
Sempena KLIMS 2026 yang mula dibuka untuk media hari ini, Proton memperkenalkan model EV eMas 7 versi terkini, dengan tambahan varian terbaru yang menampilkan kapasiti bateri yang lebih besar. Kemaskini berkenaan adalah selari dengan apa yang ditawarkan pada model kembarnya, Geely EX5.
Sempena pelancaran Proton eMas 7 2026 juga, harga pengenalan dengan rebat istimewa turut diberikan, menjadikan harganya seperti berikut:
- Proton eMas 7 Premium Plus – RM118,800
- Proton eMas 7 Premium – RM112,800
- Proton eMas 7 Prime – RM96,800
Pecahan rebat yang diberikan pula adalah terdiri daripada rebat trade-in bernilai RM5,000, pengecas 7 kW untuk rumah yang bernilai RM1,500, adapter V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had percuma selama lima-tahun bernilai RM1,800 — menjadikan jumlah rebat keseluruhan untuk dinikmati oleh pelanggan sebanyak RM8,800.

Varian tambahan berkenaan, Proton eMas 7 Premium Plus kini dilancarkan dengan harga istimewa pelancaran RM118,800, sekali gus menjadi varian tertinggi dan paling lengkap bagi SUV elektrik tersebut dalam pasaran tempatan. Dengan itu, ia juga dilengkapi dengan kapasiti bateri 68.39 kWh LFP bilah pendek Aegis — menawarkan jarak perjalanan yang lebih tinggi dengan 450 km dalam kitaran WLTP.
Untuk pengecasan, Premium Plus mempunyai kadar pengecasan pantas DC sehingga 115 kW, yang membolehkannya dicas dari 30%-80% dalam masa 20 minit. Untuk pengecasan AC, kadarnya adalah sehingga 11 kW. Antara ciri tambahan lain Premium Plus yang membezakannya daripada dua varian yang lebih rendah termasuklah fungsi kerusi dengan perehat kaki dengan larasan enam-tetapan serta fungsi urutan untuk kerusi di bahagian depan.
Selebihnya, semua penawaran dan senarai kelengkapan kekal sama seperti sebelumnya dan dikongsi oleh ketiga-tiga varian dalam penawaran terkininya. Untuk sistem janaan, tiada perubahan dilakukan berbanding versi sedia ada — dilengkapi dengan motor bersepadu 12-dalam-1 yang menghasilkan sebanyak 218 PS/320 Nm. Bagi varian Premium Plus, prestasi pecutan 0-100 km/j juga bertambah sedikit menjadi 7.6 saat, berbanding 6.9 saat untuk varian Prime, kerana melibatkan pertambahan berat.

Antara kelengkapan lain yang ada untuk eMAs 7 2026 ialah skrin sentuh utama 2.5k 25.4-inci dengan paparan peta pengecasan live, head-up display di cermin utama, lampu ambient dengan 265 warna, kluster instrumen 10.2-inci, kerusi balutan kulit buatan, sistem bunyi Flyme dengan 16-pembesar suara termasuk di perehat kepala, pengecasan telefon tanpa wayar dan lain-lain.
Bagi aspek keselamatan, Proton eMas 7 Premium Plus 2026 diberikan fungsi bantuan keselamatan ADAS tahap dua, termasuk ciri seperti kawalan melayar pintar, kawalan melayar adaptif, AEB, amaran perlanggaran depan, amaran menukar lorong, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek, amaran bukaan pintu dan banyak lagi.
Terdapat enam pilihan warna badan ditawarkan untuk Proton eMas 7 2026 ini — Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, QUartz Rose dan Obsidian Black. Pilihan warna untuk kabin dalaman warna Indigo Blue atau Alabaster White.
Untuk tempoh jaminan, eMas 7 2026 didatangkan dengan enam-tahun jaminan tanpa had perbatuan untuk kenderaan, jaminan lapan tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen jana kuasa.


















