Leapmotor C10 kini ditawarkan sebagai EV pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, dan telah mula dikeluarkan dari kilang Stellantis di Gurun, Kedah — seperti yang ditunjukkan dalam galeri ini.
Dengan harga jualan RM129,000, C10 versi CKD MY2026 ini adalah RM4,000 lebih tinggi daripada versi import sepenuhnya (CBU): versi MY2025 sebelum ini dijual dengan harga RM125,000 (harga promosi, lebih rendah daripada harga asalnya iaitu RM159,880). Perlu dinyatakan bahawa C10 CKD ini dijual dengan harga yang sama dengan C10 Plus CBU, walaupun unit MY2025 yang dari kelompok terakhir adalah terhad.
Untuk spesifikasi, C10 CKD sama seperti versi CBU yang menerima kemaskini pada Jun 2025. Ia didatangkan dengan pengecas AC binaan dalam yang dinaik taraf yang mampu menampung kadar sehingga 11 kW dan bukan lagi 6.6 kW, yang membolehkan SoC 30%-80% dicapai dalam masa 3.9 jam berbanding enam jam sebelumnya. Pengecasan pantas DC kekal sama dengan kadar puncak 84 kW, dengan SoC 30%-80% hanya memerlukan 30 minit.
C10 menampilkan seni bina elektrik 400 volt dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 69.9-kWh yang memberikan jarak sehingga 424 km mengikut piawaian WLTP. Ia menyalurkan tenaga untuk motor elektrik yang dipasang di belakang yang menjana sebanyak 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 320 Nm untuk membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan mencapai laju maksimum 170 km/j.
Untuk C10 Plus, ia dilengkapi bateri LFP 81.9-kWh untuk memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh, 510 km (WLTP). C10 Plus juga menerapkan seni bina elektrik 800-volt yang membolehkan kadar pengecasan DC yang lebih tinggi, iaitu sehingga 180 kW, dan boleh memberikan SoC 30%-80% dalam masa 22 minit. Kadar pengecasan AC kekal sama dengan 11 kW, dengan SoC 30%-80% memerlukan 4.5 jam.
Selain sistem elektrik dengan voltan lebih tinggi dan kapasiti bateri LFP yang lebih besar, motor elektrik belakang untuk C10 Plus memberikan lebih kuasa pada 299 PS (295 hp atau 220 kW) dan 360 Nm. Pecutan 0-100 km/j lebih pantas dalam 6.19 saat, manakala laju maksimum naik menjadi 190 km/j.
Kelengkapan standard untuk C10 termasuk lampu hadapan LED dengan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, rim aluminium ‘Trident’ 20-inci (dengan tayar bersaiz 245/45), bumbung panoramik dengan pelindung matahari elektrik, pintu belakang larasan kuasa, kawalan pendingin dwi-zon (dengan corong udara belakang), balutan fabrik silikon Oeko-Tex untuk tempat duduk, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainment pusat 2.5K 14.6-inci, pad pengecas tanpa wayar, akses kad kunci NFC serta sistem bunyi 840 watt dengan 12-pembesar suara.
Seperti kemaskini yang diberikan tahun lalu untuk versi CBU, model CKD ini juga menerima sistem pemantauan tekanan tayar dan kit pam tayar bermotor, manakala untuk ruangan butnya juga diberikan penutup tonneau. Ruang kargo kekal dengan kapasiti 435 liter, dan boleh dikembangkan kepada 1,410 liter dengan tempat duduk bangku belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 – terdapat juga ruang kosong tambahan dengan 32 liter.
Kelengkapan keselamatan dan ciri bantuan pemandu C10 kekal sama untuk versi CKD — tujuh beg udara, kawalan menurun curam, bantuan mula mendaki, Auto Hold, kawalan melayar adaptif dengan bantuan kesesakan lalu lintas, kawalan ke tengah lorong, amaran perlanggaran hadapan, AEB, pemantauan titik buta, amaran bukaan pintu, pengekalan lorong kecemasan, amaran keluar lorong, bantuan kekal di lorong, amaran perlanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dengan bantuan brek, bantuan kelajuan serta pemantauan perhatian pemanduan.
Satu pembaharuan yang diberikan untuk model CKD ini adalah pilihan warnanya. Warna dari model CBU kekal digunakan, yang terdiri daripada Lightning White, Canopy Grey dan Tundra Grey (digandingkan dengan bahagian dalaman hitam), manakala warna Glazed Green ditawarkan dengan kabin warna Camel Brown.
Pilihan warna terbaru ialah Violet, dengan bahagian dalaman hitam. Seperti sebelumnya, C10 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama enam tahun/150,000 km, manakala pek bateri dilindungi selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu).
Leapmotor C10 2026 CKD




