
Selain menunjukkan model konsep C2, teaser model akan datang, konsep rekaan QV-E G+ serta konsep Aruz Space, Perodua juga mempamerkan beberapa konsep teknologi berkaitan EV di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 yang sedang berlangsung. Ia sebahagian daripada pembangunan ekosistem menyeluruh yang diusahakan syarikat itu untuk masa akan datang, melangkaui pengeluaran kenderaan yang menjadi keutamaannya.
Pertama, ada P-AssistGo. Ringkasnya, ia merupakan lengan robot yang lengkap dengan jari, yang akan membantu mengambil kabel pengecas dan memasangnya ke EV. Plug “pistol” dan kabel DC selalunya agak berat, dan teknologi ini akan sangat membantu, terutama kepada mereka yang sudah berusia.
Kedua ada P-Rescue, iaitu sebuah dron yang membawa selimut kebakaran EV. Idea disebaliknya ialah ia boleh digunakan dari jentera bomba untuk membantu memadamkan kebakaran EV dari jauh, tanpa perlu manusia berada terlalu dekat. Ini tentunya akan dapat membantu untuk memberikan bantuan dengan pantas, serta menyelamatkan nyawa petugas sekiranya berlaku perkara yang tidak diingin dengan EV. Untuk Perodua memikirkan permasalahan ini adalah sesuatu yang patut dipuji, kerana ia akan dapat dimanfaatkan untuk pengguna EV lain juga.
Yang terakhir ialah pengecasan EV tanpa wayar, yang dipanggil SmartSentry. Contoh yang dipamer di KLIMS terdiri daripada plat lantai dan skrin yang menunjukkan peratusan SoC, julat, baki masa serta kadar pengecasan DC 22 kW, yang sepertinya sangat sukar untuk dilakukan secara tanpa sambungan wayar. Bahkan, sistem sama oleh Porsche hanya membolehkan kuasa maksimum pada kadar 11 kW AC.
Walaupun Perodua baru ada satu model elektrik ketika ini, syarikat itu tetap menggalas tanggungjawab untuk membayangkan ekosistem keseluruhan berkaitan EV yang boleh membawa manfaat luas kepada pengguna di Malaysia.















