
Seperti yang telah diumumkan awal minggu ini, kerajaan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula 1 Julai 2026.
Ia layak dinikmati dan diakses oleh semua warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan (MyKad) dan lesen memandu (LMM) yang sah serta memiliki kenderaan diesel milik persendirian dengan cukai jalan (LKM) yang sah. Penurunan harga ini terpakai untuk diesel B10/B15, dengan kuota bulanan sebanyak 200 liter yang dikongsi bersama Budi95.
Namun, bagi pengguna di Semenanjung, mereka diberikan tempoh “akses awal” dengan harga RM2.15 seliter — harga yang sama dinikmati oleh pengguna di Sabah dan Sarawak ketika ini – bermula esok, 27 Jun hingga 1 Julai nanti.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal malam ini, kerajaan sekali lagi menjelaskan bahawa akses awal Budi Diesel akan bermula esok, 27 Jun, untuk pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia. Sepanjang tempoh “akses awal” ini, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang terlibat.

Perlu juga ditekankan, bahawa ini hanya sah untuk diesel B10/B15. Diesel B7 akan kekal dijual tanpa subsidi dan akan terus mengikuti kadar pasaran semasa — pendekatan yang serupa digunakan untuk petrol, yang mana RON 95 diberikan subsidi untuk rakyat Malaysia di bawah Budi95, manakala RON 97 tidak.
Bagi penerima Individu Budi Diesel sedia ada, bantuan tunai sebanyak RM400 telah diagihkan pada awal Jun 2026. Kementerian berkata bahawa dengan akses awal ini, penerima yang layak kini boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad. Pada masa yang sama, pengguna kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini tidak menerima bantuan tunai Individu Budi Diesel, kini turut akan mendapat akses kepada diesel bersubsidi melalui pembaharuan ini.
Kementerian menambah bahawa pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan mereka melalui portal rasmi Budi Madani di www.budimadani.gov.my. Pemilik kenderaan pikap dan jip diesel yang layak juga boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama.
