.
Pada majlis pelancaran itu, BYD Certified turut menyerahkan unit pertama kepada pelanggan yang membeli sebuah BYD Atto 3 terpakai. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program ini, BYD Sime Motors akan menganjurkan Weekend Showroom Event di pusat BYD Certified, Sime Darby Auto Selection Glenmarie dari 24 hingga 26 Julai ini.



