
Nissan X-Trail e-Power 2026 menjadi antara tumpuan utama di ruang pameran Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS). Yang ditampilkan adalah model versi facelift terkini T33. Ia pernah muncul di KLIMS 2024, tetapi dalam versi sebelum facelift. Lebih menarik, ETCM juga mengesahkan bahawa model itu akan dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun ini.
Ini sebenarnya merupakan penampilan sulung serantau untuk facelift T33 ini, memandangkan ia belum diperkenalkan di Thailand atau Indonesia lagi.
Yang membezakan versi terkini ni ialah rekaan dua tahap lampu hadapan, adanya rekaan gril V-motion baru. Bampar hadapan dan belakang juga menampilkan rekaan baru. Selain itu, di bahagian hadapan, “potongan” berbentuk C di bahagian sisi kini menyentuh ruang udara di bawah.

Enjin tiga-silinder turbo KR15DDT 1.5 liter X-Trail e-Power ini dengan hadir dengan mampatan boleh ubah VC-Turbo hanya mempunyai satu tugas, iaitu untuk mengecas bateri lithium-ion 1.8 kWh. Bateri ini membekalkan tenaga kepada dua motor elektrik – unit yang menjana 204 PS/330 Nm di hadapan dan 136 PS/195 Nm di belakang — menjadikannya pacuan e-4orce AWD. Seperti Serena e-Power dan Kicks e-Power, terdapat juga ciri pemanduan satu pedal, e-Pedal.
Kelengkapannya hampir sama dengan versi pra-facelift di Thailand dan Indonesia, menampilkan rim aloi 19-inci, pintu belakang berkuasa bebas kendalian tangan, sunroof panoramik, balutan kerusi kulit hitam, tempat duduk hadapan larasan kuasa, kerusi barisan kedua dengan nisbah rebahan 40:20:40, barisan ketiga dengan nisbah rebahan kerusi 50:50, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh 12.3-inci, head-up display 10.8-inci, sambungan Android Auto/Apple CarPlay, sembilan-pembesar suara Bose, pengecas tanpa wayar 15 watt, kamera 360 dengan Pengesanan Objek Bergerak serta pendingin tiga zon.




















