
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Nissan Malaysia, syarikat itu memberi petunjuk bahawa bakal memperkenalkan satu model baru ketika KLIMS 2026 nanti. Kemungkinan model yang dimaksudkan ialah Nissan X-Trail T33, dan kebarangkalian sangat besar juga itu dari versi X-Trail e-Power berdasarkan corak pengenalan model-model terakhir yang dilakukan oleh Edaran Tan Chong Motor.
Jika benar, maka ini bukanlah kali pertama model berkenaan ditunjuk di sini. Dalam KLIMS dua tahun lalu, ETCM sudah pernah mempamerkan model berkenaan, yang ketika itu sudah berusia empat tahun selepas diperkenalkan di peringkat global.

Kini, dengan model X-Trail T34 generasi keempat yang terbaru juga sudah diperkenalkan di peringkat global, pengenalan tersebut tentulah sudah agak terlewat — Indonesia telah menerima model berkenaan pada Julai 2025, manakala Thailand menerimanya pada Disember tahun yang sama.
Ia dilengkapi dengan unit enjin KR15DDT 1.5 liter turbo yang berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion 1.8 kWh. Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada dua motor elektrik, unit dengan janaan 204 PS/330 Nm di hadapan dan 136 PS/195 Nm di belakang, dengan ciri e-4orce AWD. Perincian selebihnya akan kita ketahui Khamis ini. Teruskan bersama kami.
