Sultan Selangor berkenan berangkat naiki tren LRT3 Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia

Semalam, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menaiki tren LRT3 Laluan Shah Alam dari stesen Bandar Utama di Petaling Jaya hingga ke stesen Johan Setia di Klang. Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan rasa syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan ini akhirnya menjadi kenyataan demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lal lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana Baginda berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat. Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan.

“Baginda percaya ada hikmah yang Allah S.W.T. ingin tunjukkan daripada kelewatan ini. Baginda turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina semula iaitu stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berhampiran,” titah Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu, Baginda berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana dan juga MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian
LRT3 ini.

Baginda telah disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam. Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun 9 bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Titah Baginda, walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya.

Sultan Sharafuddin turut berharap agar warga kerja Prasarana dapat sentiasa memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam ini dan meminimumkan sebarang gangguan. Dalam masa yang sama, Baginda juga berpesan kepada rakyat jelata memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan.