
Budi Diesel Madani (Budi Diesel) yang disemak semula minggu ini bakal menyaksikan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara mulai 1 Julai 2026. Dalam kaedah pelaksanaannya yang terbaru ini, Budi Diesel pada asasnya merupakan lanjutan daripada skim Budi Madani RON 95 (Budi95). Mekanisme untuk mengaksesnya juga hampir sama, dengan kuota gabungan 200 liter untuk kedua-dua bahan api, bersekali dengan Budi 95. Perincian lanjut tentang perkara ini, di sini.
Kini, salah satu syarat yang membolehkan seseorang itu untuk mendapatkan akses kepada Budi Diesel — selain menjadi warganegara Malaysia dengan kad pengenalan (MyKad) dan lesen memandu (LMM) yang sah — adalah memiliki kenderaan diesel secara persendirian, yang didaftarkan di atas nama mereka. Secara ringkasnya, sistem ini akan menyemak silang dengan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kelayakan bagi Budi Diesel di pam.
Sudah tentu, keperluan untuk memastikan butiran pemilikan dikemas kini adalah sangat penting supaya orang yang betul mempunyai akses kepada Budi Diesel. Oleh itu, Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan bakal memperkenalkan program insentif sementara, yang mana yuran pemindahan pemilikan bagi kenderaan diesel dikecualikan selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
Menurut kementerian, yuran pemindahan pemilikan kenderaan boleh mencecah sehingga RM100, bergantung kepada jenis kenderaan dan tempat ia didaftarkan. Jadi, jika anda belum menyelesaikan pemilikan kenderaan diesel supaya pemilik yang sebenar dapat menikmati Budi Diesel, anda boleh melakukannya secara percuma dalam tempoh tiga bulan tersebut.
Bagi memudahkan permintaan sedemikian, JPJ akan membuka kaunter servis pada hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai nanti, dari 8 pagi hingga 5 petang di semua pejabat negeri dan UTC. Kaunter ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan pemindahan pemilikan kenderaan, tetapi juga pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan serta perkhidmatan lain.
