
Harga diesel bersubsidi akan akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai 1 Julai 2026. Ini tentulah berita baik bagi pemilik kenderaan diesel yang terpaksa membayar lebih untuk diesel sejak penyelarasan semula subsidi bahan api yang dilaksanakan pada Jun 2024. Keadaan menjadi lebih teruk apabila konflik Asia Barat yang masih berterusan, yang menyebabkan harga diesel melonjak sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum penyelarasan semula subsidi bahan api untuk diesel dilaksanakan, kerajaan telah berusaha untuk meringankan beban peralihan melalui Budi Madani Diesel (Budi Diesel), yang menyediakan pindahan tunai langsung kepada pengguna yang layak sebagai satu bentuk bantuan. Jumlah awal yang diberikan di bawah Budi Diesel Individu ialah RM200 sebulan, yang kemudiannya dinaikkan kepada RM400 pada April tahun ini.
Bagaimanapun, seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) ketika sidang taklimat media semalam bahawa bantuan tunai untuk mengimbangi kos diesel ini tidak begitu berkesan. Ia juga telah menunjukkan ketidakseragaman subsidi diesel di negara ini di mana harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan ditetapkan pada RM2.15 seliter, sedangkan ia jauh lebih tinggi di Semenanjung Malaysia.
Oleh itu, kementerian berpendapat adalah wajar untuk menyemak semula penyasaran subsidi diesel supaya ia lebih seragam di seluruh negara dan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat. Hasilnya adalah sistem yang selaras dengan apa yang telah kita kenali sebelum ini melalui Budi Madani RON 95 (Budi95). Berikut adalah senarai soalan lazim berkaitan Budi Diesel yang terbaru ini untuk membantu anda memahaminya dengan lebih baik.

Bila Budi Diesel terbaru ini akan dilaksanakan?
Harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter yang terbaru ini akan bermula pada 1 Julai 2026 di seluruh negara. Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menjelaskan, akan ada tempoh “akses awal” di mana mereka yang berada di Semenanjung Malaysia akan membayar RM2.15 seliter — harga yang sama seperti sekarang di Sabah, Sarawak dan Labuan ketika ini — mulai 27 Jun 2026. Ia satu tempoh yang singkat, berfungsi sebagai “fasa percubaan” sebelum harga utama terbaru itu dilaksanakan.

Siapa yang layak untuk terima Budi Diesel?
Seperti Budi95, anda mestilah seorang warganegara Malaysia dengan kad pengenalan (MyKad) dan lesen memandu (LMM) yang sah, termasuk lesen percubaan dan lesen pelajar. Selain itu, anda juga wajib memiliki kenderaan diesel secara peribadi dengan cukai jalan (LKM) yang sah — bermakna, kenderaan itu mestilah didaftarkan atas nama anda sendiri (milik persendirian) dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebagai contoh, jika keluarga anda memiliki kenderaan diesel tetapi ia didaftarkan atas nama bapa anda dan bukan anda sendiri, makan anda secara teknikalnya tidak layak untuk menerima Budi Diesel.
Warga asing jelas tidak layak untuk menikmati Budi Diesel, dan perlu membayar harga penuh tanpa subsidi di pam. Ini sama sahaja dengan petrol, yang mana RON 95 mempunyai harga dua peringkat; harga pertama dengan Budi95 dan satu lagi harga tanpa subsidi. Harga diesel dan petrol tanpa subsidi akan terus dikemas kini setiap minggu, sama seperti yang telah kita saksikan sebelum ini.
Sama juga, jika kenderaan pendaftaran asing tidak boleh mengisi RON 95, sama ada yang bersubsidi atau sebaliknya, maka begitu juga dengan diesel bersubsidi ini, ia adalah dilarang untuk tujuan itu.

Bagaimana cara untuk saya membeli diesel bersubsidi RM2.10 seliter?
Kaedahnya adalah sama seperti Budi95. Di pam, anda perlu menyemak MyKad anda terlebih dahulu untuk melihat sama ada anda layak mendapat Budi Diesel atau tidak. Kemudian, anda perlu membuat pembayaran dan mengisi minyak.
Aplikasi oleh syarikat bahan api atau penyedia e-dompet seperti Setel dan Touch ‘n Go juga akan dikemas kini untuk menyokong Budi Diesel. Ini bermaksud, anda perlu melakukan proses pengesahan identiti digital e-KYC, jika anda belum. Ini akan memberikan lebih banyak kemudahan kerana anda tidak perlu memasukkan MyKad untuk diimbas peranti pengesahan.
Pendekatan yang sama ini juga bermakna tiada peranti atau perkakasan baru diperlukan untuk Budi Diesel, kerana untuk pengguna, prosesnya sama sahaja. Yang diubah hanyalah hal-hal di belakang tabir sistem sedia ada.

