Proton hari ini mengumumkan bahawa kilang enjin miliknya yang terletak di fasiliti pengeluarannya di Tanjong Malim kini bukan sekadar memasang enjin pembakaran dalaman, malah turut memproduksi komponen bagi sistem unit rangkaian kuasa hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik penuh (EV).
Jadi selain dari enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder petrol dalam versi turbo dan NA yang digunakan oleh barisan model-model Proton yang digerakkan oleh pembakaran dalaman penuh, kilang berkenaan juga kini memproduksi enjin hibrid khusus (DHE) yang digunakan oleh model PHEV dan juga HEV akan datang, transmisi klac berkembar (DCT), transmisi hibrid khusus (DHT) serta motor elektrik atau turut dikenali sebagai unit pacuan elektrik (EDU).
Menurut Proton, kilang tersebut bukan hanya membekalkan unit rangkaian kuasa kepada model-model Proton sedia ada, malah ia turut akan menghasilkan komponen untuk model masa hadapan dan juga membekalkan komponen terpilih kepada fasiliti pemasangan Geely yang lain di pasaran antarabangsa.
Buat masa sekarang terdapat 16 vendor yang membekalkan komponen kepada kilang enjin ini, di mana separuhnya daripadanya adalah berpengkalan di Malaysia bagi menghasilkan satu komponen lengkap dengan lebih banyak sumber tempatan. Manakala bagi komponen-komponen yang siap dipasang turut dieksport untuk dibekalkan kepada model-model Geely yang dijual pada pasaran Vietnam, Afrika Selatan dan juga Mexico.
“Selain pengeluaran kenderaan, kilang ini membantu menarik pelaburan, membangunkan pembekal tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan teknikal bernilai tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekosistem automotif negara,” kata Proton lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sejak kewujudannya, sehingga kini Proton telah membelanjakan lebih dari RM121 juta untuk mempertingkatkan keupayaan pengeluaran enjin, transmisi dan komponen unit rangkaian kuasa yang dibantuk sistem elektrifikasi pada kilang berkenaan. Buat masa sekarang, kilang ini mampu untuk menghasilkan sehingga 240,000 unit enjin setahun yang dibekalkan untuk model-model pasaran tempatan dan juga eksport.
Pembangunan kilang tersebut tidak akan terhenti setakat ini, di mana Proton sudahpun mempunyai perancangan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran enjin bagi memastikan ia dapat menampung keperluan di mana Proton sebelum ini telahpun mensasarkan pengeluaran sebanyak 200,000 unit kenderaan tahun ini, dan kilang ini disasarkan untuk mengahsilkan sebanyak 400,000 unit enjin setahun menjelang 2028 kelak. Dalam masa yang sama kilang ini juga akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan automotif dan teknologi, kata Proton lagi.
“Kilang pemasangan enjin ini merupakan pelaburan strategik yang mencerminkan komitmen jangka panjang Proton untuk membangunkan industri automotif Malaysia. Selain memasang produk sistem janakuasa, kemudahan ini berperanan sebagai pemangkin kepada pelokalan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan pertumbuhan eksport, yang semuanya merupakan elemen penting untuk memperkukuh ekosistem automotif negara,” kata naib CEO Proton, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
Buat masa sekarang Proton telah memasang dua model EV iaitu eMas 7 dan eMas 5 di kilang khas EVnya juga terletak di Tanjong Malim. Jadi sudah pasti kedua-dua model ini menerima komponen unit rangkaian kuasa termasuk EDU dari kilang enjin berkenaan.
Dan dengan penghasilan DHE dan DHT membayangkan bahawa model eMas 7 PHEV juga bakal mula diproduksi secara tempatan tidak lama lagi. Malah ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 baru-baru ini, Proton turut ada mendedahkan satu unit rangkaian kuasa baharu yang digelar sebagai FutureMotion HEV, dan ia disahkan bakal digunakan pada satu lagi model baharu Proton yang akan dilancarkan tahun ini.
Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV itu menggunakan enjin petrol 1.5 liter empat silinder NA dan juga DHT yang sama seperti pada eMas 7 PHEV, namun bateri yang dibekalkan adalah lebih kecil serta tidak diberikan port pengecas. Berdasarkan pelbagai petunjuk, unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV ini hampir pasti akan muncul pada model AMA02 yang dijangka akan digelar sebagai Saga Cross yang bakal dilancarkan pada lewat tahun ini.


