Walaupun baru lebih setahun berada di pasaran China, Leapmotor B10 diberikan kemas kini yang agak besar bagi memastikan ia kekal kompetitif berdepan pencabar seperti BYD dan Geely. Walaupun perubahan pada penampilan luarnya agak minimum, model ini sebenarnya menerima naik taraf mekanikal yang signifikan, termasuk penggunaan seni bina elektrik 800-volt untuk varian tertentu.
Dari segi rekaan, perubahan paling ketara hanyalah penggunaan rim aloi baru bersaiz 19 inci dengan rekaan 10 jejari untuk varian tertinggi. Leapmotor turut memperkenalkan beberapa pilihan warna baru, termasuk perak, hijau lembut dan merah jambu cerah.
Di dalam kabin pula, perubahan lebih jelas dapat dilihat pada konsol tengah. Rekaan asal yang menggunakan ruang simpanan terbuka bersama pemegang cawan boleh lipat, dua ruang meletakkan telefon pintar serta pengecas tanpa wayar Qi kini digantikan dengan konsol jenis “bridge” yang lebih konvensional, lengkap dengan pemegang cawan tetap.
Susun atur baru ini turut melibatkan pengalihan ruang letak telefon ke bahagian hadapan. Bahagian papan pemuka di sebelah penumpang juga diberikan sentuhan baru. Enam lubang yang sebelum ini digunakan untuk memasang aksesori seperti pemegang tablet kini dihapuskan bagi menghasilkan rekaan yang lebih kemas.
Sebagai ganti, aksesori tersebut kini dipasang menggunakan sistem magnet. Dari segi kelengkapan, B10 masih menawarkan paparan instrumen digital bersaiz 8.8 inci, skrin infotainmen 17.3 inci, sistem audio 14 pembesar suara, bumbung panoramik kaca serta tempat duduk hadapan “Zero Gravity” yang boleh direbahkan dengan satu sentuhan dan dilengkapi perehat kaki binaan dalam.
Naik taraf paling besar bagaimanapun melibatkan aspek trenkuasa. Walaupun masih mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang, output motor elektrik kini meningkat kepada 245 PS (180 kW) dan 255 Nm, masing-masing bertambah 27 PS dan 15 Nm berbanding model terdahulu.
Pecutan 0-100 km/j kini hanya mengambil masa 6.6 saat, iaitu hampir 1.5 saat lebih pantas berbanding sebelum ini. Pek bateri LFP bagi varian tersebut turut diperbesar daripada 56.2 kWh kepada 60.8 kWh, sekaligus meningkatkan jarak gerak mengikut kitaran CLTC kepada 540 km, sekitar 30 km lebih jauh berbanding model sebelumnya. Jika diterjemahkan kepada kitaran WLTP, angka sebenar dijangka menghampiri 400 km, berbanding sekitar 361 km bagi model sedia ada.
Menariknya, Leapmotor turut menawarkan varian asas yang menggunakan pek bateri sama, tetapi dengan talaan motor lebih rendah menghasilkan 179 PS (132 kW) dan 175 Nm. Varian ini mencatat masa 0-100 km/j dalam 9.6 saat, namun masih menawarkan jarak gerak CLTC 540 km.
Bagi varian lebih tinggi, kuasa meningkat sedikit kepada 252 PS (185 kW) dan 260 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 6.4 saat. Ia turut menerima pek bateri lebih besar berkapasiti 69.7 kWh, meningkat daripada 67.1 kWh sebelum ini, dengan jarak gerak sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC atau sekitar 450 km berdasarkan anggaran WLTP.
Sebagai perbandingan, BYD Atto 3 Evo menawarkan jarak gerak WLTP sehingga 510 km. Model yang menggunakan bateri 69.7 kWh turut menerima naik taraf kepada seni bina elektrik 800-volt, sama seperti C10. Dengan sistem baru ini, pengecasan pantas DC dari 30 hingga 80% hanya memerlukan 16 minit, empat minit lebih pantas berbanding model terdahulu walaupun kapasiti baterinya lebih besar.
Sementara itu, varian lain masih menggunakan sistem 400-volt. Bagi model ini, pengecasan DC dari 30 hingga 80% mengambil masa sekitar 21 minit, sedikit lebih lama berbanding sebelum ini disebabkan kapasiti bateri yang turut meningkat. Pengecasan AC pula mengambil masa kira-kira lima jam untuk bateri 60.8 kWh dan 5.7 jam bagi bateri 69.7 kWh bagi julat pengecasan yang sama.
Di China, Leapmotor B10 versi kemas kini ini ditawarkan pada harga bermula 99,800 yuan (sekitar RM60,300) untuk varian asas, manakala varian tertinggi yang dilengkapi sensor lidar serta fungsi pemanduan separa autonomous di lebuh raya dan kawasan bandar dijual pada harga 125,800 yuan (sekitar RM76,000).
Seperti Leapmotor C10 Plus, model B10 yang dikemas kini ini dijangka akan turut diperkenalkan ke pasaran global. Bagaimanapun, peluang untuk versi ini memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat dilihat agak tipis memandangkan Leapmotor C10 pemasangan tempatan (CKD) yang baru dilancarkan di sini masih menggunakan seni bina elektrik 400-volt.





Leapmotor B10
dari RM107,800
Leapmotor C10
dari RM129,000