Lexus LFA baru buat penampilan pertama di acara Goodwood Festival of Speed, lancar tahun hadapan

Lexus akhirnya mempertontonkan prototaip LFA generasi baru kepada umum menerusi penampilan dinamik pertamanya di Goodwood Festival of Speed 2026. Sementara model asal lebih terkenal dengan enjin V10 NA, pengganti baru ini pula dibangunkan sebagai sebuah kenderaan elektrik (EV) penuh.

Prototaip tersebut dipamerkan bersama Toyota GR GT dan GR GT3 yang menggunakan enjin V8. Sebelum ini, Lexus telah memperkenalkan LFA Concept pada Disember 2025 sebagai bayangan kepada model produksi yang dijadualkan memasuki pasaran pada 2027.

Ketika model konsep itu didedahkan, Lexus hanya mengesahkan beberapa maklumat asas, termasuk penggunaan casis aluminium ketegaran tinggi serta jarak roda 2,725 mm, sama dengan GR GT dan GR GT3, memandangkan ketiga-tiga model dibangunkan menggunakan platform yang sama.

Laporan terbaru daripada Autocar bagaimanapun mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pembangunan model berkenaan. Dari sudut reka bentuk, LFA Concept mengekalkan siluet yang hampir sama dengan GR GT dan GR GT3, namun menampilkan pendekatan yang lebih kemas dan elegan berbanding rupa agresif kedua-dua model tersebut.

Lexus LFA baru buat penampilan pertama di acara Goodwood Festival of Speed, lancar tahun hadapan

“LFA (asal) sendiri mempunyai reka bentuk yang sangat sederhana, bersifat artistik dan dibentuk berdasarkan fungsi sebenar,” kata ketua pereka LFA Concept, Shogo Kasamatsu.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep itu dibangunkan untuk “menyampaikan mesej, bukannya bahasa reka bentuk keseluruhan kami,” sekaligus menjelaskan mengapa ia tidak mengikut identiti reka bentuk semasa yang digunakan pada model-model Lexus lain.

Menurut Kasamatsu lagi, LFA Concept “hampir” menggambarkan rupa sebenar model produksi yang bakal dilancarkan pada tahun 2027. Pada masa sama, beliau mengakui cabaran terbesar Lexus ketika ini adalah membuktikan bahawa sebuah EV juga mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan, seterusnya mengubah persepsi terhadap kereta elektrik berprestasi tinggi yang masih dianggap kurang menyeronokkan oleh sebahagian peminat automotif.

Pandangan itu turut dikongsi oleh pengurus besar program LFA, Yukihiro Yukita, yang percaya Lexus mampu menjadi pengeluar pertama berjaya meyakinkan pemilik supercar untuk beralih daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada penggerak elektrik.

Lexus LFA baru buat penampilan pertama di acara Goodwood Festival of Speed, lancar tahun hadapan

Menurut beliau, perkara paling penting ialah memastikan pengalaman pemanduan yang ditawarkan terasa lebih semula jadi. “Apa yang saya dengar daripada pasaran ialah BEV terasa palsu kerana kami meniru bunyi (enjin pembakaran dalaman), tetapi itu bukanlah apa yang kami mahu lakukan.”

Jelas Yukita lagi, Lexus tidak berminat untuk sekadar menghasilkan bunyi enjin tiruan atau mensimulasikan pertukaran gear seperti yang dilakukan oleh sesetengah pengeluar. Sebaliknya, objektif utama syarikat adalah memastikan pemandu “merasakan seolah-olah mereka sedang memandu sebuah kereta yang mempunyai enjin.”

Beliau turut mengakui bahawa EV secara semula jadinya lebih berat dan boleh menyebabkan pemandu berasa kurang ‘bersatu’ ketika memandu. Namun pada masa sama, motor elektrik menawarkan tindak balas pendikit yang jauh lebih pantas serta penghantaran kuasa yang lebih linear, sesuatu yang menurutnya “tidak dapat diperoleh daripada sebuah enjin.”

Atas sebab itu, pasukan jurutera Lexus memberi tumpuan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi dengan menyingkirkan bunyi dan getaran yang tidak diperlukan, di samping mereka bentuk bunyi serta getaran tertentu yang mampu meningkatkan maklum balas kepada pemandu.

Yukita turut mengakui sistem trenkuasa EV yang dibangunkan oleh Hyundai dan Porsche adalah antara yang terbaik ketika ini, namun menegaskan pendekatan Lexus berbeza. “Kami bukan sekadar mahu meniru bunyi enjin, sebaliknya kami mahu mereka semula bunyi itu sendiri.”

Pendekatan tersebut dijangka menjadi antara elemen utama yang membezakan LFA baharu daripada EV berprestasi tinggi lain apabila ia dilancarkan secara rasmi pada 2027.