Ada had ke atas subsidi diesel ini?
Ya. Seperti juga Budi95, terdapat kuota bulanan yang disediakan kepada mereka yang layak untuk Budi Diesel. Kementerian telah menetapkan kuota 200 liter sebulan, dengan jumlah ini meliputi untuk petrol RON 95 DAN diesel bersubsidi bersekali — setiap bulan, kuota ini akan diperbaharui.
Ia adalah 200 liter secara keseluruhan untuk kedua-dua bahan api tersebut, jadi anda perlu memutuskan cara terbaik untuk menggunakan kuota yang diberikan kepada anda setiap bulan. Mengapa 200 liter? Ini kerana kajian kementerian menunjukkan hampir 90% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api setiap bulan. Ini dilakukan dengan tujuan untuk memastikan tiada ketirisan berlaku, serta untuk memastikan tahap bekalan bahan api negara berada dalam keadaan yang mencukupi.

Bagaimana jika saya memerlukan lebih daripada 200 liter sebulan?
Kepada pengguna yang memerlukan lebih daripada 200 liter sebulan, mereka boleh membuat permohonan untuk 100 liter tambahan melalui laman web budimadani.gov.my atau dengan pergi ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terdekat. Mereka yang sudah layak menerima bantuan tunai Individu Budi Diesel akan secara automatik layak mendapat tambahan 100 liter.
Permohonan boleh dibuat mulai 22 Jun 2026 untuk pemilik trak pikap atau jip (biasanya SUV) yang sama ada bergerak jarak jauh serta menggunakan kenderaan mereka untuk memasuki kawasan pedalaman atau untuk tujuan perniagaan — kementerian menjelaskan bahawa 90% kenderaan diesel milik persendirian memenuhi kriteria ini.
Seperti paparan dalam salah satu slaid pembentangan, kementerian menjangkakan sebanyak 638,000 trak pikap dan 93,000 jip akan layak mendapat tambahan 100 liter ini. Kenderaan yang bukan dari jenis ini dan bukan digunakan untuk tujuan seperti dinyatakan itu — seperti MPV atau sedan diesel — tidak layak untuk permohonan ini.
Kementerian menjelaskan, bagi mereka yang layak untuk kuota yang lebih tinggi itu, 300 liter sebulan, akan mendapati jumlah tersebut mencukupi untuk perjalanan harian pergi dan balik dari tempat kerja. Ia menganggarkan angka penggunaan bahan api beberapa kenderaan diesel dan menggunakan perjalanan pergi-balik antara Marudi dan Miri di Sarawak sebagai contoh.
Adakah Budi Diesel meliputi semua jenis diesel yang dijual di Malaysia?
Tidak. Seperti yang diberitahu kepada kami semasa sesi soal jawab semasa taklimat, Budi Diesel hanya akan diberikan kepada campuran diesel B10 atau lebih tinggi. Maka, campuran diesel B7 kekal tidak diberikan subsidi seperti sebelum ini. Ia sama sahaja dengan petrol:RON 95 diberikan subsidi, manakala RON 97 tidak dan akan mengikut harga pasaran.

Bagaimana ini mempengaruhi mereka yang tinggal di Sabah, Sarawak dan Labuan?
Rakyat Malaysia yang tinggal di negeri-negeri ini telah membayar RM2.15 seliter untuk diesel untuk masa yang paling lama, walaupun selepas penyelarasan semula subsidi diesel dilaksanakan pada Jun 2024. Budi Diesel baru kini menyaksikan penurunan harga diesel kepada RM2.10 seliter, dan akan memperkenalkan had kuota yang tidak wujud sebelum ini.
Kementerian menjelaskan bahawa peralihan daripada Budi Diesel Individu kepada pendekatan berasaskan MyKad ini lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia. Ia menyatakan bahawa sistem bantuan tunai hanya memberi manfaat kepada sekitar 180,000 orang yang perlu memohon bantuan tersebut pada mulanya.
Sistem terbaru ini disifatkan akan memberi manfaat kepada sekitar 400,000 orang di Semenanjung Malaysia, ditambah 300,000 orang lagi di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ia adalah sistem yang lebih mudah kerana anda hanya memerlukan MyKad sebagai pengesahan utama.
Penentuan harga diesel yang tidak menentu, terutamanya apabila harganya menjadi semakin tinggi juga mengurangkan manfaat dan kecekapan bantuan tunai dengan ketara seperti sebelum ini. Dengan sistem baru ini, harga diesel dengan subsidi akan ditetapkan, dan angka tepat penggunaan dapat dikesan secara saksama setiap bulan. Kaedah ini tentulah cara yang lebih cekap.
Bagaimana jika saya memerlukan fleet card?
Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah wujud sejak 2013 dan telah dikemas kini pada tahun 2024 untuk meliputi 33 kategori kenderaan pengangkutan darat dan logistik komersial. Masih dalam pelaksaan yang sama sejak itu, SKDS 2.0 sedang dikemas kini semula untuk merangkumi dua kategori baru dan kini telah diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Dengan SKDS, harga diesel untuk kenderaan awam seperti bas sekolah atau van, bas ekspres dan bas henti-henti akan kekal pada RM1.88 seliter. Bagi pelbagai kenderaan komersial, ia juga kekal pada RM2.15 seliter.
Pemilik kenderaan fleet perlu memohon SKDS, dengan permohonan untuk kenderaan di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka sejak 4 Mei 2026. Sehingga tarikh tersebut, 32,352 permohonan telah diterima daripada 75,006 kenderaan yang layak, menurut kementerian.

Bagaimana jika saya seorang petani, memiliki bot atau set generator atau memandu kenderaan diesel untuk e-hailing?
Sebelum semakan semula terbaru Budi Diesel ini, mereka yang mempunyai keadaan sedemikian di Sabah dan Sarawak membayar RM2.15 seliter untuk diesel. Di Semenanjung Malaysia, petani yang layak menerima bantuan tunai sebanyak RM400 melalui kementerian pertanian dan keselamatan makanan Malaysia (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). Sementara itu, kelompok lain terpaksa membayar harga tanpa subsidi di pam.
Dengan sistem terbaru ini, petani akan terus mendapat jumlah bantuan tunai yang sama seperti sebelum ini melalui skim Budi Agri-Komoditi. Bagi nelayan, mereka akan terus menikmati diesel pada harga RM1.65 seliter seperti sebelumnya.
Bagi pengguna lain selebihnya, anda kini akan membayar kadar RM2.10 seliter. Pemandu e-hailing juga tertakluk kepada keperluan yang sama seperti yang dinyatakan di atas. Sama seperti pemandu yang menggubakan petrol, kuota untuk pemandu e-hailing adalah berperingkat, bermula dengan 200 liter jika mereka bergerak sehingga 1,500 km. Untuk jarak perjalanan melebihi 1,500 km tetapi di bawah 5,000 km, kuota meningkat sehingga 600 liter, manakala 800 liter untuk jarak melebihi 5,000 km. Pemandu e-hailing tidak boleh memohon tambahan 100 liter, walaupun mereka memiliki trak pikap atau jip.

Jadi secara ringkasnya?
Secara ringkasnya, ia adalah sistem subsidi Budi95 dan diesel yang disepadukan bersekali di dalamnya — kerajaan menggabungkan kedua-dua bahan api bersubsidi ke dalam apa yang dipanggil “Budi Madani”.
Dengan Budi95, anda membayar RM1.99 seliter untuk petrol RON 95 bersubsidi. Dengan Budi Diesel, anda hanya perlu membayar RM2.10 seliter untuk diesel bersubsidi campuran B10 atau lebih tinggi. Kuota kolektif yang anda dapat untuk tempoh sebulan untuk kedua-dua bahan api ialah 200 liter, tetapi anda boleh memohon tambahan 100 liter untuk diesel jika anda memiliki trak pikap atau jip.
Harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2026, tetapi bagi pengguna di Semenanjung, akan ada tempoh singkat dari 27 Jun 2026 untuk tempoh percubaan dengan harga bersubsidi RM2.15 seliter. Untuk mendapatkan Budi Diesel, anda menggunakan MyKad anda untuk mengesahkan kelayakan anda.
Cukup jelas? Jika ada lagi pertanyaan yang bermain dalam fikiran, kongsikan dengan kami.
