KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) akan kembali menemui peminatnya tahun ini dan dijadualkan dibuka kepada umum bermula 12-21 Jun 2026. Jika anda merancang untuk berkunjung ke MITEC untuk acara ini, berikut adalah ringkasan beberapa model kereta yang kami jangkakan — atau telahpun disahkan — akan ditunjuk di pameran tersebut.

Great Wall Motor

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

GWM bakal mempertontonkan buat pertama kalinya dua model EV tambahan terbaru. Satu daripadanya mungkin Ora 5, yang sebelum ini telah dinyatakan akan tiba di pasaran Malaysia dalam bentuk hibrid terlebih dahulu sebelum EV.

Ora 5 mempunyai saiz antara BYD Atto 3 dan Proton eMas 7 dan telah dilancarkan di Thailand dalam kedua-dua janaan hibrid dan EV. Versi hibridnya dilengkapi enjin petrol 1.5 liter empat-silinder sebaris dengan pengecas turbo yang dibantu oleh sebuah motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 1.09 kWh untuk memberikan jumlah output keseluruhan sebanyak 223 PS dan 476 Nm. Bagi versi EV, motor elektrik 204 PS/260 Nm-nya dikuasakan oleh bateri 58.3 kWh yang menyediakan jarak perjalanan sehingga 520 km mengikut kitaran NEDC.

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Selain itu, kami juga menjangkakan GWM akan mempamerkan Haval Raptor, sebuah SUV lima-tempat duduk yang telah dipertontonkan di Indonesia Julai tahun lalu. Versi elektrikfikasi bagi model ini ialah janaan plug-in hybrid dengan enjin 1.5 liter petrol empat-silinder sebaris turbo, transmisi hibrid khusus dua kelajuan (DHT), dua motor elektrik (satu di depan untuk membantu enjin dan satu lagi untuk gandar belakang) untuk memberikan janaan keseluruhan 378 PS dan 750 Nm.

Jika Haval H6 tidak cukup lasak, mungkin Haval Raptor ini — yang juga berkongsi beberapa persamaan reka bentuk dengan H9 — mungkin akan memenuhi kriteria tersebut.

Honda

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Honda juga telah banyak memperkenalkan model-model elektrifikasi di Malaysia. Varian hibrid ada untuk model seperti City, City Hatchback, Civic, HR-V dan CR-V. Satu lagi model hibrid bakal menyertai barisan tersebut tidak lama lagi, tidak lain dan tidak bukan, dengan pengenalan Honda Prelude dalam penampilannya yang terkini.

Tempahan telah dibuka sejak April lalu dan telah dipertontonkan kepada media sebanyak dua kali. Coupe dua-pintu ini akhirnya akan dilancarkan secara rasmi ketika KLIMS 2026. Prelude mempertemukan gabungan dan aspirasi daripada Civic Type R dan Civic e:HEV, dengan tetapan suspensi depan jenis dual-axis strut, penyerap hentak adaptif dan brek Brembo yang menjadi penawaran bagi aspek casis yang digunakan kereta ini.

Sistem janaan kuasanya pula menggunakan teknologi Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dari Civic hibrid, dengan kelainan khusus untuk keperluan Prelude. Kereta sport ini akan menjadi model pertama Honda di Malaysia yang menampilkan ciri S+ Shift, satu ciri yang disepadukan dengan Active Sound Control sebagai simulasi penukaran gear transmisi lapan-kelajuannya.

Hyundai

Februari lalu, Hyundai Motor Malaysia (HMY) telah memaklumkan bahawa pelancaran terbesar jenama itu untuk tahun ini adalah jenama prestasi N, melalui pengenalan model elektrik Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N. Kedua-dua model tersebut telah pun dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran masing-masing RM450k dan RM460k.

Dengan motor elektrik berkembar, kereta elektrik N ini mempunyai 609 PS dan tork 740 Nm selain daripada 12 ciri khusus untuk jenama N, yang kebanyakannya dikhaskan bagi menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.

Selain itu, HMY mengesahkan kemunculan Hyundai Stargazer, sebuah MPV segmen-B yang akan bersaing dengan Mitsubishi Xpander, Perodua Alza dan Toyota Veloz. Pasaran Thailand dan Indonesia telah lama menerima Stargazer. Giliran Malaysia pula selepas ini?

