Yamaha Exciter 155 VVA 2026 Vietnam – panel badan serba baru, varian tinggi dapat TCS, ABS, 18.5 hp

Di Vietnam, Yamaha memperkenalkan Exciter 155 VVA baru, yang melibatkan pelbagai pembaharuan dan boleh dianggap paling besar diberikan kepada model itu sejak ia dilancarkan pertama kali pada tahun 2020. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, High Class, Limit dan SP, dengan harga antara 49.9 juta dong (RM7,755) ke 59.9 juta dong (RM9,300).

Penampilan motosikal ini berubah sepenuhnya berbanding Exciter yang ada sebelum ini (juga dikenali di negara kita sebagai Y15ZR dan Y16ZR), dengan semua panel badan berubah termasuk juga lampu hadapan, belakang dan juga meter (masih lagi unit LCD).

Di bahagian enjin, model tahun 2026 ini masih lagi mengekalkan unit satu silinder 155 cc suntikan bahan api, penyejukan cecair VVA, tetapi nisbah mampatan telah dinaikkan menjadi 11.6:1, sekaligus juga meningkatkan kuasa kepada 18.5 hp (sebelum ini 17.7 hp) pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm pada 8,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.

Yamaha Exciter 155 VVA 2026 Vietnam – panel badan serba baru, varian tinggi dapat TCS, ABS, 18.5 hp

Selain daripada itu, kombinasi sprocket juga telah diubah menjadi 14/48T, menurut Yamaha demi mendapatkan pecutan yang lebih pantas terutama dalam kelajuan tinggi. Bagi menambahkan kepuasan menunggang, Yamaha juga telah membuat talaan bunyi pada sistem kemasukan angin motosikal ini, melibatkan pembangunan bentuk khas pada kotak angin serta lubang bagi menyampaikan bunyinya kepada penunggang.

Bahagian keselamatan turut melibatkan peningkatan yang penting, di mana sekarang Exciter boleh didapati dengan sistem kawalan cengkaman (traction control) sebagai tambahan kepada ABS single-channel. Ini bagaimanapun bergantung kepada varian, dengan versi Standard malahan tidak mempunyai ABS.

Pada bahagian meter, unit digital LCD itu bukan setakat mempunyai paparan baru, tetapi juga boleh disambung secara bluetooth kepada aplikasi baru yang dipanggil sebagai Y-On. Fungsinya bagaimanapun sama sahaja seperti Y-Connect dengan boleh memberi akses kepada notifikasi mesej dan panggilan, waktu penyelenggaraan, data laluan dan penggunaan bahan api serta kedudukan terakhir motosikal.

Spesifikasi lain motosikal adalah termasuk kombinasi rim 17 inci dengan tayar 90/80, brek cakera 267 mm dengan angkup dua piston serta fork teleskopik di hadapan, dan rim 17 inci dengan tayar 120/70, brek cakera 267 mm dengan angkup satu piston serta monoshock di belakang.

Turut diberikan adalah soket pengecas 12 volt, sistem kunci pintar serta tangki bahan api 5.4 liter. Walaubagaimanapun, sekali lagi kami nyatakan bahawa kelengkapan ini bergantung kepada varian. Turut dilihat adalah jaminan motosikal ini di Vietnam adalah selama tiga tahun atau 30,000 km, berbanding dua tahun atau 20,000 km bagi model Yamaha di Malaysia.

Tags: