Proton FutureMotion HEV dipamer di KLIMS – ini hibrid i-HEV untuk AMA02/Saga Cross tahun ini?

Selain dari memperkenalkan varian baharu eMas 7 Plus dan juga eMas 5 CKD, Proton hari ini turut mendedahkan unit rangkaian kuasa baharu yang digelar sebagai FutureMotion HEV ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 hari ini.

Secara asasnya FutureMotion HEV ini adalah unit rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti i-HEV Geely yang telahpun didedahkan di China tahun lalu, di mana ia menggandingkan enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder NA dan juga kotak gear khusus hibrid (DHT).

Untuk enjin 1.5L NA yang dibekalkan, Proton menggelarnya sebagai enjin khusus untuk hibrid (Dedicated Hybrid Engine atau DHE), dan ia agak berlainan berbanding enjin yang digunakan oleh Saga, tetapi lebih mirip kepada enjin 1.5L NA yang dipadankan pada eMas 7 PHEV.

Proton FutureMotion HEV dipamer di KLIMS – ini hibrid i-HEV untuk AMA02/Saga Cross tahun ini?

Ia menampilkan blok enjin yang sedikit berbeza, dan ia berfungsi sepenuhnya sebagai enjin kitaran Atkinson serta diberikan hanya satu mekanisma VVT, berbanding enjin pada Saga yang boleh berubah dari kitaran Otto biasa kepada kitaran Atkinson mengikut keperluan dan diberikan sistem Dual VVT.

Selain dari menggunakan pam air elektrik seperti BHE15 pada Saga, enjin DHE ini juga tampil dengan alternator dan pemampat penghawa dingin yang digerakkan juga oleh kuasa elektrik. Mekanisma injap EGR juga dilihat berbeza berbanding enjin Saga MC3.

Proton telah mengesahkan bahawa enjin DHE ini akan digandingkan unit DHT dengan kod DHT120 – angka “120” berkenaan merujuk kepada 120 kW atau 163 PS, iaitu kuasa motor elektrik 11-dalam-1 di dalam DHT tersebut. Unit rangkaian kuasa FutureMotion HEV Proton ini adalah sistem hibrid biasa, jadi bateri yang akan dibekalkan bukanlah bersaiz besar dan ia tidak mempunyai port pengecas seperti model-model EV dan PHEV.

Proton FutureMotion HEV dipamer di KLIMS – ini hibrid i-HEV untuk AMA02/Saga Cross tahun ini?

Naib CEO Proton Datuk Rashid Musa telah mengesahkan bahawa unit rangkaian kuasa ini akan dipadankan pada model baharu Proton yang akan dilancarkan tidak lama lagi, di mana enjin dan DHT berkenaan akan diproduksi di kilang Proton Tanjong Malim.

Jadi boleh disimpulkan bahawa unit rangkaian kuasa tersebut hampir pasti akan membuat kemunculan pada model kedua Proton yang dibina berdasarkan platform Advance Modular Architecture (AMA) iaitu model yang buat masa sekarang dikenali sebagai AMA02 yang bakal dilancarkan lewat tahun ini

Ada khabar menyebut bahawa AMA02 adalah sebuah SUV bersaiz kecil dari Proton untuk berhadapan dengan lawan seperti Perodua Ativa dan Honda WRV, dan ia bakal dikenali sebagai Proton Saga Cross.