Jetour

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Jetour Malaysia telah menunjukkan iklan teaser G700 untuk KLIMS. Ia merupakan sebuah SUV mewah dengan binaan body-on-frame dengan kemampuan off-road. Model yang ingin disaingi G700 jelas sekali ialah GWM Tank 500 HEV. Banyak ciri mewah melengkapi G700, termasuk tempat duduk berliang dengan fungsi urut, skrin sentuh infotainmen saiz besar, skrin hiburan di belakang, sunroof berkembar dan skrin sentuh berasingan untuk mengawal zon pendingin belakang.

Dijangka turut akan menyertai G700 ialah model Jetour T1, yang telah dibuka untuk tempahan sejak akhir April dan berkemungkinan akan dilancarkan di KLIMS. Rekaan kurang berkotak dan lasak berbanding T2 yang telah dijual sebelum ini, T1 ditawarkan dalam dua varian enjin petrol empat-silinder sebaris dengan pengecas turbo. Yang pertama, varian 1.5T 2WD yang dilengkapi enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan (7DCT) yang memacu roda hadapan, manakala varian 2.0T XWD menampilkan enjin 2.0 liter, 7DCT dan pacuan empat roda.

Kia

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Kia mempunyai beberapa model yang akan dipamer di KLIMS. Tiga daripadanya adalah EV seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, dengan dua model ialah EV4 dan EV5 yang menggunakan binaan 400-volt E-GMP (Platform Modular Elektrik-Global).

EV4 hadir dalam gaya badan sedan dan hatchback. Sementara itu, EV5 ialah sebuah SUV yang kelihatan lebih besar berbanding BYD Atto 3 tetapi sedikit lebih kecil berbanding Tesla Model Y. EV ketiga pula ialah PV5, sebuah van elektrik yang didatangkan dalam gaya badan standard dan panjang yang boleh dikonfigurasikan untuk pelbagai kegunaan, sama ada mengangkut penumpang atau barangan.

Selain EV, turut dijangka dipamer oleh Kia Malaysia ialah kereta hatchback dengan enjin pembakaran dalaman K4, yang membuat penampilan sulung globalnya pada September lalu. Ini merupakan pengganti Forte/Cerato (nama K3 telah digunakan untuk pengganti Rio) dan ditawarkan dengan beberapa enjin petrol dengan pengecas turbo dan NA, serta ada yang digandingkan dengan bantuan hibrid ringan.

Mazda

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Khabar angin tentang ketibaan Mazda CX-5 generasi ketiga untuk pasaran Malaysia sudah lama bertiup. Akhirnya, kita akan dapat melihat SUV ini di KLIMS. Awal bulan ini, melalui satu hantaran media sosial, Bermaz Motor mengesahkan model berkenaan akan dipertontonkan buat pertama kali secara eksklusif terlebih dahulu; pelancaran rasminya akan dilakukan kemudian.

Dalam hantaran yang sama, syarikat itu juga memaklumkan bakal mempamerkan varian baru bagi model CX-60, versi 3.3G AWD. Ini akan berada di atas penawaran varian 2.5G 2WD ketika pelancaran rasminya sebelum ini. Untuk itu, varian terbaru ini juga datang dengan harga lebih premium.

Merujuk laman rasmi Bermaz, Mazda CX-60 3.3G AWD akan dijual dengan harga RM252,872.80 atas jalan belum termasuk insurans, menjadikannya kira-kira RM52k lebih mahal berbanding varian 2.5G 2WD. Ia dilengkapi dengan enjin petrol enam-silinder sebaris 3.3 liter turbo dengan M Hybrid Boost (sistem hibrid ringkas 48-volt) yang menghasilkan 284 PS dan 450 Nm. Senarai kelengkapan lain adalah serupa untuk semua varian, walaupun pilihan spesifikasi yang lebih tinggi ini diberikan kerusi balutan kulit Nappa yang lebih premium dengan arah larasan yang lebih banyak.

MG

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Satu lagi jenama yang akan tampil di KLIMS ialah MG, yang akan mempamerkan model ZS dan IM6 terbaru — model kedua ini juga menandakan kemunculan pertama sub-jenama premium IM (Intelligence in Motion) di Malaysia.

