Ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, Perodua ada meletakkan satu skrin yang dibina seperti puzzle bersama kapsyen “Coming Soon”, memaparkan imej acah model yang bakal diperkenalkan pada masa akan datang. Panel-panel pada skrin tersebut sentiasa berpusing menyukarkan untuk kita melihat apa yang mahu dipaparkan.
Namun sekiranya anda perhatikan skrin tersebut dengan sabar, beberapa petunjuk mula muncul. Imej pertama yang kami perasan adalah bahagian muka sebuah kereta menampilkan jalur LED merentangi sepenuhnya bahagian hadapan dengan logo Perodua menyala pada penutup bonet.
Muka model berkenaan seakan-akan dari model EV pertama Perodua iaitu QV-E, namun ia agak berbeza pada bahagian sisi, menandakan ia adalah model lain. Jalur LED berkenaan juga kelihatan seperti disatukan dengan lampu utama. Malah ada juga bayang lampu belakang dengan rekaan berbentuk-L.
Kemudian muncul pula bayangan sisi, dan ia bukan satu, sebaliknya ada dua profil kenderaan berbeza iaitu sebuah hatchback dan juga sebuah sedan dengan garis bumbung belakang landai seakan fastback. Jadi kami jangkakan bayangan-bayangan ini adalah petunjuk bagi Myvi dan juga Bezza generasi baharu.
Kedua-dua model ini sepatutnya sudahpun mempunyai model pengganti di mana Myvi generasi ketiga sedia ada sudahpun berada lapan-tahun dalam pasaran, manakala Bezza pula lebih lama dengan usia menjangkau satu dekad. Walau bagaimanapun kemunculan kedua-dua model mungkin akan memakan masa dua hingga tiga tahun dari sekarang di mana pembinaannya masih dalam peringkat awal.
Awal tahun ini Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa Perodua Bezza akan kekal dalam spesifikasi sedia ada sehingga 2030, dan tiada model baharu akan dilancarkan dalam masa terdekat. Ini kerana Daihatsu baru sahaja memulakan perbincangan dengan Perodua bagi membangunkan Myvi dan Bezza generasi seterusnya berkenaan.
Kedua-dua model ini dijangka akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan badan atas direka sepenuhnya oleh Perodua sendiri seperti Myvi dan Bezza generasi sedia ada. Dengan platform tersebut, kedua-duanya boleh dipadankan dengan unit rangkaian kuasa petrol sepenuhnya dengan menampilkan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA bersama kotak gear D-CVT.
Malah platform berkenaan juga boleh menerima unit rangkaian kuasa hibrid, sama ada dengan sistem e-Smart Hybrid dari Daihatsu seperti pada Ativa Hybrid di mana enjin hanya bertugas sebagai generator bateri, atau sistem hibrid dari Toyota seperti pada Vios HEV dan Yaris Cross HEV di mana kedua-duanya turut diasaskan dari platform DNGA.








