
Sempena dengan pelancaran Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang akan memulakan operasinya esok (29 Jun 2026), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pemberian tambang percuma untuk perkhidmatan tren bagi laluan tersebut akan dilaksanakan sehingga 31 Julai ini.
Menurut paparan info grafik yang dikongsikan oleh Rapid KL, tambang percuma ini melibatkan di 20 stesen Laluan Shah Alam. Selain itu, tambang percuma turut diberikan di 13 laluan bas perantara Shah Alam, walau bagaimana pun, ia tidak termasuk dengan perkhidmatan Rapid KL On-Demand. Bukan itu sahaja, kemudahan parkir percuma juga diberikan di enam lokasi Park ‘N Ride.
Dalam majlis pelancaran ini, Perdana Menteri turut menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 mini. Turut mengiringi Perdana Menteri dalam perjalanan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 20 stesen baharu termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Prasarana Malaysia Berhad menyasarkan 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi, sebelum meningkat kepada 117,708 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun.
Sepatutnya mula beroperasi pada tahun lalu, namun perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali susulan beberapa isu termasuk kestabilan sistem dan perisian dikenal pasti semasa fasa ujian serta pentauliahan (T&C).