ZS akan ditunjuk dalam varian Hybrid+ dan Turbo, dan generasi model terkini ini juga lebih besar daripada yang sebelumnya yang dipertonton di sini sebelum ini — lebih 100 mm lebih panjang (4,430 mm) dan sembilan mm lebih lebar (1,818 mm), dengan jarak roda 29 mm lebih panjang (2,610 mm). Model ZS generasi pertama telah dijual di sini sebagai sebuah EV, sebelum model generasi terbaru selepas itu muncul di KLIMS pada Disember 2024.

Bagi IM6, ia adalah jawapan SAIC Motor kepada model seperti BYD Sealion 7 dan Xpeng G6, dengan model MG ini ada kelebihan dari segi jarak jejak kenderaannya. Ia merupakan sebuah EV yang tersedia dengan beberapa konfigurasi janaan kuasa, malah varian yang lebih tinggi turut didatangkan dengan suspensi udara serta stereng roda belakang.

Perodua

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Perodua baru-baru ini mengesahkan model Ativa Hybrid untuk pasaran Malaysia. Ini bermaksud, model berkenaan akan dikeluarkan di dalam negara (CKD) untuk dijual melalui saluran biasa dan bukan melalui program percubaan langganan sahaja seperti yang diumumkan sebelum ini. Pengumuman ini dibuat bulan lalu, dengan syarikat itu mengatakan ia masih memuktamadkan perbincangan, termasuk garis masa pengeluaran dan harga.

Untuk itu, tidak mungkin kita akan dapat melihat unit CKD pertama dalam masa terdekat. Jadi, ada kemungkinan Perodua akan mempamerkan unit CBU terlebih dahulu, dari barisan 300 unit untuk program langganan sebelum ini, yang dilancarkan pada September 2022.

Pada dasarnya, unit tersebut ialah Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang di-rebadge, dilengkapi juga dengan motor elektrik 106 PS/170 Nm (Ativa 1.0T mempunyai kuasa 98 PS/140 Nm). Ini disertai juga dengan unit enjin WA-VEX NA tiga-silinder kitaran Atkinson 1.2-liter 82 PS/105 Nm yang bertindak semata-mata sebagai penjana untuk bateri hibrid — sistem ini berfungsi dengan cara yang serupa dengan sistem e-Power Nissan untuk model Kicks.

Kami juga menjangkakan rekaan konsep sedan turut akan dipamerkan di KLIMS, selepas melihat hantaran Perodua untuk KLIMS minggu lalu. Hantaran itu memperlihatkan bayangan sisi sebuah sedan, yang mencadangkan rekaan masa depan. Adakah ini rekaan untuk Bezza generasi baru?

Proton

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Berdasarkan hantaran di Facebook, Proton akan mempamerkan beberapa versi modelnya, seperti X50 Sport Edition berasaskan model facelift terkini. Ini pendekatan yang sama pernah kita lihat dalam edisi KLIMS sebelumnya ketika Proton memperkenalkan X50 Sport Edition dari model lamanya.

Selain itu, hantaran itu juga menunjukkan robot humanoid yang turut akan dipamerkan, mungkin sebagagian daripada pameran Teknologi HEV FutureMotion — boleh dilihat sebagai pameran untuk teknologi hibrid masa depan.

Proton sememangnya telah memberi bayangan terhadap teknologi hibrid ketika syarikat itu mendedahkan pelan tindakan produknya beberapa bulan yang lalu, dengan transmisi jenis DHT disebut-sebut untuk model akan datang, termasuk untuk model AMA02, atau lebih dikenali sebagai “Saga Cross”.

Selain itu, varian baru model elektrik eMas 7 terbaru juga akan dipertontonkan pertama kali ketika KLIMS. Ini mungkin melibatkan peningkatan dari segi rangkaian kuasa dan jarak perjalanannya, atau melibatkan juga pertambahan kelengkapan lain.

Toyota

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Beberapa bulan terakhir ini sangat sibuk untuk UMW Toyota Motor (UMWT), dengan banyak pelancaran besar dan kemas kini produk yang dilakukan sejak awal tahun. Bagaimanapun, syarikat itu agak senyap tentang apa yang telah dirancang untuk KLIMS. Jadi kami hanya berandaian buat masa ini.

Antara banyak pelancaran oleh Toyota tahun ini, Hilux EV serba baru menjadi penawaran yang menarik dan penting. Ia menandakan ketibaan trak pikap generasi kesembilan model terbabit di sini. Tidak mustahil untuk mengandaikan bahawa versi enjin pembakaran dalaman Hilux juga akan tiba di sini.

