Jetour Malaysia secara rasmi mengumumkan pembukaan tempahan bagi model hibrid pertamanya untuk pasaran tempatan, iaitu Jetour T2 i-DM PHEV. SUV bergaya lasak yang semakin popular dalam kalangan pengguna Malaysia itu kini ditawarkan dengan sistem rangkaian kuasa elektrifikasi pada anggaran harga RM168,888.
Kehadiran T2 i-DM menjadikan Jetour T2 sebagai antara model yang menawarkan pilihan enjin pembakaran dalaman dan juga sistem plug-in hybrid. Sebagai perbandingan, Jetour T2 versi petrol yang kini berada di pasaran dijual pada harga RM155,669 termasuk rebat tempahan awal sebanyak RM2,000.
Dari segi prestasi, Jetour T2 i-DM menggunakan gabungan enjin 1.5 liter turbo suntikan terus bersama dua motor elektrik dan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga kelajuan. Hasil gabungan tersebut membolehkan SUV ini menghasilkan kuasa keseluruhan 360 PS dan 610 Nm tork.
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding Jetour T2 versi petrol yang menghasilkan 245 PS dan 375 Nm tork. Dengan tambahan kuasa daripada motor elektrik, model baru ini dijangka menawarkan prestasi pemanduan yang lebih responsif serta kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik.
Jetour turut mendakwa T2 i-DM mampu bergerak lebih 100 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sebelum enjin petrol diaktifkan. Apabila digabungkan dengan penggunaan bahan api konvensional, jarak perjalanan keseluruhan dikatakan melebihi 1,200 kilometer bagi satu isian penuh dan cas bateri penuh.
Walaupun kitaran ujian yang digunakan tidak dinyatakan secara rasmi, angka tersebut dipercayai berdasarkan piawaian NEDC yang lazim digunakan oleh pengeluar dari China.
Dari sudut keselamatan, Jetour Malaysia mengesahkan model ini akan dilengkapi pakej sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 sebagai kelengkapan standard. Selain itu, enam beg udara serta sistem pemantauan sekeliling panoramik turut ditawarkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan ketika memandu.
Syarikat itu turut menjanjikan pakej pemilikan dan jaminan yang komprehensif untuk pelanggan tempatan. Sebagai rujukan, Jetour T2 versi petrol ketika ini ditawarkan bersama jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer, jaminan sistem rangkaian kuasa selama 10 tahun atau satu juta kilometer, serta lima kali servis percuma yang merangkumi alat ganti dan kos buruh.
Setakat ini, spesifikasi penuh untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan. Namun begitu, gambaran awal boleh diperoleh melalui model pemanduan kanan yang dipasarkan di Afrika Selatan.
Di negara tersebut, Jetour T2 i-DM hadir dengan rim aloi bersaiz 20 inci, tayar 255/55, skrin infotainmen 15.6 inci dan panel instrumen digital 10.25 inci. Sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara turut ditawarkan bersama kamera panoramik 540 darjah, pengecas telefon pintar tanpa wayar, kemasan tempat duduk kulit tiruan serta tempat duduk hadapan larasan elektrik.
Turut melengkapkan pakej premium model ini ialah lampu suasana, bumbung kaca panoramik dan pintu but berkuasa elektrik.

























