Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini secara rasmi melancarkan dua model prestasi EV sebenar dengan lencana N iaitu Ioniq 5 N dan juga Ioniq 6 N ke pasaran tempatan ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 hari ini.
Bagi hot-hatch Ioniq 5 N, ia dijual pada harga RM443,888, manakala sedan Ioniq 6 N pula berharga RM449,888. Kedua-dua model ini dilindungi oleh waranti kenderaan dan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Setiap pelanggan yang menempah mana-mana model N ini akan menerima barangan koleksi asli Hyundai N yang bernilai RM2,000, pengecas Wallbox AC atau kredit JomCharge bernilai RM1,800.
Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard. Dari sebelah luar, anda boleh lihat Ioniq 5 N ini nampak lebih gagah dari model biasa kerana badannya 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah. Perubahan ini bukan kerana mahukan aspek estetik semata-mata, ia sebenarnya terhasil kerana model ini memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.
Muka Ioniq 5 N ini nampak lebih agresif dengan bampar hadapan yang diberikan liang ambilan udara besar, menampilkan tirai dan sayap udara berfungsi untuk memberikan aliran udara kepada sistem penyejuk, dan juga lips spoiler lebar yang diletakkan pada bahagian bawah bampar.
Juga terdapat ‘sayap’ yang diletakkan pada bahagian bawah skirt sisi. Manakala di belakang ia diberikan spoiler bumbung lebih besar bersama lampu brek ketiga berbentuk segi-tiga, dan bampar belakang juga nampak lain dari versi biasa dengan diffuser yang sangat menonjol bersama reflektor dengan corak seakan chequered flag. Hyundai turut memberikan pengelap cermin belakang untuk model N ini (tiada pada model biasa).
Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.
Beralih ke Ioniq 6 N, sedan presatsi ini diasaskan dari sedan Ioniq 6 facelift, tetapi menampilkan badan lebih lebar, khususnya pada bahagian fender untuk memuatkan set roda yang lebih besar dan lebar. Ia masih lagi mengekalkan asas muka Ioniq 6 facelift dengan lampu nyalaan siang yang begitu nipis terletak di atas. Lampu utama pula berada pada bampar, namun versi lebih agresif ini menampilkan liang ambilan udara yang lebih besar. Manakala di belakang versi N penuh ini menerima spoiler dengan sayap yang dipegang oleh ‘leher angsa’.
Hyundai N juga telah merombak semula sepenuhnya geometri suspensi sedan ini dengan mengalihkan kawasan-kawasan utama ke pusat graviti lebih rendah. Sudut caster suspensi hadapan ditambah bagi memberikan pelbagai kesan termasuk tindak balas stereng dan juga kestabilan pada kelajuan tinggi.
Casis kereta ini juga telah diperkuat menerusi penambahan cross bar pada bahagian bulkhead belakang, penutup lantai bawah lebih keras serta penambahan pendakap-pendakap pada cagak suspensi, lantai belakang dan panel suku.
Kedua-dua model ini menerima rim forged aluminium 21-inci dan dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero bersaiz 275/35R21. Brek-brek gergasi juga kelihatan disebalik set rim besar tersebut di mana bahagian hadapan diberikan cakera bersaiz 400 mm dan angkup empat-omboh, dan di belakang dibekalkan dengan cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal.
Ioniq 5 N dan 6 N ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama. Ia menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang memberikan kebolehan AWD. Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.
Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan) sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j, manakala Ioniq 6 N pula membuat pecutan sama dalam masa 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 257 km/j.
Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.
Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.
Buat masa sekarang tempahan bagi kedua-dua model EV prestasi tinggi N ini hanya boleh dibuat menerusi Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd untuk kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, Goh Brothers Motor Sdn Bhd untuk Pulau Pinang dan juga Heng Lian Enterprise Bhd untuk kawasan Kuching.
HMY menyatakan bahawa selepas ini akan ada lebih banyak pengedar boleh menjual model-model prestasi N ini. Dan setiap unit Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N hanya akan dibuat di kilang selepas pelanggan membuat tempahan.
GALERI: Hyundai Ioniq 5 N
GALERI: Hyundai Ioniq 6 N


































