Jika KLIMS sebelumnya menjadi petunjuk, kita juga boleh menjangkakan beberapa kereta konsep global akan ditunjukkan oleh Toyota bersama kereta di bawah panji Gazoo Racing (GR). Pasti menarik jika Corolla Concept dibawa ke MITEC.

Weststar Maxus

Awal bulan ini, Weststar Maxus telah mengumumkan di Facebook tentang Maxus eTerron 9, sebuah trak pikap elektrik yang akan membuat penampilan sulungnya di KLIMS. Kini dibuka untuk pendaftaran minat, eTerron 9 lebih panjang daripada Ford Ranger dan Toyota Hilux, dan menawarkan jarak sehingga 430 km pada standard WLTP.

Ini adalah hasil daripada pek bateri 102 kWh yang menggerakkan sepasang motor elektrik — satu di setiap gandar — untuk menghasilkan output keseluruhan sistem sebanyak 442 PS. Itu cukup untuk memberikan masa pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kapasiti menunda seberat 3.5 tan.

Xpeng

KLIMS 2026 akan berlangsung dari 12-21 Jun di MITEC — ini apa yang boleh dijangka daripada setiap jenama

Xpeng baru-baru ini mengumumkan bahawa versi CKD pertama bagi model G6 telah dikeluarkan dari pemasangan di kilang EPMB Melaka, sambil turut mengeluarkan teaser untuk model X9 facelift. Sebelum itu, kami juga dimaklumkan bahawa sedan P7 juga akan dipamerkan di KLIMS, walaupun dalam bentuk pemanduan sebelah kiri.

Walaupun P7 kelihatan menarik, model itu mungkin bukan untuk pasaran kita kerana pengeluar kereta China itu mengumumkan tahun lalu bahawa model P7+, dan bukannya P7, yang akan dijual di 36 negara mulai 2026. P7 ialah versi P7i yang lebih besar dan lebih murah, yang merupakan kemaskini daripada P7 generasi pertama.

Tidak seperti P7 yang hanya untuk EV, P7+ juga tersedia sebagai EV jarak jauh (REEV). Bagaimanapun, ia tidak menyertakan beberapa ciri mewah pada P7, seperti skrin sentuh infotainmen tiga-paksi dan pintu gullwing yang mewah. Mungkin kehadiran P7 di KLIMS hanyalah untuk mengukur minat awam.

Zeekr

Zeekr merupakan satu lagi jenama China yang tidak berahsia tentang barisan pamerannya di KLIMS. Produk ultra-mewah 9X dan 009 Grand yang bakal dipamerkan di acara tersebut diberi sorotan utama dalam catatan media sosialnya.

Merujuk kepada pelan tindakan produk Zeekr Malaysia, kedua-dua model tersebut berkemungkinan akan mula dijual di sini dalam masa terdekat. Zeekr 9X mencerminkan aura Rolls-Royce Cullinan dan merupakan model plug-in hybrid dengan kuasa sehingga 1,400 PS dan 1,410 Nm, didatangkan lengkap dengan pintu berkuasa dan kabin yang penuh ciri untuk keselesaan penumpang.

009 Grand pula merupakan jawapan Zeekr kepada Lexus LM. Tempat duduk belakang adalah tempat yang anda ingin duduk di dalam MPV empat-tempat duduk ini, kerana ruang dan tempat duduknya mewah dengan pelbagai fungsi premium.

Selain itu, terdapat juga Zeekr X facelift untuk tahun 2026. Walaupun bersaiz kompak, kemas kininya agak mewah seperti yang dilakukan di pasaran Thailand. Model X di sana mendapat pintu hadapan berkuasa dan tiada lagi pemegang pintu dan digantikan dengan fungsi elektrik yang dikendalikan oleh butang pada tiang B dan C. Bahagian dalaman juga menerima tempat duduk hadapan dengan ciri urut, manakala sistem janaan kuasanya dengan output yang lebih tinggi, tetapi jarak perjalanan yang sedikit berkurangan.

Inilah antara model-model yang boleh kita jangkakan akan dipamer sepanjang KLIMS 2026 yang akan mula dibuka kepada umum Jumaat ini. Rancang perjalanan anda ke Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dari 12-21 Jun 2026. Kami akan membuat liputan menyeluruh berkaitan pameran ini pada Khamis nanti, jadi terus perhatikan ruangan ini.

Tags: