Zeekr 009 Grand dibuka untuk tempahan di Malaysia – MPV mewah empat tempat duduk, jangka dari RM600k

Selain memperkenalkan SUV mewah Zeekr 9X, Zeekr Malaysia turut mengambil peluang di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 untuk mempertontonkan Zeekr 009 Grand, versi paling eksklusif bagi MPV elektrik premium jenama itu.

Model tersebut kini dipamerkan sebagai pratonton awal sebelum pelancaran rasminya yang dijangka berlangsung dalam tahun ini. Pada masa sama, Zeekr Malaysia turut membuka tempahan awal kepada pelanggan yang berminat.

Menurut Zeekr Malaysia, Zeekr 009 Grand dijangka ditawarkan pada harga bermula sekitar RM600,000. Jika harga tersebut dikekalkan ketika pelancaran rasmi nanti, ia akan menjadi model kedua paling mahal dalam rangkaian Zeekr selepas SUV 9X yang dijangka bermula sekitar RM800,000.

Sebagai perbandingan, Zeekr 009 versi standard yang dipasarkan ketika ini ditawarkan pada harga antara RM299,800 hingga RM359,800 bergantung kepada varian. Model tersebut tersedia dalam konfigurasi tujuh tempat duduk Executive dan Luxury serta enam tempat duduk Ultra Luxury.

Zeekr 009 Grand dibuka untuk tempahan di Malaysia – MPV mewah empat tempat duduk, jangka dari RM600k

Dalam segmen yang sama, pesaing paling hampir ialah Lexus LM 500h versi empat tempat duduk yang menggunakan sistem hibrid, namun model Jepun itu dijual pada harga melebihi RM1 juta di Malaysia.

Persoalannya, apa sebenarnya yang ditawarkan oleh Zeekr 009 Grand sehingga harganya lebih tinggi hampir dua kali ganda berbanding varian asas Zeekr 009?

Dari sudut pemandu dan penumpang hadapan, perbezaannya tidak begitu ketara. Reka bentuk papan pemuka, susun atur kawalan dan kebanyakan komponen dalaman masih mengekalkan identiti yang sama seperti Zeekr 009 biasa, dengan hanya beberapa perubahan pada kemasan dan bahan yang digunakan.

Namun, keseluruhan konsep Zeekr 009 Grand sebenarnya tertumpu kepada pengalaman penumpang belakang. MPV ini dibangunkan khusus untuk golongan pelanggan premium seperti ahli korporat, selebriti dan individu berprofil tinggi yang lebih banyak menghabiskan masa di ruang belakang berbanding memandu sendiri.

Zeekr 009 Grand dibuka untuk tempahan di Malaysia – MPV mewah empat tempat duduk, jangka dari RM600k

Bagi menjamin privasi maksimum, ruang belakang dipisahkan sepenuhnya daripada bahagian hadapan menerusi dinding pemisah khas. Penumpang belakang masih boleh berkomunikasi dengan pemandu melalui sebuah tingkap kecil yang boleh dibuka apabila diperlukan.

Seperti Lexus LM empat tempat duduk, Zeekr 009 Grand direka sebagai sebuah ruang santai bergerak yang menitikberatkan keselesaan penumpang. Kabinnya dihiasi dengan balutan kulit aniline premium yang digabungkan dengan bahan Ultrasuede pada beberapa bahagian termasuk lapisan bumbung.

Karpet bulu lembut turut digunakan bagi meningkatkan suasana mewah, manakala kemasan dalaman menggunakan material yang digambarkan oleh Zeekr sebagai marmar semula jadi dari Himalaya.

Tarikan utama sudah tentu terletak pada dua tempat duduk belakang eksklusif yang direka menyerupai tempat duduk kelas pertama pesawat komersial. Tempat duduk ini menawarkan pelbagai fungsi keselesaan termasuk pemanas, pengudaraan dan sistem urutan pelbagai mod.

Zeekr 009 Grand dibuka untuk tempahan di Malaysia – MPV mewah empat tempat duduk, jangka dari RM600k

Antara ciri yang paling menarik ialah fungsi terapi batu panas yang digabungkan dengan sistem urutan 20 titik tekanan, menjadikan pengalaman perjalanan lebih santai dan mewah.

Bagi melengkapkan konsep ruang istirehat bergerak, Zeekr turut memasang skrin LED mini bersaiz 43 inci yang menjadi pusat hiburan utama untuk penumpang belakang. Semua fungsi utama boleh dikawal melalui panel sentuh yang disepadukan pada konsol tengah.

Melalui panel tersebut, penumpang boleh mengawal tempat duduk, sistem pendingin hawa, tingkap, pencahayaan kabin dan pelbagai fungsi lain tanpa perlu bergerak dari tempat duduk masing-masing.

Konsol tengah turut menyediakan ruang simpanan berkunci yang boleh diakses menggunakan kod PIN digital. Selain itu, terdapat ruang khas untuk menyimpan kasut, peti sejuk terbina dalam di bawah skrin utama serta meja lipat yang boleh ditarik keluar dari tempat duduk – sekali lagi menyerupai kemudahan yang ditawarkan dalam kabin kelas pertama pesawat.

Unit yang dipamerkan di KLIMS merupakan model pemanduan kiri yang diimport dari China. Oleh itu, spesifikasi yang ditunjukkan tidak semestinya sama dengan versi pemanduan kanan yang bakal ditawarkan di Malaysia.

Di pasaran China, Zeekr 009 Grand masih menggunakan platform elektrik 800 volt bersama bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 108 kWh. Gabungan tersebut membolehkan MPV ini mencapai jarak perjalanan sehingga 702 kilometer mengikut kitaran CLTC.

Kuasa pula dibekalkan menerusi dua motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan dan belakang. Sistem ini menghasilkan sehingga 789 PS dan 810 Nm tork, menjadikannya lebih berkuasa berbanding mana-mana varian Zeekr 009 yang ditawarkan di Malaysia ketika ini.

Model ini turut dilengkapi rim forged bersaiz 20 inci serta sistem LiDAR yang dipasang pada bahagian bumbung. Menariknya, ciri LiDAR tersebut tidak ditawarkan pada model Zeekr 009 pemanduan kanan yang dijual di pasaran lain termasuk Hong Kong.